Salam
Jumaat 12 Julai 2013 / 3 Ramadhan 1434H
Alhamdulillah rumah sewa di Tangkak telah pun di 'wire' (pasang) streamic oleh Talikom Malaysia petang ini. Saya mendapat khidmat promosi wifi luar bandar bagi penduduk yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan. Mujurlah pencen saya kurang RM3000 bolehlah kami merasa khidmat ini. Tujuannya ialah mendedahkan warga kampong dengan budaya wireless dan internet. Bagi saya ia satu kemudahan namun saya kurang arif penduduk luarbandar yang lain samada bermanfaat untuk pendidikan atau sebaliknya.
Memulakan Ramadhan di kampong lahir saya Tangkak membawa erti juga kerana saya mula menilai perbezaan yang berlaku selam 50 tahun. Rata-rata generasi baru melihat Ramadhan serupa dengan saya melihat kehadiran bulan Ramadhan sewaktu kecil. Anak-anak di bawa sama berterawih tetapi mereka akan bermain di belakang masjid. Seingat saya kami anak-anak ke masjid atau surau untuk bermain sahaja. Bagi Smartop penampilan kami menjelang Ramadhan agak ketara kerana kami adalah antara institusi yang awal memasang kain rentang menyambut Ramadhan tahun ini, alhamdulillah.
Hari pertama saya beriftar dengan keluarga anak saya yang anak-anaknya semua cuba berpuasa, anak paling kecil berpuasa berumur 4 tahun. Ringitan ingin berbuka mula terdengar pada jam 4 petang ke tahap ibunya mahu menyerah. Saya tampil membuat lawak menyatakan sehari puasa satu ringgit, dua hari dua ringgit sampailah angka sepuluh anak paling kecil berpuasa menjawab sepuluh ringgit. Kalau 30 hari puasa? semua redha ingin mengutip RM30 di akhir Ramadhan lantas menghabiskan puasa hingga waktu iftar petang itu. Awal pagi esoknya semua bangun bersahur dengan makanan yang berkhasiat untuk tahan sepanjang hari. Rasa berbeza Ramadhan ini bersama keluarga kerana selama lima tahun saya hanya bersendirian pergi balik ke MasjidilHaram, berbuka, terawih, tahajjud, sahur dan rehat. Bila bersama anak-anak kecil yang mula kenal Ramadhan saya tercabar untuk mencurahkan segala kelebihan bulan Ramadhan kepada mereka.
Di Smartop kehadiran petugas IT memudahkan segala doa maqbul termasuk doa LailatuQadar di tampal di merata sudut sekolah malah beliau turut serta mengasuh anak-anak memabca doa. Saya memotivasi beliau dengan kata-kata jika anak-anak hafal doa lailatulQadar kita semua akan dapat berkat LailatulQadar sebab anak-anak doa mereka maqbul. Saya yakin fakta ini terutama janji Allah dalam bulan berkat Ramadhan penuh rahmat (fasa 10 hari pertama). Ini perbezaan kedua kepada Ramadhan saya tahun ini.
Rumah sewa kami kini di huni adik saya dan anak saudara yang membantu IT di Smartop. Bersama empat orang dewasa kami mewajibkan sahur sebagai mengambil barakah. Ia membuatkan saya dan adik menyiapkan makanan sahur yang menyelerakan. Seingat saya Ramadhan sebelum ini selera makan saya kurang sekali dan di akhir Ramadhan kesannya berat badan saya turun. Saya kena berhati-hati agar selera yang baik dalam bulan Ramadhan kali ini tidak memudaratkan. Ini perbezaan ketiga Ramadahan tahun ini kerana saya mula menunggu waktu sahur seawal jam empat pagi yang amat bermanfaat melakukan pelbagai aktiviti dan ibadah.
Sebelum Ramadhan bermula suami saya menggalakkan agar kami mendaftar kelas pengajian alQuran di Masjid jamek Tangkak yang memperkenalkan sistem baik juga iaitu 'walk in' belajar mengaji bila ada kelapangan dan bertalaqi dengan tiga orang guru alQuran. Saya lihat ramai warga emas mengambil kesempatan belajar alQuran dan bagi yang sudah pandai mereka memperbetulkan tajwid ikut masa yang murid selesa. Setahu saya di tempat lain seperti Shah Alam waktu pengajian di tetapkan mengikut guru tetapi di Tangkak masa mengikut keselesaan murid. Alhamdulillah sejak awal Ramadhan sudah tiga kali saya bertalaqi dengan guru AlQuran di Masjid. Satu perbezaan yang sebelum ini saya bertadarrus atau membaca sendiri alQuran, sekarang saya pelbagaikan dengan membaca di hadapan guru tambahan pula kelas talaqi saya di Shah Alam tertangguh bila saya berhijrah ke Tangkak. Amat malang jika warga Tangkak tidak mengambil peluang yang baik ini kerana jiwa yang bersama AlQuran pasti berbeza. Teringat saya arwah Mustapha adik saya yang tidak dapat bersama Ramadhan kali ini kerana beliau bertalaqi bersama saya dan suami di Shah Alam di akhir-akhir hayat beliau. Semoga ruh beliau di rahmati Allah bersama alQuran yang di cintainya dalam jiwa.
Sedikit aneh di Masjid Jamek Tangkak ialah bila tiba waktu iftar Ramadhan. saya menyangkakan mesti ada bujet di peruntukkan kepada jemaah yang akan memakmurkan masjid sepanjang Ramadhan kerana tarikan Ramadhan ialah juadah dan hidangan. Iftar hari kedua di masjid hanya saya dan adik jemaah wanita berbuka dengan hidangan sumbangan jemaah, bukan di sediakan seperti yang berlaku di masjid di Shah Alam di mana bujet tahap surau sekalipun berjumlah RM1200 sehari (termasuk murey dan sahur). Adik saya membuat andaian penduduk Tangkak akrab berkeluarga kerana semua orang suka berbuka di rumah. Namun jemaah menghadiri solat terawih 8 rakaat agak lumayan juga alhamdulillah. Bagaimana ingin menghidupkan iftar di masjid dan iktikaf di penghujung Ramadhan saya kurang dapat menelah kerana saya pun tidak berhajat berada dalam 'aura' masjid sepi begini.
Petang tadi kakak saya menjemput iftar di rumahnya. Alhamdulillah anak saudara saya yang saya akan lantik menjaga IT dan website Smartop mengimamkan solat Maghrib dengan Surah Yusuf cantik sekali. Rupanya biasa menjadi imam sewaktu belajar di kolej Kota Baru Kelantan. Sebelum ini beliau pernah menjadi imam solat terawih di surau kampongnya Melaka namun bila jemaah mendapat tahu beliau lulusan negeri Kelantan beliau tidak di terima lagi. Rosak minda masyarakat berpuak begini, dengar Kelantan pun jadi fobia!!! Alhamdulillah bakat imam ini memang saya ingin untuk anak-anak Smartop contohi. Saya harap kehadiran beliau menambah baik hasrat Smartop ingin menabur jasa di Tangkak.
Blog ini saya tulis agak lewat malam lepas terawih hari ketiga Ramadhan mengambil sempena kemudahan wifi streamic yang tidak lagi menganggu saya bila ingin berinternet seperti sebelum ini. Semoga banyak lagi berita akan dapat saya upload selepas ini berikutan kemudahn ini. ameen dan wassalam.
No comments:
Post a Comment