NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Monday, January 24, 2011

PERSANDINGAN YANG MERIAH




Ratu dan Raja Sehari untuk sepanjang hayat


Salam

Ahad 23 Januari 2011/ 19 Safar 1432H saya sekali lagi ke Kuala Selangor meraikan majlis persandingan Kamisah dan suaminya Muhd Sidek. Turut sama dalam kereta yang berlainan ialah Azlin isteri YB Dr Zulkifli Ahli Parlimen Kuala Selangor.Ibu angkat Kamisah dan tetamu kehormat

Dari jauh telah kedengaran suara 'live band' keluar daripada rumah pengantin. Bagus juga suara penyanyi tu. Saya tak bantah sebab lelaki yang menyanyi. Azlin menambah 'kak ani tak tau ke menyanyilah satu-satunya hiburan di kampong-kampong. Hiburan apalagi yang ada?

Memang saya 'naive' (mentah) tak tau rupanya ramai orang melayu minat menyanyi. Masa jadi ahli majlis saya sampai menggondol title penentang karaoke! alhamdulillah saya dapat menentang, kalau buat tak tau je 'menghabiskan boreh (beras bahasa orang Rembau)' aja duduk dalam majlis.

Kedatangan saya di susuli anak dan menantu saya yang memang rapat dengan kamisah. Makan lauk ala kampong dan dimasak secara rewang saya memang puji Maizum penyelaras wanita kampong seri kuantan ni. Meriahnya majlis mengkagumkan saya.

Hampir sekampong hadir serentak dan saya mengandaikan ini 'wedding of the year' kampong ini. Semua racak memain peranan, ada yang jaga makanan, tempat duduk tetamu dan menjaga pengantin. Sahlah budaya gotong royong dan kerjasama sekampong masih hidup dan saya melihat tidak ada isu kepartian dalam majlis ini.

Nampak penyokong antara parti politik yang ketara dikalangan orang melayu Umno-Pas duduk semeja, berbual mesra. Memang meriah pukulan kamisah yang selama ini terkenal pendiam. Ramai yang mampu bersatu demi kemeriahan majlis perkahwinannya.

Unik majlis ini kerana ia perkahwian kedua bagi kedua pengantin. Meriahnya pula kerana anak-anak pengantin lelaki menjadi pengapit ibu baru dan ayahnya. Tambah meriah ialah kehadiran wakil ahli parlimen Kuala Selangor dan kedua ibu angkat kamisah serentak, saya sendiri dan puan maizum ketua wanita kampong.

Konsep meriah memang boleh di pertikai. Ada yang menyebut hingar bingar dengan muzik meriah,ada yang dapat menyatukan saudara mara meriah, ada yang kerana kehadiran ramai tetamu dan VVIP jadi meriah malah lebih ramai yang melihat berbelanja tinggi sebagai meriah.

Awal-awal bila kamisah memaklumkan hantaran RM5,000 saya beritahu supaya membuat simpanan,jangan diperhabis untuk majlis. Alhamdulillah kerjasama orang kampong menjimatkan belanja. katanya akan berbulan madu di Pulau Langkawi, yang ini meriah!

Sebenarnya dari segi syarak isu meriah tak timbul, yang penting barokah dan di redhai Allah. Barokah dengan doa tetamu yang hadir 'BarakaAllahu Lakuma' dan Allah redho jika majlis tidak berlaku maksiat di dalamnya. Contoh maksiat pergaulan bebas, suara wanita menghibur, tinggal solat dek majlis dan umpat keji.

Malah dalam sejarah umat lslam mahar terMAHAL ialah bersyahadahnya suami Ummu Sulaim Abu Talhah: saya salinkan kisahnya dibawah ini

Ummu Sulaim menanti keislaman Abu Talhah

UMMU Sulaim ialah ibu kepada Anas bin Malik, salah seorang sahabat dan pembantu peribadi Nabi Muhammad SAW.

Ummu Sulaim menyerahkan Anas bin Malik kepada Nabi Muhammad ketika berusia 10 tahun untuk melayan beliau. Dia memeluk agama Islam ketika Nabi Muhammad masih berada di Mekah.

