NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Monday, January 24, 2011

APABILA KAMU TELAH BERAZAM, BERTAWAKKALLAH








Tiba di Lapangan terbang Juanda Surabaya Indonesia 24 Januari 2011


Salam
(Blog dilengkapkan di Surabaya 24 Januari 2011)

Khamis 20 Januari 2011 cuti perayaan Thaipusam. Awal pagi kelas harfiah tidak terjejas dengan cuti yang tidak ada kena mengena dengan umat lslam.

Galeri Mawaddah mendapat seorang lagi pembantu pagi ini untuk pemasaran dan edaran kuih Hani'sRing ke cawangan D'Arab Cafe. Perancangannya 1000 keping kuih sehari yang di pek setiap 10 keping satu kotak dengan harga RM2.

Ikut perancangan minima jualan dan pulangan yang di perlukan setiap dua hari penghantaran ialah RM400, maksudnya sasaran pendapatan RM200 sehari.

Muhammad Aimi yang dilantik sebagai wakil pemasaran Galeri Mawaddah secara sambilan nampak bersemangat. Kebijaksanaannya memungkinkan penghantaran jalan pintas kerana beliau terus ke restoran mamak yang berdekatan untuk meletakkan pek Hani's Ring. Dengan inisiatif ini pemasaran tidak terhad kepada cawangan D'Arab Cafe sahaja.

Semoga barakah kerana Allah sahaja yang tahu semangat berkobar dalam jiwa Aimi. Selain ingin membantu keluarga, khabarnya beliau akan mendirikan rumahtangga dalam bulan September. Semoga murah rezekinya menjelang hari bahagia.

Sewaktu pulang daripada penghantaran hari pertama tergambar kekecewaan di mukanya. Katanya bayaran komisen yang di minta oleh cawangan tinggi. Terus saya perbetulkan semangatnya dengan maksud Alquran Surah AliImran ayat 159:

' APABILA KAMU TELAH BERAZAM BERTAWAKKAL LAH KEPADA ALLAH.'

Selain kekuatan azam saya minta Aimi perbetulkan nawaitu bersama team Galeri Mawaddah iaitu berkerja untuk memenangkan kebenaran Islam di kalangan ramai orang yang masih belum jelas dengan kemuliaan agama Nabi Muhammad. Jarang orang dapat bersyukur seperti Saidina Umar AlKhattab yang rasa mulia dengan lslam. Beliau pernah berkata kepada tenteranya sewaktu menerima kunci kota Palestin dan Masjid AlAqsa

' kami dahulunya orang yang hina tetapi Allah memuliakan kami dengan lSLAM, jika kami mencari kemuliaan selain Islam, Allah akan menghinakan kami."

Kata-kata hikmah itulah yang tersemat di jiwa saya sejak lama kerana saya memang tidak nampak sebarang kemuliaan selain memperjuangkan kebenaran lslam. Tidak ada kemuliaan dengan harta yang banyak kecuali mematuhi perintah Allah untuk menginfaqkannya, tidak ada kemuliaan dengan pangkat dan kuasa kecuali menegakkan keadilan, meruntuhkan kesombongan. Tidak ada kemuliaan dengan kemenangan dimana-mana kecuali dengan kesyukuran di beri nikmat Allah termasuk nikmat setitis air yang masuk ke kerongkong kita.

Saya ingin berkongsi maklumat yang saya copy daripada sumber motivasi Sheikh Ahmad Ridha' Hasbullah yang di ubahsuai di seperti berikut:

MENURUT bahasa “tawakkal” itu bererti berserah diri, mempercayakan diri atau mewakilkan. Menurut syariat pula tawakkal bererti “mempercayakan diri kepada Allah SWT dalam melaksanakan suatu rancangan, bersandar kepada kekuatan-Nya dalam melaksanakan suatu pekerjaan, berserah diri di bawah perlindungan-Nya pada waktu menghadapi kesukaran”.

Dengan pengertian tersebut dapatlah ditegaskan bahawa tawakkal itu berkaitan dengan suatu rencana yang tetap (KEPUTUSAN) atau kemahuan (AZAM) yang disertai dengan IKHTIAR melaksanakan rencana itu. Ikhtiar dilakukan dalam memenuhi tertib atau sunatullah sahaja. Namun keyakinan tetap bulat kepada Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Adakanlah musyawarah dengan mereka dalam beberapa urusan, dan APABILA ENGKAU TELAH MEMPUNYAI KETETAPAN HATI MAKA BERSERAH DIRILAH KEPADA ALLAH” (Surah Ali-Imran: 159)

Berhubungan dengan perkaitan erat antara tawakkal dengan rencana yang matang (ketetapan hati) dan ikhtiar melaksanakan rencana itu, maka adalah sesuatu kekeliruan jika tawakkal itu diertikan sebagai berdiam diri tanpa ikhtiar sama sekali, misalnya mengharapkan sembuh dari penyakit tanpa berubat atau mengharapkan hidup makmur tanpa bekerja.

