'SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG SELALU MEMBACA KITAB ALLAH (ALQURAN) DAN MELAKSANAKAN SOLAT DAN MENGINFAQKAN SEBAHAGIAN REZEKI YANG KAMI ANUGERAHKAN KEPADANYA DENGAN DIAM-DIAM DAN TERANG-TERANGAN, MEREKA ITU MENGHARAPKAN PERDAGANGAN YANG TIDAK AKAN RUGI.' (ALFATIR 29)
NIKMAT ALLAH
Sunday, January 6, 2013
MUHAMMAD AL FATEH TERKESAN DENGAN GELARAN
Salam
Ahad 6 Januari/28 Safar 2013
Dua hari saya berehat di Shah Alam. Tiba-tiba saya terkenang kisah Muhammad Al Fateh pembuka kota Constantinople atau lstanbul sekarang. Beliau di gelar Al Fateh atau Pembuka oleh ayahnya sejak kecil kerana mengharap hadis Rasulullah saw mengena peribadi 'sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik tentera' sehingga seorang sahabat Ayyub AlAnsari berhijrah ke Turki 'untuk mendengar derap kaki kuda tentera 'terbaik'. Pastilah setiap kejayaan bermula dengan hasrat dan cita-cita besar yang perlu di contohi semua umat lslam agar cemerlang dan SUPAYA ALLAH MENGETAHUI SIAPA YANG MENOLONG AGAMANYA DAN RASUL-RASULNYA PADAHAL ALLAH TIDAK DILIHATNYA (SURAH AL HADID-25).Dibawah ini rencana mengenai tokoh agung ini:
SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH : CERMINAN PEMUDA BITARA (PAHLAWAN)
“Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menakluknya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah kepimpinannya adalah sebaik-baik pasukan.” Begitulah sabda Rasulullah S.A.W. yang menyatakan perihal Sultan Muhammad Al-Fateh ratusan tahun sebelum kelahiran beliau. Kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh menawan Konstantinopel telah membenarkan kata-kata Rasulullah lantas membawa gambaran kehebatan kepimpinanya saat itu. Perkara yang lebih menarik mengenai perihal pemimpin dan pasukan yang terbaik dalam sejarah ketamadunan Islam ini telah melihat akan kebolehan Sultan Muhammad Al-Fateh menjayakan sebuah misi besar seawal usia 21 tahun. Lantas peristiwa ini membuktikan kehebatan generasi muda.
Generasi muda mencerminkan kekuatan dan kemampuan. Dalam tempoh ini jiwa-jiwa mereka berkobar-kobar dan hangat dalam melakukan sesuatu tugas. Sememangnya pada usia pertengahan membawakan sesuatu yang istimewa. Sultan Muhammad Al-Fateh seharusnya dijadikan contoh pemuda tauladan dengan menampilkan ciri-ciri kebitaraan (Kepahlawanan). Pemuda bitara merujuk kepada sifat-sifat yang tiada tandingannya. Dalam kontek yang lain pemuda bitara juga merujuk kepada pemuda yang unggul. Lantas pemuda bitara menampilkan empat ciri yang istimewa iaitu beridealisme, tinggi nilai intelektual, mempunyai aktivisme dan spiritualisme yang mantap.
Idealisme merujuk kepada sifat mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal. Idealisme terbentuk apabila sesorang individu itu berhasrat akan sesuatu yang unggul. Hal ini jelas ditampilkan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh yang bercita-cita untuk menawan kota konstantinopel. Lantas, penawanan kota tersebut telah menzahirkan kata-kata Rasulullah. Inilah nilai yang terbesar yang menjadi impian dan azimat kesungguhan Sultan Muhammad Al-Fateh. Menjadi pemimpin terhebat dengan kekuatan pasukan yang terhebat di sepanjang ketamadunan Islam sememangnya menjadi cita-cita bagi setiap pemimpin.
Hakikatnya, kualiti idealism yang terbentuk dalam diri Sultan Muhammad Al-Fateh adalah hasil daripada didikan bapanya Sultan Murad. Kesungguhan Sultan Murad mendidik anaknya telah ditonjolkan dengan penanaman benih inspirasi dan imiginasi. Hal ini dibuktikan apabila Sultan Murad memanggil anaknya dengan nama timangan Al-Fateh yang bermaksud Si Pembuka sejak kecil. Justeru, panggilan ini telah sebati dalam diri Sultan Muhammad Al-Fateh lalu membentuk sebuah cita-cita dalam diri beliau.
Intelektualisme bermaksud pengabdian diri kepada penggunaan intelek atau daya fikir. Seseorang individu yang mempunyai daya intelek yang tinggi adalah mereka yang berkemampuan memahami makna sesuatu perkara, mempunyai daya fikir dengan logik, mampu membuat pertimbangan dengan teliti juga mengangkat nilai keadilan dan saksama. Pendidikan yang baik telah diberikan kepada Sultan Muhammad Al-Fateh dalam segala cabang ilmu. Hal ini telah dibuktikan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh melalui penguasaan ilmu dalam bidang sejarah, bahasa, geografi, astronomi dan matematik. Usaha untuk menawan Konstatinopel memerlukan sebuah strategi yang cukup sempurna. Melalui cabang ilmu yang telah dikuasai, diaplikasikan dalam membentuk strategi perang yang hebat.
