Salam
Sabtu 18 Jun 2011.
Kesempatan bersama remaja di Rumah Puteri Arafiah (RPA) di seksyen 7 Shah Alam mengubat nostalgia saya berceramah. Pakej Mawaddah yang sering di jalankan kepada kumpulan ibu-ibu tunggal dan rakyat termiskin satu ketika dahulu di tampilkan semula. Alhamdulillah remaja dan petugas di RPA dapat menghayatinya dengan baik. Sebelah petang remaja di sajikan pakej kemahiran kraf majalah yang di fahamkan amat menyeronokkan peserta. Terus terang saya menyatakan saya punya 'ENDLESS HOPE' (harapan menggunung) kepada kumpulan remaja RPA.
Jurang generasi (generational gap) antara saya dan peserta tidak dapat di nafikan kerana peserta ada yang berumur 14 tahun. Sewaktu bertakruf dengan soalan 'macam mana sampai ke Shah Alam' masing-masing menyatakan di hantar ibu bapa atau saudara mara untuk menimba ilmu agama. Rupanya iklan RPA ada dimuatkan dalam internet dan sambutan dengarnya menggalakkan. Yang saya tahu RPA ingin melengkapkan golongan remaja pelbagai kemahiran wanita termasuk memasak serta penghayatan jatidiri yang teratur dari pagi ke malam.
Di sisipkan maklumat berikut:
SHAH ALAM 9 Mei – Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) melalui kerjasama Jawatankuasa Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Raudhatus Sakinah mengambil langkah bersepadu bagi menjayakan usaha murni Kerajaan Negeri di dalam membendung gejala sosial dengan menubuhkan sebuah Rumah Perhentian Remaja Puteri yang dinamakan RUMAH PUTERI ARAFIAH, kata Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PEKAWANIS Puan Sri Datin Seri Salbiah Tunut.
Ia Bertepatan dengan keputusan Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Menteri Besar Selangor bagi menubuhkan “Rumah Perhentian” untuk anak-anak terbuang di Negeri Selangor pada Ogos yang lalu.
Menurut Salbiah usaha ini adalah bertepatan masanya berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor di mana angka pembuangan bayi semakin membimbangkan dan menjadi satu fenomena yang menggusarkan semua pihak.
Penubuhan rumah perhentian ini bertujuan untuk memberi perlindungan kepada remaja yang berhadapan dengan masalah penderaan emosi dan fizikal akibat perkosaan dan sumbang mahram, pengabaian keluarga, terjebak dengan gejala zina serta penjagaan bayi yang telah/bakal dilahirkan akibat ketelanjuran mereka.
“Melalui rumah perhentian ini remaja terbabit akan diberi perlindungan, kesedaran, bimbingan secukupnya bagi memulih serta membina semula jati diri remaja supaya dapat meneruskan kehidupan dengan sahsiah diri yang lebih baik, positif dan sihat.
Ia terbuka kepada remaja perempuan dari berbilang kaum berusia antara 12-21 tahun, warganegara Malaysia dengan syarat remaja tersebut bersedia merubah diri dengan menjalani bimbingan sekurang-kurangnya selama dua (2) tahun,” katanya.
Tambah Salbiah lagi bagi merealisasikan penubuhan rumah perhentian tersebut, PEKAWANIS telah mengenalpasti premis yang bersesuaian iaitu sebuah rumah Kompleks PKNS di Seksyen 7 Shah Alam bagi menempatkan remaja perempuan yang bermasalah.
Di dalam hal ini, PEKAWANIS akan memastikan usaha murni ke arah pembukaan Rumah Puteri Arafiah yang akan beroperasi mulai 1 Mei 2011 akan dapat di capai dengan mengambil tindakan melalui saluran yang sewajarnya seperti berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya dengan segera.
Keprihatinan PKNS dengan memberi bantuan dan kerjasama dalam operasi Rumah Puteri Arafiah untuk memenuhi tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat amat membanggakan. Diharapkan banyak lagi sektor awam dan swasta akan tampil untuk memberi bantuan dalam usaha murni ini.
Kenyataan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mengesahkan ketidakupayaan jabatan dari segi kemudahan bagi menampung kes remaja bermasalah dan pembuangan bayi yang semakin meningkat menunjukkan betapa rumah perhentian oleh PEKAWANIS amat diperlukan bagi meringankan bebanan pihak berkenaan.
“Sehubungan itu tanggungjawab ini tidak seharusnya terletak di atas bahu pihak berkuasa semata-mata tetapi usaha bagi membendung masalah sosial ini seharusnya mendapat sokongan dan menjadi tanggungjawab semua pihak tanpa mengira peringkat pemimpin di dalam masyarakat.
Sehubungan itu PEKAWANIS akan mengadakan satu acara kutipan dana pada 4 Jun, 2011 di SACC Convec Shah Alam bertujuan menampung kos pengurusan yang mencecah RM200 ribu dalam mengurus pelatih berjumlah antara 30-50 orang bagi tahun 2011,” ujarnya.
Justeru Majlis Hi-Tea ini akan diserikan dengan satu acara kemuncak “Top-Chef” , satu pertandingan memasak antara Chef-chef serata Hotel di Negeri Selangor. Satu lagi acara yang bakal mencuit hati dermawan yang hadir ialah acara lelongan masakan VIP. Jualan meja dan tiket boleh didapati dari Puan Norhayati/Cik Syafikah di talian 03-5519 1248.
“Penubuhan Rumah Perhentian Remaja Puteri Arafiah membuktikan kesungguhan pihak PEKAWANIS dalam membantu Kerajaan Negeri Selangor menangani gejala sosial di samping pelancaran kempen-kempen seperti GEMS (Generasi Idaman Selangor) dan Kempen Anti Zina dalam usaha membina generasi yang lebih cemerlang dan tinggi mutu akhlaknya,” katanya.
Apa pun blog ini ingin mengumpul semula pakej Mawaddah sebagai rujukan sesiapa yang ingin menyumbang kepada memperkukuh jatidiri remaja yang tersasar awal kehidupan mereka.
Saya bermula dengan merakamkan syukur di pertemukan dalam program latihan selam dua jam dengan membawa kisah kekuatan jatidiri seorang nabi bernama Nabi Yusuf. Tiga resipi contoh baginda dapat menolak bisikan syaitan dalam bentuk rayuan seorang wanita cantik dan hartawan ialah: Takut azab Allah (Taqwa), Pertolongan Allah dan Ikhlas.
Bila di tanya konsep ikhlas ramai yang sukar menafsirkan kecuali seorang remaja yang agak matang menyebut redo. Saya menjelaskan ikhlas ialah memperbetul nawaitu untuk menjadikan setiap tindakan kita DI REDHAI DAN KERANA ALLAH, tidak mengharap balasan orang, tidak mengungkit dan sedar Allah tahu apa yang ada dalam hati kita.
Sesi takruf meminta remaja memberitahu nama, ibu bapa dan pekerjaan, negeri asal, pencapaian akademik dan menyatakan APA YANG CANTIK DALAM DIRI ANDA. Soalan terakhir sukar di luahkan remaja seolah mereka tidak yakin mereka tergolong kumpulan yang ada sedikit kecantikan.
Ulasan saya hanya berpandukan ayat Alquran Surah AtTin:4 " sesungguhnya Allah menciptakan manusia dalam keadaan sebaik-sebaik (cantik) kejadian (sekalipun cacat)" dan ini tidak boleh di ragukan kerana Allah yang bercakap...semua terkejut bila di sebutkan maksud ini. Saya dapat rasakan jatidiri mereka agak rendah untuk mengakui diri sempurna. Lantas saya minta mereka hanya percaya apa yang Allah sarankan dalam Alquran dengan membaca dan menghayati AlQuran sepanjang mereka berada di RPA. Jangan dengar apa yang orang cakap termasuk jiran, saudara mara dan siapa sahaja yang cuba menampakkan kelemahan seseorang. Prinsip hidup mulia ialah lakukan apa yang Allah perintah semampu mungkin tapi JANGAN sekali-kali lakukan apa yang Allah larang.
Sesi kedua demonstrasi 'HIJAB' di mana peserta menyaksikan saya mengambil segelas air bersih dan mengumpamakannya sebagai FITRAH diri manusia sewaktu di lahirkan amat bersih, suci dan tiada noda. Sebaik anak kecil membesar ke peringkat remaja pelbagai kesilapan dilakukan antaranya derhaka ibu bapa, sifat malas dan dikalangan remaja ada yang berani melanggar perintah Allah dengan melakukan pelbagai maksiat. Semua keingkaran di gambarkan melalui air hitam yang di titikkan dalam gelas air jernih menjadikan air bersih dalam gelas menjadi keruh kehitaman.
Air dalam gelas kemudian di tutup dengan suatu penutup di sebut 'HIJAB' dan bila di suruh peserta menuangkan air bersih keatas Hijab untuk mengurangkan keruh. Ternyata air terbuang begitu sahaja dan air hitam dalam gelas TIDAK BERUBAH warna. Mesejnya jika ingin mengubah air hitam ia perlukan suatu TINDAKAN. Bila di tanya bagaimana bertindak? ramai yang menyatakan buangkan hijab dan sebagainya tanpa seorang pun tampil membuangnya. Akhirnya saya mencabar siapa yang nak buang HIJAB, saya atau anda? barulah seorang remaja tampil membuang Hijab ke tempat berhampiran.
Bila saya ambil semula Hijab dan menutup semula air dengan menyatakan jika Hijab ada depan mata ia akan kembali menutup air barulah seorang remaja membawa penutup air jauh nun di dapur. Semua tergelak dan memahami bahawa usaha untuk berubah perlukan keberanian mengambil tindakan, kegigihan serta faham tentang apa yang ingin kita lakukan.
Sewaktu membengkelkan demo peserta dapat menggarap konsep Hijab iaitu halangan untuk berubah antaranya: pengaruh hawa nafsu, bisikan syaitan, persekitaran dan sistem sokongan yang kurang baik serta azam diri yang lemah.
Proses mengembalikan kesucian diri antaranya Taubat, berilmu, berkemahiran, ibadah (solat,Quran, zikir, doa dll) dan memiliki azam yang kuat. Adalah tidak mustahil remaja yang masih memiliki peluang berubah dapat mencipta sejarah menjadi Jutawan, orang terkenal dan mampu membuat perbezaan dalam diri, keluarga dan masyarakat satu hari nanti. Untuk remaja di RPA it is not HOPELESS END BUT.... ENDLESS HOPE- HARAPAN YANG AMAT TINGGI DAN BERTERUSAN hingga kita di panggil Allah pulang ke pangkuanNya.
Merumuskan program saya tunjukkan melalui komputer gambar dan pemandangan tempat-tempat yang cantik di dunia, iktibarnya kita umat manusia kena TADDABUR alam dan cari peluang untuk mengkagumi ciptaan Allah di sekeliling kita malah dalam diri kita.WaAllahu'alam
Saya pulang ke rumah merasai saya telah mencurahkan apa yang saya mampu dalam masa dua jam bersama remaja di RPA. Terima sms dari penolong saya yang ikut serta dalam program 'Umi lepas balik dari RPA tadi saya lapang dan seronok sangat.' Alhamdulillah, ini kayu ukur yang saya telah sampaikan mesej dengan berkesan. Semoga Allah menerima amal saya hari ini, ameen.
No comments:
Post a Comment