Gambar dari kereta:Masjid Agung Surabaya

Banyak dalil dalam Al-Quran dan hadis yang menjelaskan pentingnya ikhtiar, usaha dan bekerja. Dalam berikhtiar itulah proses usaha dan redha menerima “buah” daripada pekerjaan itu, banyak ataupun sedikit. Suatu contoh digambarkan dalam suatu hadis:

“Telah datang kepada Rasulullah SAW seorang lelaki yang hendak meninggalkan unta yang dikendarainya terlepas begitu saja di pintu masjid, tanpa ditambatkan terlebih dulu. Dia bertanya: ‘Ya Rasulullah! Apakah unta itu saya tambatkan lebih dahulu kemudian saya tawakkal, atau saya lepaskan saja dan sesudah itu saya tawakkal? Rasulullah SAW menjawab: ‘TAMBATKAN LEBIH DAHULU DAN KEMUDIAN BERTAWAKKAL LAH ENGKAU!” (Riwayat Tirmidzi)

Tawakkal itu termasuk pekerjaan HATI, terpaut di hati dalam menghadapi sesuatu persoalan atau pekerjaan, di mana manusia merasa bahawa dengan kekuatan sendiri tidak akan sanggup menghadapinya tanpa bersandar kepada KEKUATAN ALLAH SWT.

Perintah Bertawakkal dan Bidang Penerapannya
  • Bertawakkal dalam segala urusan bukan hanya termasuk antara sikap rohani yang baik dan terpuji, bahkan ianya memang diperintahkan oleh Allah SWT. Tawakkal adalah satu manifestasi keyakinan kepada kekuasaan Allah SWT bahawa hanyalah Allah yan berkuasa berbuat sesuatu, sedangkan makhluk tidak berkuasa dan lemah sekali, di mana pada setiap ketika memerlukan pertolongan Allah SWT:

“Dan bertawakkallah engkau kepada Tuhan yang hidup, tiada mati, dan bertasbihlah dengan memuji-Nya.” (Al-Furqan: 58)

“Dan kepada Allah-lah hendaknya berserah diri orang-orang yang beriman.” (Ibrahim: 11)

  • Penerapan tawakkal pada prinsipnya meliputi segala urusan dan pekerjaan yang baik dan segala keadaan yang sulit. Salah satu di antaranya ialah dalam melaksanakan sesuatu perancangan yang sudah matang dalam suatu usaha, pembangunan, perjuangan dan sebagainya. Apabila hati telah padu dan jitu dalam melakukan sesuatu, maka selainnya diserahkan kepada ketentuan Allah jua. Dia Yang Maha Berkehendak dan Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Demikian juga dalam kegiatan ekonomi, berusaha mencari rezeki untuk memenuhi keperluan hidup hendaklah disertai pula dengan tawakkal, sesuai dengan pernyataan Al-Quran:

“Tiap-tiap yang melata di muka bumi ini sudah ditentukan Allah rezekinya. Dia mengetahui kediamannya dan tempat penyimpanannya.” (Hud: 6)

Dalam bidang politik untuk mencapai kemenangan perjuangan Islam, umat Islam wajib berjuang mengatur pula politik dalam menghadapi lawan, seraya bertawakkal kepada Allah SWT:

“Dan jika mereka mahu menipumu, maka sesungguhnya cukuplah bagimu Allah. Ialah yang teguhkan dengan pertolongan-Nya dan dengan mukminin.” (Al-Anfal: 62)

Sewaktu menghadapi bencana dan bahaya yang akan menyerang diperlukan bertawakkal, seraya melakukan segala persiapan yang diperlukan untuk menolak bahaya itu. Misalnya ketika kaum muslimin di zaman Rasulullah dihasut untuk dihancurkan oleh tentera musuh yang besar jumlahnya. Mereka sedia bertempur seraya berkata: “Hasbunallah wa ni’mal wakill” (cukuplah bagi kami Allah SWT dan sebaik-baik Pemelihara).

Sikap bertawakkal di kala menghadapi bahaya ini ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS ketika akan dicampakkan ke dalam api oleh orang kafir, dengan membaca: Hasbiyallahu wa ni’mal wakil.”

Dalam pada itu di kala hendak tidur, di mana seseorang akan kehilangan kekuatan dan tidak tahu apa yang akan terjadi sepanjang waktu tidur itu, maka hendaklah bertawakkal kepada Allah, mempercayakan diri dalam perlindungan-Nya, sebagaimana doa yang diajarkan Rasulullah SAW:

“Ya Allah, aku menyerahkan diri kepada-Mu, dan aku menyerahkan urusanku kepada-Mu, dan aku menyerahkan kekuatanku kepada-Mu, kerana takut dan cinta kepada-Mu. Tidak ada tempat berlindung dan tidak ada tempat lari daripada-Mu melainkan kepada-Mu. Aku percaya kepada kitab yang Engkau turunkan dan kepada Nabi yang Engkau utus.” (Riwayat Bukhari)

Bagi seseorang yang keluar rumah, maka banyak perkara yang akan ditemui dalam pelbagai urusan. Mungkin ada, yang menyenangkan dan ada pula yang menyusahkan, sebagai sebahagian daripada kehidupan. Sebagai makhluk yang dianugerahi fikiran, sebelum keluar rumah sebaiknya mempunyai pertimbangan, pemikiran dan rencana-rencana yang baik dan kemudian segala sesuatunya dipasrahkan kepada Allah SWT.

Selain KETENANGAN JIWA tawakkal membuahkan sikap SYAJ'AH, KEBERANIAN. Contoh kisah ketika Rasulullah SAW diacukan dengan pedang oleh Da’tsur (pimpinan orang-orang kafir). Da’tsur menggertak Rasulullah SAW: “Siapakah yang dapat mencegah pedang ini terhadap engkau hai Muhammad?” Dengan sikap tawakkal Rasulullah SAW menjawab tenang: “Allah!” Pedang terjatuh dari tangan Da’tsur, dan tibalah giliran baginda mengambil pedang itu. Sikap tawakkalnya Rasulullah SAW melahirkan syaja’ah dan kemenangan di mana Da’tsur menyaksikan kehebatan Rasul Allah itu, lalu dia memeluk Islam bersama kaumnya.

Kemenangan yang gilang gemilang banyak kali digondol oleh umat Islam berkat TAWAKKAL. Mereka yang bertawakkal kepada Allah mempunyai IMAN YANG JITU TENTANG KEKUASAANNYA. Ingatlah bahawa makhluk semuanya adalah ciptaan Allah SWT, mereka tidak boleh memberi manfaat dan tidak boleh mendatangkan mudarat. Semuanya ditangan Allah SWT. Walaupun semua manusia berkumpul untuk memberi manfaat kepada seseorang, tanpa izin Allah SWT, mereka tidak boleh berbuat yang sedemikian itu:

“Mereka yang hadapkan perkataan: ‘Sesungguhnya kaum (Quraisy) itu telah kumpulkan (tentera, bagi memerangi) kamu. Lantaran itu hendaklah kamu takut kepada mereka!’ Maka (perkataan) itu menambah iman mereka dan mereka berkata: ‘Allah cukup buat kami dan Ia sebaik-baik penjaga’. Maka kembalilah mereka dengan nikmat dan kurnia dari Allah tanpa ditimpa bencana.” (Ali-Imran: 173-174)

Dalam bidang pencarian rezeki (ekonomi), tawakkal kepada Allah, mendatangkan kecukupan dan rezeki yang tidak terduga-duga:

“Siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Ia jadikan baginya jalan keluar (dari kesulitan), dan akan diberikan rezeki dari jalan yang ia tidak duga-duga, kerana barangsiapa yang bertakwakkal kepada Allah, nescaya Ia jadi Pencukupnya. Sesungguhnya Allah itu telah adakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Ath-Thalaq: 2-3)

Dalam hubungan ini Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Andaikan kamu bertawakkal kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, nescaya Allah akan memberi rezeki kepadamu sebagaimana burung yang keluar pagi dengan perut kosong dan kembali di waktu senja hari dengan kenyang.” (Riwayat At-Tirmidzi)

Pada saat-saat yang berbahaya, di mana wang dan kawan tidak dapat lagi memberikan pertolongan, Allah dapat menolong dan menyelamatkan orang yang bertawakkal.

Demikianlah tawakkal yang menghasilkan pelbagai kebaikan seperti KETENANGAN, KEBERANIAN, KEMENANGAN,PERTOLONGAN DAN PERLINDUNGAN Allah SWT yang membawa kepada KESELAMATAN DUNIA DAN AKHIRAT.

WaAllahu'alam

No comments:

Post a Comment