NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Wednesday, July 1, 2009

MANIS SUDAH

25 Jun hingga 28 Jun 09 petang Khamis sampai Ahad saya menyertai rombongan MBSA di ketuai Datuk Bandar ke Kota Kinabalu Sabah. Pakej bayar sendiri hampir RM2000 ini agak membebankan kewangan peserta. Rata-rata peserta terdiri daripada AJK ekonomi/sosial mampan LA21 Shah Alam yang ingin melihat beberapa strategi negeri Sabah mengendalikan program pelancungan kerana memang ramai pelancung mengunjungi negeri di 'bawah bayu' ini.

Sewaktu MBSA melakukan lawatan ke Surabaya saya tidak dapat ikut serta. Kali ini saya gagahi juga kerana menurut Puan Asmah, penyelaras program, musafir bersama ini dapat bermesra dan lebih mengenali satu sama lain. Saya setuju. Misi saya bermusafir ke Sabah ialah untuk mengenali dengan lebih dekat Datuk Bandar dan pegawai-pegawainya. Antara yang saya ingin dekati ialah En Khalidun bahagian Penguatkuasa. Saya ingin sangat berkongsi dengan beliau wawasan MBSA di pandang 'manis' pada mata masyarakat Shah Alam kerana sebahagian besar mempunyai gambaran yang kurang tepat dan mudah terpengaruh dengan tuduhan seperti ' rasuah', 'on the take', 'tak cekap' dan 'pilih kasih'

Penerbangan dengan MAS-MH2662 selesa dan selepas mendarat di lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu kami dibawa makan malam di restoran Sabah Terf Club Tanjong Aru Jesselton Point. Krew pelancung En. Yamin dari YK Travel & Tours dan Shahira Johari daripada Tourism Selangor amat mesra menyebabkan kami mudah menyesuai diri. Makan tanpa kuah di restoran STCTA biasa sahaja. Kemudian kami check in Hotel Imperial Boutec di tengah-tengah bandar KK. Terkejut juga melihat kedudukan hotel di tingkat 7, namun segala perkhidmatan memuaskan, taraf 3-4 bintang. Room mate saya malam itu Puan Hazlin yang umurnya sebaya dengan menantu saya, sama-sama muda dan manis.


Waktu solat di KK 1 jam awal. Saya terpaksa minta wake-up call jam 4.30 pagi daripada reception di samping minta suami menalipon juga kerana waktu begitu dia biasa bangun solat tahajjud. Bercerita tentang suami saya sejak beliau bersara (umur 55 tahun) dalam tahun 2006 kami memang jarang bermusafir sendirian tapi lawatan kali ini beliau izinkan saya kerana lawatan berstatus 'kerja'. Sewaktu isteri Datuk Bandar bertanya saya 'tak apa ke suami tak ikut sama' saya sempat berkongsi pengalaman bahawa selaku ketua keluarga seorang suami mesti mampu memimpin keluarga berbekalkan dua kekuatan iaitu mambaca dan memahami Alquran serta solat berjemaah di surau atau masjid. Puan Saliza, isteri Datuk Bandar terpingga-pingga bila saya pusing jawapan yang bermaksud 'tak apa suami saya izin dan telah mendidik saya dengan dua kekuatannya dan mempercayai saya boleh bersendiri tanpa kehadirannya bila-bila masa dan di mana sahaja. Sori..puan saliza, saya berbelit menjawab soalan puan yang mahal tu!


Pagi hari kedua saya miss sarapan di tingkat 11 Hotel international di bangunan sebelah tempat kami menginap. Lawatan ke City Hall KK bermula 8.30 pagi. Desas desus pagi itu baru saya tahu bahawa ada di kalangan ahli rombongan kurang selesa dengan bilik kecil dan bercadang berpindah hotel. Apa pun masalah itu dapat di bereskan dengan hikmah oleh penyelaras yang cekap Puan Asmah. Petangnya saya berpindah ke bilik lain, bersendirian.


Sepanjang taklimat oleh Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), En Teo Boon Hai @ Muhammad kami dapat merumuskan pengalaman DBKK mengendali program pelancungan lebih lama kerana telah wujud Sabah Tourism Board sebelum Malaysia wujud lagi. DBKK tidak mempunyai ahli majlis tetapi di panggil 'advisers'. Yang cantiknya tarikh pengistiharaan DBKK ialah 020202, 2 hb Februari tahun 2002. Program 3K yang menjadi motto DBKK ialah Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan. Dan yang paling menarik ialah dasar DBKK terhadap 'sampah'. Orang yang membuat sampah di gelar 'kutu sampah' dan mereka mengadakan kempen menangkap kutu sampah. Mereka juga mengujudkan sukarelawan yang membantu kerja penguatkuasaan serta menganjurkan pertandingan kampong, premis kedai, pejabat dan pekan "TANPA SAMPAH'


