

Salam
1 January 2010 mencatatkan beberapa sejarah, berita kembali ke rahmatullah bekas Presiden Indonesia GusDur (Abdul Rahman Wahid) dan bekas Menteri Penerangan Malaysia Dato' Muhammad Rahmat. Satu iktibar kepada semua yang masing-masing menghitung saat bertemu Allah.
Pagi tahun baru saya menghadiri ceramah ringkas kupasan dan tafsir surah Luqman. MasyaAllah...baru saya terfikir akan menjadikan program Motivasi LuqmanulHakim sebagai pakej tarbiyah anak-anak remaja kini Allah izin seorang Ustaz mengupas maksud ayat-ayat tentang nasihat Luqman, alhamdulillah setinggi kesyukuran.
Yang penting dalam nasihat Luqman ialah BERIMAN DAN YAKIN DENGAN HARI AKHIRAT. Kedua isu inilah yang menjadi masalah untuk di terapkan kepada umat Islam kerana ia menyentuh perkara 'ghaib' yang tidak nampak dek mata kasar kecuali oleh hati-hati yang di beri cahaya hidayah dan petunjuk oleh Allah.
Selepas waktu Jumaat keluarga Kohatsa berkumpul di rumah Hj Rosli kerana bersiap untuk menyertai rombongan meminang bagi pihak anak saudara (Muhd Zaki anak Hj Kamardin). Saya anggap ini PERTUNANGAN GLOBAL kerana Muhd Zaki bertugas di New York dan bakal isterinya akan menyelesaikan pengajian dentistry di Australia. Katanya semua adik beradik kedua belah pihak yang sedang belajar di luar negara pulang meraikan majlis istimewa yang jatuh pada hari istimewa ini.

Memang paling istimewa majlis petang tersebut kerana yang datang menyertai rombongan pertunangan paling ramai yang pernah saya hadiri, penuh sesaklah ruang dalam rumah bakal tunangan. Pada saya ia petanda rezeki kepada keluarga yang menghantar dan menerima. Bukan senang nak menjamu tetamu sedangkan menjamu tetamu itu satu barakah.
Di mudahkan cerita rupanya kedua ibu bakal akan bertunang adalah kawan lama sewaktu di sekolah berasrama penuh dan mudahlah berkira bicara. Pemerhatian saya juga banyak baiknya daripada keluarga terpelajar ini kerana semua aturcara di lakukan sendiri adik beradik mereka yang punya 'tokoh' belaka, seorang jadi emcee seorang lagi membaca doa dan anak perempuan yang akan bertunang ini adalah tunggal perempuan. Paling istimewalah layanan, alhamdulillah.
Lebih menarik dalam acara melakukan majlis pertunangan ada pantun memantun, nasihat menasihati, antaranya pertunangan ibarat 'dapat pasport tapi belum di beri visa' nak memulakan perjalanan. Tepat sekali kerana karenah remaja yang kurang faham menganggap 'pertunangan' paspot membenarkan bakal isteri di bawa ke hulu ke hilir...itu ada kaitan dengan menjaga maruah keluarga. Semoga dua keluarga terpelajar ini lebih faham peraturan almaklum mereka pun penduduk GLOBAL. Bukankah peraturan Islam itu global, untuk semua umat manusia di seluruh dunia (rahmatan lil alamin).
Kesempatan bertemu, ahli Kohatsa mengadakan perbincangan untuk mengadakan program hari keluarga di Mersing sempena cuti Tahun Baru Cina 14 Februari. Program MABIT (Malam bersama Iman dan Taqwa) di war-warkan kerana ia akan menjadi pakej istimewa program Akademi Insan. Alhamdulillah...satu perkembangan yang patut di sertai oleh semua ahli keluarga kerana hanya iman dan taqwa yang menjamin penyatuan hati dan silaturahim yang berterusan.
Satu sentuhan hati telah di suarakan oleh salah seorang ahli Kohatsa iaitu berkaitan bagaimana anak-anak harus menyantuni ibu bapa. Sewajarnya sewaktu ibu bapa masih hidup mereka di beri layanan istimewa antaranya kalau anak mampu memandu kereta mewah dahulukan ibu bapa untuk memiliki kereta tersebut, jangan tunggu mereka dah tiada baru menyatakan kesalan...baru saya sedar dan insaf kenapa saya di berikan sebuah kereta mewah BKB 100 yang saya namakan KUDA PUTIH KENCANG (KPK)! Siapa yang memandu kereta ini akan merasai kencangnya...waduh...hebat saranan yang di utarakan. Semoga ia menjadi keberkatan hidup ahli keluarga kami. Saya juga dapat maklum Ngah Nortipah di hadiahkan sebuah mercedes kuasa 320 untuk di bawa pulang ke Tangkak. Alhamdulillah, semoga ia benar-benar menjadi 'Kuda Jihad' seperti yang di harapkan si pemberi yang amat adil kepada dua orang kakaknya yang kini menggantikan 'ibu' kerana pernah membimbing beliau waktu kecil dahulu. Ya Allah berkati hidup adik-adik kami...amin

