NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Wednesday, November 28, 2012

SUBUR FITRAH

Salam

Rabu 28 November 2012/14 Muharram 1434H

Dua hari di hujung minggu lepas (Sabtu & Ahad) saya bersama remaja Muslimat Surau AtTaqwa Seksyen 7 Shah Alam mengendalikan program Subur Fitrah. Objektif awal adalah untuk membimbing anak-anak berumur 7-10 tahun tanggungjawab menunaikan solat sebagai sumbangan kepada ibu bapa yang sering mengeluh mengapa setelah anak-anak meningkat remaja mereka sukar menunaikan tanggungjawab bersolat.

Tugas yang di 'delegete' bulat-bulat (sepenuhnya) kepada team remaja agak mencabar kerana mereka perlukan sokongan ahli kariah dewasa sebagai 'tukang canang'. Kami suami isteri pula berada di Johor Baharu menguruskan tanah Pra Sekolah di Bandar Tangkak.  Selaku Pengerusi Surau suami saya hanya mampu menghantar sms kepada AJK Surau minta sokongan dan war-warkan berita program. Bujet juga ciput sekali, sekadar cukup membayar barisan fasilitator. Di beritakan juga banner program di pasang tersorok daripada pandangan masyarakat sekitar menyebabkan tidak ramai tahu tentang program.

Apa pun sewaktu program berlangsung tempahan sumbangan nasi arab D'Arab Cafe terpaksa dikurangkan daripada 25 pek kepada 15 pek sahaja. Namun Pengarah Program pasrah tidak membatalkan program kerana beliau yakin sesuatu yang baik perlu bermula walaupun dengan permulaan yang 'dingin'. Suatu perkara yang kami belajar daripada pengalaman mengadakan program pada musim cuti ialah agar membuat kajiselidik jumlah program yang berjalan serentak pada tarikh yang sama dan dalam kawasan yang sama. Di Shah Alam sahaja kami mendapati lebih 4 program berjalan serentak untuk kelompok anak-anak yang sebaya termasuk program perdana di Masjid Negeri. Ramai lagi yang membawa anak-anak bercuti luar kawasan atau balik kampong. 

Ada juga yang berpandangan agar program di kendalikan pihak 'Pakar Motivasi', bukan pihak institusi surau secara terpencil. Terpaksalah pula saya menegaskan bahawa barisan fasilitator program telah di datangkan daripada pakar iaitu Akademi Mumtaz Shah Alam. Lantas kami membuat keputusan program selepas ini akan di uruskan dengan pihak mana-mana surau oleh Akademi Mumtaz sahaja kerana di rasakan lebih berprestij. 

Tajuk Subur Fitrah yang saya bawa dalam blog kali ini cuba menyingkap sejauh mana ibu bapa telah 'menyuburkan fitrah' anak-anak mereka agar mengutamakan yang utama dalam kehidupan. Fitrah berAKIDAH dan mengenal Allah sering TERGELINCIR bilamana budaya hiburan dan tayangan di tv mengambil tempat di minda anak-anak. Alasan anak masih kecil juga menghalang  penyuburan fitrah anak-anak sedangkan pada umur tersebut mereka mudah menyerap sebarang maklumat penting kehidupan.

Saya sempat mengambil satu slot bersama anak-anak dan bertanya jujur berapa orang yang solatnya penuh 5 waktu. Tidak ada seorang pun yang dapat menunaikan solat sempurna terutama solat subuh. Seorang anak bijak terus bersuara 'tiap pagi saya mesti tengok oppa gangnam...' Terkejut juga saya anak berumur 8 tahun selamba mengaku menonton budaya korea gangnam. Selaku orang dewasa yang ramai cucu saya akan spontan menjawab 'awak dah minum racun... Kalau banyak racun nanti mati.' Saya harap anak-anak yang mendengar faham maksud saya bahaya budaya 'oppa gangnam'

Saya sempat memberi kerja rumah kepada anak-anak bertanyakan kepada ibu bapa makna TAQWA kerana program di adakan di Surau AtTaqwa. Yang dapat menjawab menyebutkan 'takut Allah', pembetulan 'takut azab Allah' dan saya juga menyatakan Taqwa juga menjemput 'pertolongan Allah' jika kita sayangkan 'pokok taqwa'. Pokok Taqwa akarnya IMAN, batang dan dahannya ISLAM sementara buahnya TAQWA. Ternyata anak-anak seronok di ajak menyelidik dan berperanan mencatit di white board perkataan yang di bincangkan. Saya mengharapkan satu hari mereka akan mampu menulis JAWI perkataan penting TAQWA yang di rakam 272 kali dalam AlQuran.

Sebaik sahaja program Subur Fitrah selesai saya dan suami membuat keputusan bermusafir ke Sg Petani untuk ke Kota Kuala Muda menziarahi Anas yang masih belum pulih sakit,kononya gangguan 'jin kuil' WaAllahu'alam. Ternyata beliau banyak kehilangan berat badan dan masih bersolat menggunakan kerusi kerana sendi tangan dan lututnya sukar berfungsi.Penerimaan ibu bapanya cantik sekali kerana mereka redho ujian yang di tanggung Anas dengan kata-kata 'berapa lama Allah dah beri sihat..redholah bila Allah uji sedikit kesakitan'. Selama dua hari berulang menziarahinya kami akan terus berdoa Anas cepat pulih dan sakitnya sebagai pembersihan jiwanya yang sedia bersih.

No comments:

Post a Comment