Salam
Isnin 24 Mac 2014/22 JamadilAwal 1435H
Berita sepupu saya di Sg Merap Kajang meninggal dunia mengejut 2.30 pagi Sabtu menyedihkan saya kerana keakraban kami sejak bersekolah di Muar sedia terjalin. Saya pernah menumpang di rumahnya ketika saya memulakan sekolah menengah Sultan Abu Bakar Girls' School Muar. Umurnya muda 6 tahun daripada saya dan tidak di kesan mengidap sebarang penyakit. Beliau meninggal sedang beramal soleh menjaga ibu yang uzur berumur hampir 80 tahun.
Terkini sebentar tadi berita sedih penerbangan MAS MH370 disahkan terhempas di Lautan Hindi barat Australia, sebuah kawasan terpencil yang berombak besar. Mudah-mudahan segera terjumpa black box dan serpihan serta mayat penumpang.
Lama saya tidak menulis blog kerana isu yang terpanggil untuk saya pantau hanyalah kehilangan MH370. Kini teka teki dan spekulasi sudah terjawab. Urusan di Langkawi turut sibuk kerana menyelaras pakej tetamu yang menempah 3 kali makanan selama 5 hari mulai 17-21 Mac. Langkawi Lite masih perlukan komitmen pengurusan yang menetap di sana kerana perkembangan yang berlaku perlu di selaras dengan cekap. Terkini dari segi kewangan ia masih defisit. Tenaga pekerja masih di cari berpaksikan sifat jujur dan ingin maju bersama.
Perkembangan mutakhir ialah dengan saya sendiri dan suami di rehatkan daripada menyelaras kerana adik saya tidak sanggup membebankan kakak dan abang iparnya ke hulu ke hilir membantu apa yang patut. Alhamdulillah. Selepas ini kehadiran saya di Langkawi adalah sebagai pelancung bebas dan sekali sekala meninjau keadaan homestay.
Tajuk blog BERITA SEDIH ingin meneroka keadaan suami arwah sepupu saya kerana setahu saya pasangan ini amat akrab. Saya kuatirkan kesedihan suaminya menyebabkan beliau jatuh sakit dan seumpamanya. Alhamdulillah sewaktu menziarahi beliau pada hari Ahad dia 'composed' (tenang dan terkawal). Ibu mertua yang di jaga arwah isterinya masih ada di rumah dan mendapat layanan baik berserta pembantu khas yang telah 12 tahun bertugas. Kabarnya dalam masa terdekat akan berpindah ke rumah anaknya berhampiran Bangi.
Ahad juga hari mengundi kawasan Kajang dan suami saya sempat menunaikan tanggungjawabnya. Berita kemenangan calun Parti Keadilan Wan Azizah tidak memeranjatkan kerana kawasan orang Melayu lslam yang berpendidikan dan matang berpolitik jelas akan mengundi calun yang akan memenangkan lslam dalam masyarakat. Semoga akan berlaku perubahan cara berfikir yang lebih positif melalui pemimpin baru ini, insyaAllah. Begitulah proses perubahan perlu bermula dan terus istiqamah agar Allah beri hidayah dan memperkukuh akidah umat lslam dalam masa mendatang.
Keluarga Kajang turut mengadakan majlis merancang pernikahan seorang anak saudara yang akan berlangsung pada 11 April. Semoga Allah memberkati keluarga besar ini menyediakan persiapan majlis tersebut.
Setiap yang berlaku adalah dengan izin Allah. Ibrah peristiwa sedih yang saya paparkan adalah untuk persiapan diri melalui zon yang sama bila-bila masa di takdirkan. Masa terlalu singkat untuk tidak berbuat sesuatu menuju ke alam tersebut. Mari betulkan nawaitu, pasrahkan diri, tingkatkan taqqarub ilal Allah dan memohon agar bertemu Allah dalam keadaan di redhaiNya.
Sepanjang tidak menulis saya sempat mendengar ceramah Ustaz Hasrizal (Saifulislam.com) tafsir surah Al Kahfi mengenai anak muda yang menjaga iman di tengah-tengah masyarakat yang menentang mereka. Allah tambahkan iman mereka, beri hidayah memudahkan perjalanan mereka dan menyimpulkan iman tersebut di sanubari untuk mereka mengajak orang lain mengakui bahawa TUHAN KAMI ADALAH TUHAN YANG MENCIPTA LANGIT DAN BUMI.. kalimah yang sedia ada dalam fitrah insan bahawa mereka tahu ada Tuhan yang menjadikan alam ini. Semoga kalimah dakwah ini akan segar dalam fikiran kita untuk di sebarkan melalui akhlak dan peribadi yang kita di didik melaksanakannya tanpa jemu. WaAllahu'alam.
No comments:
Post a Comment