NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Saturday, August 30, 2014

DIAMOND REUNION

Assalamualaikum
Sabtu 23 Ogos 2014/ 27 Syawal 1435H di sambung hingga Sabtu 30 Ogos

Alhamdulillah kenangan paling manis bersama teman sekolah yang tak pernah bertemu lebih 50 tahun. Tak sedar perangai keanak-anakan terkeluar seolah kami di umur remaja.
DUA GAMBAR KENANGAN BERSAMA KAWAN-KAWAN DUA BANGSA


Masa yang berlari kencang tidak memungkinkan saya meneruskan blog kerana kini 7 hari kemudian baru punya kesemptan menulis semula dari kejauhan Langkawi dan Shah Alam.

Pada malam Ahad 24 Ogos saya dan suami bersama adik lelaki dan keluarganya bermusafir ke utara. Bertolak jam 9 malam kami sampai di Kuala Perlis 5.30 pagi.Adik saya mengemudi perjalanan tidak mau di bantu lantas kami berehat sepanjang perjalanan. Tidak kami jangka juga perlunya rehat yang panjang kerana sejak Khamis persiapan Rumah Terbuka Aidilfitri Smartop belum sempat melegakan otot-otot tegang. Petanda keletihan mula nampak pada suami saya yang berterusan batuk dan selsema.

Tajuk DIAMOND REUNION sempena 75 tahun sekolah Sultan Abu Bakar Girls school (SABGS) Muar ujud. Majlis makan malam di adakan untuk mengutip derma kebajikan sekolah yang telah banyak memperlihatkan kejayaan. Puan Sri isteri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia adalah bekas pelajar SABGS, 3 tahun junior kami. Alhamdulillah saya dapat hadir kerana tidak mungkin saya bertemu rakan sepersekolahan semula kalau tidak di adakan majlis sebegini.

MAJLIS MAKAN MALAM DENGAN TEMAN LAMA


Antara nostalgia kembali ke perkarangan sekolah ialah teringatkan kelas kami belajar, padang kami bermain dan lokasi strategik kami berkawan. Sayu, sedih, kesal bercampur baur. Di hadapan teman bangsa Cina saya berterusterang menyatakan kesal tidak memahami bahasa Cina sedangkan kami di kelilingi rakan dan teman Cina yang amat rapat dan ramai. Basic morality mereka terserlah bilamana kami di sambut hangat di rumah homestay dengan pelbagai juadah dan snek kegemaran sewaktu remaja i.e mi siput goreng dengan sambalnya!

Bersambung lagi episod ini di Shah Alam (Sabtu) selepas pulang daripada Langkawi membawa balik Naza Ria untuk Smartop. Keletihan yang amat sangat ternyata pada suami yang sakit seluruh anggota, saya juga begitu dengan keadaan diabetik tak terkawal sebab tertinggal alat ukuran dan ubat sekali. Saya hanya berkongsi dengan Allah yang menjaga saya sejak kecil melalui berbagai insan yang baik, ibu bapa,adik beradik dan suami serta anak-anak. Cara begini mengajar saya redho disamping tidak mengharap ihsan manusia. Bukan ego tapi lebih mudah kita pasrah kepada ketentuan Allah daripada mengadu kepada manusia yang sama status kesihatan dengan kita.
DENGAN SENIOR SABGS MURNI KARTO-DOAKAN TWIN DI JANNAH


Apa pun saya terkesan bertemu seorang senior SABGS yang berumur 70 tahun namun wajah dan keceriaannya tidak berubah. Katanya senyuman saya dengan dia serupa,maka saya pun mengambil gambar sambil berdoa saat umur saya boleh sampai 70 tahun (lagi 4 tahun) saya ingin kekal kuat sepertinya. Dalam majlis yang sama senior ini mendapat anugerah tokoh bekas pelajar yang berjasa kepada masyarakat kerana beliau pernah menjadi Pengetua Sekolah Tun Fatimah Johor dan pelbagai khidmat bakti lain.Aamiin

Menghulur salam silaturrahim setelah puluhan tahun tidak bertemu merupakan satu kehidupan baru.Akhlak dan kebiasaan mula terserlah. Terkejut dengan kefahaman aurat dikalangan bukan lslam, terkedu dengan kebiasaan berkemban dikalangan teman dan hilai ketawa yang ter'over'. Sebelum jamuan makan malam kami berpakat membuat penampilan almaklum seorang teman memang pandai berhias dengan hiasan terkini. Proses 'makeover' agak terbantut kerana teman penghias tertinggal beg bajunya di KL.

Saya menjadi sasaran makeover kerana ingin mengenakan tudung half moon serta inner yang baru di beli dengan seorang anak saudara. Hasilnya munasabah cantik, tapi suami saya memberi komen 'be yourself' maksudnya tak perlu berhias dalam umur sekarang.

Paling lucu dalam menggayakan 'makeover'ialah sewaktu kereta estima kami ingin memasuki perkarangan sekolah kami di tahan kerana tiada 'pass' vip sekalipun memperkenalkan diri sebagai 'Datin' kerana teman kami Sharifah isteri Dato Fadhilah Kamsah memang seorang Datin.Akirnya beliau mengaku ' kami semua sakit kaki tak boleh berjalan jauh,orang tua...'Guru yang menjaga parking kebetulan seorang Cina menggunakan walkie talki'memberitahu penjaga parking dalam kawasan sekolah...hello ini ada van mau drop orang-orang tua....Serentak kami lapan orang dalam van tergelak besar...alahai with the makeover...kami akan di turunkan sebagai 'orang-orang tua. Peristiwa yang menjadi kenangan DIAMOND REUNION.

Kebetulan esok sambutan kemerdekaan ke 57 Malaysia. Sana sini nampak bendera termasuk ada yang menjadi pakaian anak-anak.Konsep merdeka masih samar-samar dalam praktik hidup umat di Malaysia. Masih terjajah dengan pengaruh keduniaan dan nafsu. Apapun mutakhir ini kezaliman zionis yahudi di Gaza dapat di hentikan dengan adanya perjanjian genjatan senjata. Presiden baru Turkey pun membahagiakan bila Edorgan menggantikan Abdullah Gull. Saya optimistik umat lslam dapat belajar daripada kejadian yang di izin Allah berlaku untuk mendidik kita membulatkan azam mengagungkan Allah setiap saat. Tanpa mengagungkan Allah yang menghidup dan mematikan manusia segala nikmat yang di sediakanNya tidak bererti dan tidak terarah kepada kebaikan.  WaAllahualam

No comments:

Post a Comment