NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Wednesday, December 23, 2015

PEP TAB (PIL KUDA)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Rabu 23 Disember 2015/ 11 Rabiawal 1437H

Alhamdulillah saya masih di beri umur menulis blog ini, mudah-mudahan sesuai dengan nama blog, saya di anugerahkan Allah kesudahan dengan kematian tanpa hisab..Mati Syahid (Mut Shahidan) aamiinn...

Kematian seorang lagi adik saya pada 9 Disember baru-baru ini mengetuk kuat sudut hati dengan persoalan berapa lama lagi nyawa saya Allah pinjamkan kerana menurut lazimnya umur saya sekarang dalam fasa 'bonus' melewati 63 tahun. Apa pun semua takdir Allah itu baik, bijaksana dan ada hikmah kerana pengamatan saya kematian adik nombor empat baru-baru ini mengejut namun penuh keredhaan pada air mukanya untuk menemui Allah yang Maha Pemurah.

Tepat sekali Rasulullah saw mengajarkan orientasi akhirat dan melepaskan dunia dari hati memudahkan perjalanan pulang seorang hamba kepada Rabnya kerana pengamatan saya kepada arwah adik saya yang meninggalkan kami tanpa perhiasan dunia yang mengelilinginya memudahkan beliau pergi dengan hanya berbekalkan wuduk dan solat asar...masyaAllah itulah takdirnya kerana hakikatnya seseorang itu di nilai di saat matinya...WaAllahualam

Tajuk blog saya kali ini pelik sedikit kerana cuba mengimbau sebuah sejarah 'hitam' sewaktu saya awal remaja. Tengahari tadi saya menghadiri jamuan makan meraikan seorang teman sekolah yang kini bermastautin di Perth Australia di rumah seorang lagi bekas teman sekolah di rumah agamnya di Bandar Baru Bangi. Usaha yang amat baik daripada teman sekolah yang cuba mengumpulkan teman-teman lama melalui group wassap terkini menghampiri 20 orang termasuk berbagai kaum, malah yang kami raikan merupakan seorang punjabi. 

Tuan rumah merupakan teman baik saya di peringkat sekolah awal menengah dan seorang yang kuat bekerja maupun belajar. Asal seorang jawa yang berani 'menyerang' siapa sahaja yang cuba menyakat saya dikala itu...maksudnya dia sering menjadi pelindung saya sekiranya ada yang ingin 'membully'. Mau tak mau kena terima hakikat bahawa yang suka membully ketika itu adalah remaja berbangsa cina, almaklum kami pelajar melayu minority daripada special malay class yang hanya menyertai mereka mulai darjah 4 hinggalah ke peringkat menengah.    

'Sejarah hitam' tidak bermakna kami melakukan jenayah... tetapi mengimbau umur yang telah baligh ketika itu saya bermaksiat kerana tidak ada siapa yang memantau solat kami sewaktu bersekolah. Seingat saya masuk tingkatan satu saya masih bersekolah agama sebaik pulang daripada sekolah akademik di Muar,berkejaran kerana perjalanan dengan bas jauh juga. Bukan bekejaran untuk solat tetapi menyertai kelas jam 3 petang hingga jam 5. Seingat saya solat zohor dan asar memang tidak ada dalam jadual harian. Sistem sekular yang begitu tegar ketika itu hingga ustazah sekolah agama pun hanya menutup aurat sewaktu mengajar sahaja...nauzubillah.

Menghampiri peperiksaan LCE (lower Cambridge Examination) sekolah agama saya telah keciciran...saya tidak ingat berhenti namun menyepi meninggalkan pembelajaran begitu sahaja...setakat darjah 5. Penilaiannya ialah belum boleh menjadi ustazah yang perlu lulus darjah khas.Nilai keduniaan yang begitu ketara ketika itu menyebabkan saya terlalu fokus belajar untuk lulus cemerlang pelajaran akademik. Di sinilah persaingan dengan pelajar berbangsa cina mengambil peranan.

Saya dan teman akan menghabiskan masa belajar bersama lepas sekolah di sertai beberapa orang pelajar bangsa cina. Saya tidak ingat bagaimana pil yang di sebut PEP TABLET jatuh ke tangan kami berdua kerana kisahnya pil ini di katakan memungkinkan kita kuat belajar TANPA TIDUR.  Dengan harga RM1 rasanya kami berdua membeli daripada pelajar cina tersebut (tak ingat siapa) dan berjanji akan mengulangkaji untuk peperiksaan tidak berapa lama lagi.

Tepat sekali pil tersebut memang tidak memudahkan kami tidur, ketika arwah bapa saya bertanya mengapa belum tidur saya hanya berkata mengulangkaji nak periksa. Lampu minyak tanah menemani saya sepanjang malam hingga ke pagi. Sebelum subuh biasanya saya telah tercegat menunggu bas di tepi jalan dan seingat saya tidak ada yang menyuruh saya solat subuh walaupun arwah emak menyediakan 'air yassin' untuk di minum sebelum memasuki peperiksaan.    

Anihnya kesan mengambil PIL KUDA tidak berlaku mungkin dosenya belum banyak dan peperiksaan pun cepat selesai agaknya. Allah memelihara kami yang terlalu 'innocent' untuk bersaing ketika itu. Keputusan memang cemerlang...namun penilaian hari ini saya tidak menghargainya kerana menggadaikan agama saya. Kebetulan ketika itu kakak saya mengambil peperiksaan yang sama daripada aliran kelas 'remove' (aliran lnggeris mulai tingkatan 1) dan beliau gagal. Kalau boleh saya ingin memadam episod itu dari ingatan...kerana jelas sekali sikap persaingan menyebabkan akhlak saya kecundang, tak suka berkongsi, tamak dan mementingkan diri sendiri. 

Kini masyarakat telah terlalu canggih untuk mengambil berat tentang PEP TAB atau PIL KUDA kerana versi dadah telah melonjak ketahap tidak terkawal memangsakan kaum melayu yang kurang daya tahan. Allah pelihara saya dan teman yang kuat bekerja itu di mana mutakhir beliau bercerita membina sendiri rumah agamnya di Bandar Baru Bangi. Sunnatullah berlaku kepada hidup kami...you reap what you sow...anda menuai apa yang anda tanam...Kami lulus dengan baik LCE kerana belajar tanpa tidor berbekallan PEP TAB...bukan iTAB seperti pelajar hari ini. Di sudut hati ini saya masih rasa rugi kerana dalam umur awal remaja saya tidak mementingkan perintah Allah untuk bersolat demi akhirat berbanding belajar untuk dunia.

Baru-baru ini Smartop mengadakan program motivasi SOLATKU KESAYANGANKU...objektifnya semoga tidak berulang kisah 'hitam' hidup saya di kalangan ramaja hari ini. Ya Allah terima amal kecilku sebagai penebus dosaku meninggalkan solat dalam episod hidup remajaku.  Aamiin

No comments:

Post a Comment