NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Monday, August 27, 2012

PAKEJ UMRAH WARGA EMAS

Salam aidilfitri minnal aeidin wal faizzin

SEORANG NENEK BERSAMA CUCU SAUDARA

lsnin 27 Ogos 2012/8 Syawal 1433H

Salah seorang jemaah umrah daripada Malaysia yang saya berkesempatan bertemu di MasjidilHaram (MH) ialah seorang warga emas bertaraf nenek kepada beberapa orang cucu berasal daripada Pulau Pinang. Beliau datang dengan suaminya namun berdikari datang ke MH seorang diri dan beriktikaf sendirian di sebuah sudut  dalam MH. Saya bertanya kenapa beliau bersendirian dan tersorok di sudut bawah tangga MH.  beliau menjawab 'nak beribadat kena seorang-seorang'. Rupanya sebahagian besar rombongan warga emas yang datang bersamanya tidak sanggup ke MH.

TOK TEN DENGAN CUCU SAUDARA

Mulanya saya menyangka beliau warga Indonesia kerana bertubuh kecil. Setelah berkali-kali saya menyapa dan mengajaknya ke barisan hadapan saf dalam masjid baru beliau membuka mulut dan terus menjadi teman iktikaf saya di malam 10 terakhir Ramadhan baru-baru ini. Menurut beliau pakej umrah yang di sertainya terdiri daripada wanita warga emas berumur lebih 60 tahun, beliau sendiri berumur 68 tahun.

Fenomena membawa warga emas ke tanah suci menunaikan umrah merupakan trend baru pengurus pakej umrah kerana ramai di kalangan warga emas di Malaysia yang belum menunaikan fardhu haji. Antara tarikan promosi kepada golongan ini ialah pergi menunaikan umrah dahulu sebelum menunaikan haji agar tidak terkejut sewaktu mengerjakan manasik haji. Menurut teman warga emas yang saya kenal ini  ramai teman-temannya yang datang takut untuk ke MH dan hanya menunaikan solat di penginapan kecuali terawih yang mereka lakukan di kawasan dataran berhampiran tempat menginap. Ada peserta yang kurang sihat hanya menunaikan umrah sewaktu mula datang sahaja.

Fenomena terbaru warga emas datang bersendirian tanpa di temani suami,anak atau pembantu membuka mata saya betapa 'terdesaknya' golongan warga emas untuk ke tanah suci. Jelas daripada beberapa kumpulan warga emas yang datang ke tanah suci dan menunaikan umrah sepanjang Ramadhan bahawa mereka mempunyai kemampuan atau di sponsor kaum keluarga yang mampu. Yang menjadi tandatanya saya ialah mengapa setengah warga emas kurang berminat untuk berada dalam MH, adakah takut bersesak, atau tersesat jika tidak ada mutawif yang memandu mereka.

Takruf saya dengan teman baru memaparkan banyak lagi maklumat tentang warga emas yang datang ke tanah suci. Ada yang ingin pulang segera dan kurang sihat dengan cuaca panas berdebu di sekitar Mekah.   Ramai lagi yang tidak mampu membaca AlQuran dan kurang ilmu tentang ibadah umrah. Seronoknya bersama kenalan saya ini ialah beliau telah mengerjakan fardhu haji dan agak biasa dengan ibadah umrah. Pada hari terakhir Ramadhan baru-baru ini beliau gesa-gesa pulang selepas solat Subuh,katanya akan mengerjakan umrah terakhir bulan Ramadhan dengan membacakan hadis bahawa sesiapa berumrah Ramadhan menyamai menunaikan haji dengan Rasulullah saw. Terpegun saya dengan kemampuannya yang agak luar biasa kerana saya ketika itu sedang teruk batuk tidak sanggup mengharungi lautan manusia yang berfikiran seperti nenek tadi iaitu mengerjakan umrah dalam bulan Ramadhan sedangkan Ramadhan akan berlalu beberapa jam sahaja lagi.   Malah saya terserempak dengan beliau sewaktu beliau saie pusingan kedua akhir. Saya peluk beliau dari belakang mengucapkan tahniah...dia amat gembira ada orang yang memotivasi dirinya.


IBU BAPA DAN NENEK KEPADA AMAR QAMARDIN BIN MUHAMMAD ZAID KAMARDIN


Blog ini cuba melihat fenomena mutakhir golongan warga emas ke tanah suci sebagai satu peluang berdakwah kepada mereka. Maksudnya bagi sesiapa yang mampu 'angkatlah' seorang warga emas  
sebagai memberi khidmat dan sasaran berdakwah. Terkini kita akan temui dikalangan warga emas yang datang dengan pakej umrah golongan wanita berkerjaya yang tidak berumahtangga, pesara dan ibu-ibu yang anak-anak sudah berkeluarga sendiri. Warga emas golongan ini mampu menyimpan wang semata-mata untuk datang ke tanah suci dalam bulan Ramadhan.


Pengalaman saya dengan teman warga emas di MH menghasilkan sedikit perubahan kepadanya. Sejak bertemu saya beliau kelihatan lebih yakin, suka senyum, mudah berkongsi dan kurang memingirkan diri. Satu pagi selepas solat Subuh saya 'heret' beliau melakukan tawaf sunat, seronoknya beliau dan jadi lebih bersemanagat.

PENAMPILAN NENEK INI ADA POTENSI MENGURANGKAN UMURNYA 30 TAHUN?
Pernah beliau bertanya saya...'umur adik ni dah masuk 30an ke? nak tergelak saya lucunya soalan beliau. Lantas saya menjawab saya ni pesara achik..dah tua macam achik juga. 'eh taklah rupa kamu masih muda..tak percayalah.  Saya tunjukkan kad pengenalan...baru beliau percaya.

Terkini teman inilah orang pertama yang menalipon saya sejak pulang ke tempat asalnya di Pulau Pinang. InsyaAllah saya akan cuba menziarahi beliau dan suaminya jika ada kesempatan untuk meneruskan persahabatan kami. Sebenarnya golongan warga emas ramai yang kurang yakin mereka sebenarnya mampu membuat perubahan yang positif serta  menyumbang kepada imej umat lslam yang cemerlang.WaAllahu'alam.

No comments:

Post a Comment