Apabila Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, Ummu Sulaim bersama golongan Muslimin dan Muslimat Madinah menyatakan keimanan mereka di hadapan nabi Muhammad.

Suaminya, Malik bin Nadir rasa tercabar dan marah apabila isterinya sudah memeluk agama Islam. Dia tidak percaya dengan agama Islam dan Nabi Muhammad.

"Adakah kamu sudah menjadi gila dengan mengakui agama Islam sebagai agama kamu,!" tengking suaminya dengan nada marah.

"Saya tidak gila tapi beriman pada Allah dan rasulnya," jawab Ummu Sulaim dengan tegas.

Kemudian Ummu Sulaim mengajar anaknya Anas mengucap dua kalimah syahadah. Anas bin Malik menurut perintah ibunya lalu mengucap dua kalimah syahadah dengan lancar. Malik menjadi berang dengan tindakan Ummu Sulaim itu dan memarahinya.

"Jangan kamu rosakkan anak saya!," jerit Malik dengan nada geram.

"Saya tidak merosakkan anak kamu," balas Ummu Sulaim dengan tenang.

Malik bin Nadir keluar dari rumahnya dengan perasaan tidak puas hati. Dia tidak faham mengapa isterinya sanggup meninggalkan agama nenek moyangnya yang menyembah berhala lalu menerima agama Islam.

Hatinya panas dan geram dengan apa yang sudah berlaku di rumahnya tadi. Akhirnya dia membuat satu keputusan drastik setelah berfikir panjang.

Tak tahan

"Saya tak tahan dengan sikap isteri saya. Saya akan tinggalkan mereka berdua di Madinah dan berhijrah ke Syam". Malik bin Nadir memulakan perjalanannya ke Syam.

Apabila tiba di Syam, Malik terserempak dengan musuhnya. Musuhnya yang ingin membalas dendam telah menikamnya sehingga mati. Berita kematian Malik akhirnya tiba di telinga Ummu Sulaim dan dia berjanji tidak akan bernikah selagi Anas tidak meningkat dewasa.

Apabila Anas memasuki alam dewasa, Abu Talhah al-Anshar datang melamarnya. Namun lamaran Abu Talhah ditolak oleh Ummu Sulaim kerana dia masih belum memeluk agama Islam.

Walaupun lamaran Abu Talhah ditolak, dia tidak berputus asa. Dia melamar Ummu Sulaim buat kali kedua. Ummu Sulaim menolak lamaran Abu Talhah sekali lagi kerana hatinya masih belum terbuka memeluk agama Islam.

"Dengar sini Abu Talhah, adakah kamu tidak sedar bahawa apa yang kamu sembah itu adalah ukiran kayu yang tidak dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada kamu?

"Apabila kamu menyalakan api di sekelilingnya, sudah pasti mereka hangus terbakar. Tidakkah kamu malu untuk menyembah semua itu? Jika kamu sedia memeluk agama Islam, maka saya bersedia untuk bernikah dengan kamu. Saya tak mengharap mas kahwin selain kamu menganut Islam," jelas Ummu Sulaim.

Setiap kali Abu Talhah melamar Ummu Sulaim, jawapannya sentiasa sama iaitu Abu Talhah harus memeluk agama Islam sebelum bernikah dengannya.

Lama kelamaan jawapan Ummu Sulaim mempengaruhi fikiran Abu Talhah sehingga dia memeluk agama Islam. Ummu Sulaim gembira mendengar berita itu lalu bersetuju untuk menikahinya.

Ummu Sulaim tidak meminta mas kahwin melainkan Abu Talhah memeluk agama Islam. Ummu Sulaim memperoleh mas kahwin yang lebih mulia dari mana-mana wanita pada ketika itu. Mas kahwinnya adalah Islam.

KISAH INI PADA SAYA MEMERIAHKAN HIDUP BERKEKALAN DIAKHIRAT. WaAllahu'alam

No comments:

Post a Comment