Sultan Muhammad Al-Fateh telah mengkaji sejarah dengan menilai dan menganalisis punca lebih 10 kali kegagalan percubaan umat Islam menawan Konsantinopel. Pengusaan lebih 7 bahasa telah memberi kelebihan kepadanya dalam mebina hubungan diplomasi dengan kerajaan lain, lantas menjamin keselamatan kerajaan Islam daripada diserang sepanjang pengepungan Konstantinopel. Pada usia 14 tahun, Sultan Muhammad Al-Fateh telah diamanahkan bapanya untuk memimpin kerajaan Uhmaniyyah. Secara tidak langsung, ilmu kepimpinan telah diberikan kepada Sultan Muhammad Al-Fateh pada usia remaja. Atas kesedaran tentang kepentingan penguasaan teknologi, Sultam Muhammad Al-Fateh telah mengupah tenga pakar dari Hungary bagi menghasilkan sebuah senjata perang yang terhebat pada zaman tersebut iaitu sebuah meriam yang dikenali sebagai Meriam Urban.
Aktivisme merupakan amalan melibatkan diri dalam sesuatu kegiatan atau perjuangan secara aktif. Mengambil iktibar melalui kampen peperangan menawan kota konstantinopel, Sultan Muhammad Al-Fateh telah mengangkat nilai ini dengan meletakkan tanggungjawab ke atas segala aspek persiapan dan terlibat secara langsung dengan peperangan tersebut. Sebagai contoh, beliau sendiri telah membuat penyamaran menyelinap masuk ke Kota Konstantinopel bagi mengkaji struktur dan bentuk geografi kota tersebut. Malah, Sultan Muhammad Al-Fateh juga terlibat secara tidak langsung dengan beberapa peperangan kecil.
Tatkala berlaku serangan laut antara armada tentera Uthmaniah dengan armada Kristian, Sultan Muhammad Al-Fateh dengan bersungguh-sungguh memberikan semangat dengan berteriak di persisiran pantai. Inilah gambaran seorang pemimpin yang hebat atas sifat tanggungjawab dan rasa kepentingan untuk turun padang bagi menjayakan matlamat. Seringkali beliau menyusuri penempatan penduduk Konstantinopel bagi mendengar sendiri permasalahan dan rintihan rakyat setelah penawanan kota tersebut. Jelas sekali, beliau telah meletakkan taraf status yang sama seperti rakyat biasa lantas mengetepikan status sosial bagi menjalankan gerakan bakti kepada masyarakat.
Spiritualisme bermaksud sesuatu amalan yang bersifat kerohanian. Aqidah yang benar adalah kunci kepada spiritualisme. Ia diikuti dengan konsistensi dalam beramal. Spiritualisme meletakkan individu dekat dengan Sang Pencipta, malah sentiasa di bawah pengawasanNya. Kepemudaan Al-Fateh mencerminkan nilai spiritualisme yang tinggi. Seawal usia baligh, beliau tidak pernah meninggalkan solat Tahajjut, solat Sunat Rawatib apatah lagi solat fardhu. Malah kemampuan beliau menanamkan nilai ini dalam jiwa-jiwa pengikutnya harus diteladani. Rakyat yang tinggi amalan kerohanian sahaja dipilih sebagai tentera. Ini menjadi titik tolak kepada terbentuknya barisan tentera yang berdaya tahan tinggi dan berkemampuan meraih kemenangan. Setiap malam, sepanjang kempen penawanan Konstantinopel, Sultan Muhammad Al-Fateh telah memantau khemah-khemah tenteranya bagi memastikan setiap dari mereka menghidupkan malam dengan amalan kerohanian.
Sultan Muhammad Al-Fateh juga sentiasa berdamping dengan ulama’, malah beliau mengangkat mereka sebagai guru. Para ulama’ juga dijadikan sumber rujuk dalam memastikan dirinya sentiasa berada dalam landasan yang benar. Tambahan, golongan ulama’ seperti Syeikh Aq Syamsudin dan Syeikh Ahmad Ismail Al-Kurani sentiasa tegar memberikan rangsangan bagi menjayakan misi merealisasikan hadis Nabi Muhammad S.A.W. Spiritualisme telah meletakkan seseorang individu itu kepada pergantungan terus kepada Allah Taala. Melalui kebergantungan ini lahirlah keyakinan dan kesabaran dalam mendepani pelbagai masalah. Malah spiritualisme mampu mengangkat motivasi individu. Ia dilihat sebagai satu kuasa dalaman yang mampu meledakkan kesan yang luar biasa jika dizahirkan.
Secara umumnya, ciri-ciri kebitaraan yang telah ditampilkan sepanjang kepemudaan Sultan Muhammad Al-Fateh harus diteladani. Malah, kehebatan beliau telah meresap ke dalam jiwa-jiwa segenap individu di sekeliling lantas membentuk masyarakat yang unggul. Oleh itu, usia muda ini harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Sebolehnya seseorang pemuda ini mempunyai cita-cita yang tinggi, mengangkat nilaian ilmu, sentiasa berdamping dengan masyarakat malah mempunyai ketakwaan yang utuh. Inilah gambaran terbaik yang harus ditanamkan dalam jiwa-jiwa pemuda hari ini.
Posted by Muhamad Aliemran Bin Norasid
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment