Salam
Sabtu 14 Mei 2011 kami menghadiri majlis perkahwinan anak seorang sahabat di Dewan Besar SIRIM. Kemudian ke IKEA untuk mencari bahan Galeri Mawaddah yang perlu dilengkapkan dengan peralatan yang sesuai untuk mempamirkan telekung Butik Siti Khadijah. Hujung minggu ramai sekali pelanggan diIKEA dan saya mencadangkan peralatan di cari pada hari bekerja.
Kerinduan bertemu anak yang tugasnya sentiasa bermusafir menyampaikan kami ke sebuah restoran 'Figs and Olives' di Kompleks belibelah Bandar Sunway Subang Jaya. Nostalgia makanan Turki datang semula bilamana kami menatap menu yang menawarkan makanan ala timur tengah dan arab.
Meneruskan travelog Turki yang menjadi amanah saya setelah kembali ke tanahair ialah menyembung perjalanan hari keempat (4 Mei). Perjalanan yang paling jauh Pamukkale-Konya 295 km sambung ke Cappadocia 212km, lebih 500 km.
Menyantuni kaedah sunnah bermusafir iaitu jika bermusafir tiga orang atau lebih hendaklah di lantik seorang menjadi ketua, semua bersetuju seorang penghulu dilantik mengetuai kumpulan dan membaca doa perjalanan. Alhamdulillah, saya dengan kebiasaan bermusafir ingin sekali berkongsi perasaan bahawa membaca doa musafir memudahkan banyak perkara dalam perjalanan. Keceriaan dan silaturrahim antara kami peserta musafir pun bertambah ketara. Sepanjang perjalanan memang terbentang luas ladang buah tin dan zaitun.
PEMANDANGAN SEPANJANG PERJALANAN DI HIASI LADANG ANGGUR, TIN DAN ZAITUN
Tempat pertama yang kami singgah ialah kedai tektil menjual 'organic bamboo towel'. Di fahamkan tuala mandi jenis ini amat serap air. Kami merupakan pelanggan pertama lantas mendapat tawaran potongan harga. Barangan kami turut mendapat khidmat di kompres menjadi ringan di panggil 'vacuum'.
Dalam perjalanan kami di maklumkan 5 Mei adalah hari lahir dua orang peserta musafir serentak. Sewaktu singgah di R&R seorang peserta nakal memberi sejambak bunga kepada mereka. Memang seronok berjalan jauh bersama, Alhamdulillah. Kami juga di perkenalkan makanan yougart honey dengan taburan biji kas kas (poppey seed). Katanya poppey seed merupakan dadah jika di ambil berlebihan. Tapi rasa makanan ini sedap rupanya.
BIRTHDAY GUYS
YOUGART, MADU DAN POPPEY SEED
Sewaktu makan tengahari kami sempat membeli cenderahati dan seterusnya melihat hiasan bangunan yang bercirikan kisah Abu Nawas, pelawak tradisi arab. Sepanjang perjalanan yang memang jauh dan memenatkan pemandu pelancung cuba menghiburkan kami dengan bercerita pelbagai perusahaan yang terdapat di Turki, kisah Abu nawas dan mendengar musik tradisi perang. Mendengar nada musik saya amat teransang untuk memilikinya kerana ia ada kisah di sebalik musik iaitu menaikkan semangat tentera di bawah pimpinan Muhammad AlFatih menakluki bandar Konstantinopal daripada kerajaan Rom.
Menjelang waktu asar kami sampai ke Mevlana Museum Konya dan menunaikan solat jama'taakhir. Lawatan ke museum memperlihatkan kesan sejarah lslam dan tarian 'swirling Derwish' iaitu tarian putar yang lama. Saya sebenarnya kurang arif dengan sejarah tarian ini namun daripada penjelasan pemandu pelancung ahli darwish ini merupakan ahli sufi zuhud dan menjadikan tarian sebagai zikir menikmati hubungan dengan Allah.
Muzium Mevlana menempatkan makam seorang ahli sufi asal Afghanistan yang terkenal iaitu Jalaluddin Rumi (1207) Karya maulana Rumi menjadi legenda puisi indah dalam bahasa Parsi yang tersebar di seluruh kerajaan Saljuk. Dalam tahun 2007 UNESCO memperingati 800 tahun kelahiran Jalaluddin Rumi. Hasil karyanya kini telah di terjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Urdu dan Arab.
Jalaluddin Rumi lah pengasas Tarikat Mawlawiah yang terkenal dengan zikir tarian (tarian sema) yang mengenakan pakaian jubah dan tarbus seperti di sebutkan diatas.
Ramai pelancung berada di kawasan masjid menunjukkan tempat ini satu tarikan walaupun pada satu ketika tarian zikir pernah di haramkan Mustafa Kamal Ataturk kerana kuatir menjadi sumber inspirasi kebangkitan lslam. Namun kini ia menjadi tarikan dalam banyak persembahan budaya Turki malah disertai belley dance!
Kami kemudiannya melawat satu lagi kesan sejarah lslam iaitu Caravanserai. Ia merupakan tempat persinggahan pedagang dalam perjalanan menuju Silk Road. Caravanserai juga merupakan khidmat pemerintah untuk memudahkan para pedagang berehat selepas jauh perjalanan di mana disediakan makanan dan tempat rehat di samping mengelak daripada gangguan kumpulan penyamun dalam perjalanan, semacam hotel percuma sebagai infaq sultan yang mengambil berat hal ehwal rakyat.
Sebenarnya saya pernah memimpikan ada kemudahan ini di negara lslam bagi menggalakkan umat bermusafir tanpa berbelanja lebih, barulah dapat di sebut taddabur alam oleh semua lapisan masyarakat. Sekarang ini musafir merupakan hak istimewa orang yang berada, yang mampu berbelanja lebih, yang kurang mampu sekadar ada 'homestay'.
Kami singgah di Green Garden untuk membeli cenderahati dan berehat bay-bayan sebelum meneruskan perjalanan dan check in hotel di Cappadocia. Dalam perjalanan kami di maklumkan ada peluang menaiki 'Air balloon' seawal 6 pagi di Cappadocia. Kos dikenakan USD220. Sebelah malamnya ada persembahan kebudayaan Turki dan tarian derwish kosnya USD50. Tawaran persembahan kebudayaan saya tolak kerana bimbang di sertai pelbagai 'nonsense' arak dan tarian gelek yang boleh 'membatalkan amal' WaAllahu'alam
Sekadar ini travelog Turki, insyaAllah akan bersambung jika di izin Allah.
No comments:
Post a Comment