NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Friday, July 3, 2009

AHLI SYURGA DI RUMAHKU

Jam kini menghampiri 1.00pagi 4 Julai. Sudah masuk hari Sabtu. Sebaik sahaja saya melancarkan 'blog mutshahidan' yang bermaksud 'mati shahid' tengahari tadi 3 Julai, saya di kejutkan dengan berita Zura menantu saya kematian anak dalam kandungannya yang 'overdue' sehari. Sebak suara along anak saya yang tua memberitau berita tersebut masih terngiang di telinga. Sepantas itu juga suami saya menghantar sms kepada kedua menantu dan anak saya berbunyi 'Assalamualaikum abah harap along dan zura redho dan sabar dengan ketentuan Allah, insyaAllah ada hikmah di sebalik setiap musibah untuk menguji keimanan kita. Jangan sekali-kali putus asa atau buruk sangka terhadap Allah.'



Urusan mengurus jenazah perlu di jalankan. Along menghantar sms 'beritau pada semua keluarga dan jiran. Along dah tak terdaya.' Untuk menenangkannya saya jawab sms ' kena sabar. Ingat Allah. anak ahli syurga. Tenangkan Zura. yang lain nanti umi urus.' Lantas bertebaranlah sms saya kepada adik beradik, pasukan muslimat surau Attaqwa yang mengurus jenazah dan kawan-kawan serta bahagian korporat MBSA. Tanah pengkebumian di Shah Alam di urus MBSA dan saya perlu pastikan walau apa pun jenazah mesti di kebumikan hari ini juga. Saya tidak mahu berulangnya kesah MBSA tidak melayan pengkebumian selepas jam 5.00 petang kerana sebagai umat lslam saya kena jelaskan bahawa syariat Islam menggalakkan urusan jenazah di segerakan sekalipun di tengah-tengah malam. Tambahan arwah cucu saya seorang 'ahli syurga' yang tidak boleh di lewatkan demi kerenah manusia 'ahli dunia'.



MasyaAllah..rumah saya menerima tamu ahli syurga pada hari Jumaat jam 6.30 petang setelah saya, suami dan seorang teman yang sanggup bercuti tugas menunggu di Hospital Putera Jaya agak lama juga untuk mengeluarkan mayat cucu saya di bawa pulang. Urusan pengkebumian turut saya pastikan daripada Pengarah Khidmat bandar MBSA agar mengizinkan di lakukan hari ini juga walaupun selepas jam 7.00 malam. Agak keberatan Dr Hj Roslan menerima permohonan saya kerana keterikatannya dengan dasar tidak menggalakkan kakitangan melakukan 'overtime'. En Mulyadi terus terang menyatakan dia di minta 'tidak melayan' permintaan atau 'tinggalkan tanah perkuburan' sekiranya mayat lewat di hantar. Kadang-kadang kerenah birokrasi tidak jelas di mulut pembuat dasar, ia terungkap daripada luahan petugas bawahan, ini yang sering berlaku dalam mana-mana organisasi, tidak terkecuali MBSA. Tidak kebetulan peristiwa hari ini berlaku, kerana sedikit demi sedikit saya mula belajar mengenali beberapa peribadi di MBSA.



Sepanjang perjalanan memangku arwah cucu saya pulang ke Shah Alam saya mengamati wajah cantik seorang 'ahli syurga'.. semerbak wangi baunya, senyum bibir mungilnya, putih bersih kulitnya...ya Allah aku sedang memangku seorang Ahli syurgaMu...Cucu saya cukup sifatnya, sempurna segalanya, namun umurnya hanya di takdir untuk alam kandungan ibu terus ke alam barzah. Saya namakan cucu saya 'MUTSHAHIDAH' (wanita mati syahid). Terbayang di fikiran saya mengapa anak yang sebersih fitrah ini ada kalanya terbiar dan sanggup di buang oleh ibu bapa mereka angkara maksiat atau 'terlanjur'. Mengapa mereka sanggup meperlakukan sewenang-wenang kepada seorang 'ahli syurga'? Anak yang lahir tidak bersalah, tingkah laku manusia ahli nerakalah punya masalah bayi di buang sesuka hati.



Apa pun telah menunggu di rumah saya pada jam 6.30 petang 10 Rejab 1430H sekumpulan rakan kariah surau Attaqwa yang telah mempersiapkan urusan untuk menyempurnakan jenazah. Walaupun seorang anak kecil, ia merupakan satu penghormatan terakhir tanda mulianya mertabat seorang insan menurut syariat Islam di muka bumi Allah ini. Tidak terbalas rasanya jasa kawan-kawan yang membantu saya menguruskan tetamu ahli syurga di rumah saya petang itu. Saya amat puas memangku jenazah cucu saya di mandikan dengan sempurna, di kapan dan di solatkan di surau Attaqwa. Hati saya dengan kariah surau taqwa kian erat. Ini lah hikmah menerima tamu ahli syurga di rumah saya.

No comments:

Post a Comment