Apa pun segala harta, pemberian dan semua yang bercorak keduniaan bukanlah menjadi matlamat hidup saya. Tidak terikat hati ini dengan kekencangan KPK walaupun saya amat besyukur ia di berikan dalam saat yang amat tepat kerana gearbox Perdana Executive tiba-tiba 'give way'. Begitu juga dengan tersergamnya rumah tidak ada dalam benak saya memilikinya kerana sejak mengenal AlQuran ia sentiasa di isi dengan doa isteri Firaun Asiyah yang memohon " Ya Tuhanku binakan untukku di sisiMu sebuah rumah di Syurga" Surah AtTahrim 11. Sebuah doa yang amat jelas keyakinan dan penuh pengharapan terutama bagi mereka yang di uji keimanannya...
Saya berharap anak-anak mulalah memikirkan apakah yang mereka boleh dan patut buat untuk ibu bapa mereka yang sedang membilang hari...Saidina Umar Alkhattab pernah berkata 'tidak setanding khidmat bakti anak menjaga ibu bapa mereka waktu tua kerana mereka menjaga ibu bapa yang menunggu kematian sedangkan ibu bapa menjaga anak-anak masa kecil untuk terus hidup.' Agak sedih juga jika kita mengimbau cara anak-anak hari ini melihat ibu bapa mereka yang sudah tua, banyak kisah yang menggambarkan anak-anak memperhambakan ibu bapa. Hanya iman dan taqwa yang akan mengubah persepsi songsang hari ini.
Saya kira masyarakat dan pemerintah juga bertanggongjawab mempamirkan nilai yang patut di terapkan kepada anak-anak. Jika hari ini anak-anak yang di anggap pintar, hebat atau berjaya tidak di didik dengan akhlak Islam mana mungkin mereka akan menghormati ibu bapa mereka 'yang kurang pintar, tidak hebat dan tidak berjaya' dalam hidup berbanding mereka. Sebenarnya persekitaran di mana anak-anak di didik amat memainkan peranan menentukan persepsi mereka terhadap ibu bapa mereka.
Seorang lagi ahli Kohatsa bersuara memulakan azam baru tidak mahu 'harta di makan anai-anai', maksudnya sebelum ini beliau banyak membuat pelaburan yang tidak menjadi kerana 'mendahului zaman'. Hebat juga kisah ini kerana anai-anai merupakan tentera Allah yang di sebut dalam Alquran...anai-anai (rayap) yang memakan tongkat Nabi Sulaiman seperti di sebut dalam surah Saba' ayat 14. Penting juga tahu peranan anai-anai ini dalam kehidupan seorang Nabi besar seperti Nabi Sulaiman..
Harapan saya kepada yang ingin memulakan azam baru ialah memulakannya dengan kalimah Allah yang Maha Pengasih dan penyayang (alQuran), berdoa, berkawan dengan orang soleh dan sentiasa beramal untuk Islam yang amat mahal nilainya di pasaran akhirat.
Fokus dan keteguhan hati amat penting. Dalam AlQuran Surah Ibrahim ayat 27 ada di sebutkan maksud " Allah MENEGUHKAN iman orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan dunia dan akhirat." Mintalah dari Allah yang menganugerahkan keteguhan (azam) hati dengan doa selepas solat iaitu "Ya Allah aku memohon kepadamu keteguhan hati dalam segala perkara dan tekad yang lurus."
Akhir kalam saya sendiri mampu sampai kesaat ini pun adalah berkat dua perkara yang amat terkesan di jiwa saya iaitu doa ibu bapa saya terutama bapa saya dan peranan Alquran. Sebelum mengenal Alquran saya memang perhatikan hidup saya sedikit kucar kacir...tak mampu membuat keputusan yang tepat dan kurang berakhlak. Sentiasalah saya berdoa fasa hidup saya yang kurang baik itu Allah beri pengampunan, amin ya Rabbal alamin.
No comments:
Post a Comment