Petang hari yang sama kami berpeluang melawat kampong Cenderamata dua Likas yang berkali-kali di anugerahkan 'Kampong Tanpa Sampah'. Kami di sambut dengan kompang dan gong diiringi penduduk berjalan sekeliling kampong yang memang ketara bersih dan tiada kelihatan sebarang sampah di jalan atau di bawah rumah. Rahsianya mengikut AJK kampong yang jelas komited mempertahankan kejuaraan kampongnya ialah kesedaran masyarakat serta kerjasama semua pihak. Selain setiap rumah mesti mengadakan tong sampah di hadapan rumah yang hanya merupakan bekas tong cat, mereka juga menyumbang RM5 untuk mengupah dua orang pekerja menyampu sampah sekeliling kampong serta membawa sampah ke kebok sampah setiap pagi. Rupanya DBKK tiada agensi macam 'Alam Flora' kerana semua tugas di kendali pekerja rendah DBKK. Tahniah kepada kampong tanpa sampah kerana saya memang pertama kali mendengar dan melihat sendiri realiti yang tidak mustahil dapat di laksanakan di tempat lain termasuk di sekitar pangsapuri Shah Alam.


Rumusan lawatan ke Kampong Tanpa Sampah dan iktibarnya ialah betapa sampah merupakan noda hitam yang boleh merosakkan imej sesebuah masyarakat. Sebaliknya tanpa sampah menaikkan taraf sesebuah kampong sehingga menjadi destinasi pelancung. Rata-rata saya melihat warga Shah Alam masih jauh daripada amalan membuang sampah di tempat yang betul. Ini mungkin kerana kebiasaan dan kurang civic-minded (bertamaddun), kurang tong sampah, atau tong sampah terlalu kecil atau kutipan yang tidak berjadual. Amalan pemakanan juga menyumbang kepada jenis sampah yang berair dan mudah berbau.

Saya masih ingat sewaktu tinggal di Wales United Kingdom, semasa suami saya melanjutkan pengajian Mastersnya. Petugas university Wales yang menjaga kuarters yang di sewakan kepada kami memberi syarat ketat agar siling dan dinding sentiasa bersih daripada percikan minyak atau sebarang kotoran kerana pengalaman mereka penyewa mudah mengambil ringan soal kebersihan. Saya rasa amalan ini boleh di kenakan kepada semua penyewa kerana ia boleh mendidik sikap bertanggongjawab. Saya masih ingat lagi bagaimana saya seisi keluarga membersihkan rumah kuarters itu setiap kali pemeriksaan akan di buat iaitu dua minggu sekali. Kini pengalaman itu menjadi 'manis' kerana ia mengindahkan sikap kami terhadap kebersihan.


Kecantikan pesisiran pantai dan gunung ganang negeri Sabah memang tidak dapat di tandingi dan kami menikmati keindahan tersebut sewaktu makan tengahari dan sebelah malamnya sepanjang perjalanan ke pusat beli belah One Borneo. Makanan 'steam boat' di restoran 'Shiok' memang shok..sedap, 'manis' dan menyelerakan. Hanya masa yang merintangi hajat kami nak bershopping sakan, namun yang jelas One Borneo sebuah shopping kompleks mega, tak cukup sehari kalau nak jelajah. Nun di sebelah bukit One Borneo kami melihat keindahan masjid Universiti Malaysia Sabah (UMS). Rupa-rupanya kompleks beli belah ini berkongsi pagar dengan UMS. Bakal-bakal pelajar IPT yang suka shopping bolehlah mohon kemasukan menjadi pelajar UMS.


Di tengah-tengah kota KK setiap malam ada pasar rakyat yang menjual pelbagai barangan dan kraf. Kami sempat meninjau pasar tersebut yang rata-rata di kendali oleh rakyat pendatang Filipina dan tarikan utama ialah barang hiasan batu permata dan mutiara. Mungkin saya menyelaras projek Kraf kreatif yang memang mengusahakan produk yang sama, rasanya yang dapat saya belajar daripada jualan malam itu ialah kegigihan penjual serta penghasilan yang memungkinkan barangan di jual begitu murah. Hampir separuh harga barang yang sama yang di jual di Shah Alam.


Hari ketiga kami bersiap untuk melawat tempat pelancungan Gunung Kinabalu dan Kundasang. Perjalanan dua jam dalam bas seronok bila en yamin mula bercerita tentang sejarah sabah dan pelbagai suku kaum yang terdapat di sana. Satu kesah yang tidak mudah di lupai ialah makanan kaum murut yang begitu 'meremangkan bulu roma'..kesah anjing yang di biarkan lapar hampir seminggu kemudian di beri makanan yang sedap-sedap. Selepas makan, perut anjing di pukul sehingga makanan di muntahkan semula dan itulah makanan 'jeruk' kaum murut!! Lama juga selera saya terganggu mendengar kesah 'jijik bercampur kejam' itu.


Kami masing-masing berkongsi teka teki dan kuiz di mana lima peserta termasuk saya menggondol hadiah Puan Ira di hari akhir musafir. Antara soalan yang menarik ialah 'apa yang membuatkan minuman manis?' dan 'Apabila kapal tenggelam apa yang timbul.' Jawapan kepada soalan pertama meggambarkan satu proses 'memaniskan' minuman. Aakhirnya en khalidun dapat jawapan 'stir' dalam bahasa Inggeris atau 'di kacau air itu' dalam bahasa melayu dan dapat hadiah T shirt logo Gunung Kinabalu. Iktibar soalan ini ialah kita jarang memanafaatkan bahan-bahan yang dapat 'memaniskan' kehidupan kita. Kita tidak kreatif untuk mencampurkan dan mengacau bahan hingga dapat di kecap manisnya. Samada bahan-bahan itu di biarkan tidak di campur atau bila di camapur tidak di kacau dengan baik. Saya menjelaskan kepada Datuk Bandar supaya memanfaatkan sumber di sekitar MBSA termasuk kepakaran Ahli Majlis dan kemampuan anggota MBSA untuk 'memaniskan' kerja MBSA. Tugas mengacau minuman di MBSA ialah pemimpinnya!


Lantas saya teringat mesej YAB Menteri Besar Selangor dalam perhimpunan pagi baru-baru ini. Beliau merujuk kepada buku yang di bacanya 'The Milkshake Moment' oleh Steven S. Little di mana prosesnya sama dengan 'memaniskan' minuman. Mengikut kesah dalam buku itu penulisnya mengalami saat kecewa bila hotel yang didiaminya tidak menyediakan minuman 'milkshake' dalam menunya. Beliau kemudiannya minta di sediakan secawan susu dan dua skup aiskrim serta sudu untuk mencampurkan keduanya jadilah minuman yang manis! Iktibar kepada organisasi ialah setiap petugas mesti di ajar dengan pelbagai cara untk menggembirakan pelanggan kerana hidup bukan sekadar mencari sesuap nasi sara hidup tapi yang lebih penting menghidupkan ruh kemanisan berkhidmat dengan nilai kemanusiaan dan memberi sumbangan terbaik termasuk menjalin hubungan yang ikhlas dan mesra.


Berbalik kepada soalan kuiz yang kedua daripada Ahli Majlis Kamaruzaman, bila kapal tenggelam, yang timbul ialah..masaalah. Yang cantiknya rombongan kami ke KK tiada banyak masalah kerana di selaras dengan cekap dan kemas. Masing-masing dapat membawa pulang oleh-oleh makanan seafood sabah, ikan masinnya, mutiaranya dan pengalaman-pengalaman 'manis sudah' (lenggok bahasa Sabah) bersama anggota rombongan yang tak sempat di nukilkan dalam blog ini. Lain kali insya Allah.

Saya sendiri merasai kemanisan bertemu muka setelah hampir 10 tahun dengan bekas fasilitator saya seorang warga Ranau yang datang 'just to see me' di Kundasang. Pertemuan mata lima minit menitiskan air mata rindu! Ah.. manisnya persaudaraan atas nama Islam.

Misi saya ingin mengenali lebih dekat anggota MBSA antaranya En Khalidun tercapai sudah. Beliau mempelawa saya menyampaikan apa-apa mesej penting dalam program pagi Jumaat bersama anggota penguatkuasa MBSA. InsyaAllah saya akan pertimbangkan. Apa pun tahniah kepada Datuk Bandar Shah Alam dan ahli rombongan melawat Kota Kinabalu Sabah. Pastikan ada sedikit kesan selepas ini melalui perancangan di mana-mana Jabatan di MBSA, mungkin akan lahir 'pasar malam tanpa sampah' yang pertama di Shah Alam?

Akhir kata memang musafir itu ada iktibarnya pada kehidupan kita semua. Rasulullah saw ada bersabda yang maksudnya 'hiduplah kamu di dunia ini sebagai musafir' Tiga perkara seorang musafir perlu lakukan ialah membuat persiapan; tinggal atau ziarah sementara di tempat bermusafir dan akhirnya kembali ke tempat asal. Semoga kita dapat menjadikan kehidupan yang singkat ini satu pemusafiran menuju akhirat kerana kita akan kembali ke asal juga akhirnya (tanah). Persiapan yang sewajarnya perlu ada untuk perjalanan ke akhirat, antaranya akidah yang selamat dan amalan soleh yang di redhai Allah. Kita di alam barzah pun tidak lama kerana akan seterusnya menuju ke alam penentuan iaitu akhirat yang kekal samada ke syurga atau neraka. Untuk itu tepok dada tanyalah iman kita!. WaAllahu'lam, yang baik daripada Allah, yang kurang itu kelemahan saya sendiri.

1 comment:

  1. cantik hikayat lawatan ke K.K. Teringat masa selalu ke sana dulu. pastinya dah banyak berubah. munkin lain kali hati-hatinya pun ikut berubah, kearah yang Allah perintahkan.sobah

    ReplyDelete