NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Thursday, May 31, 2012

A JOURNEY OF A THOUSAND MILES BEGINS...

Salam

Khamis 31 Mei 2012/10 Rejab 1433H


MUSAFIR SANTAI 1000KM

Tidak terasa sudah hampir setengah tahun kita melalui tahun 2012. Bagi yang aktiviti lebih banyak daripada masa, perancangan awal amat membantu. Kami bermusafir lagi mulai 26 Mei, bermula di JERANTUT, berakhir di KUALA LIPIS Pahang.

Terlalu banyak kenangan bersama orang yang di kunjungi sepanjang musafir dan peluang menghabiskan sisa kehidupan dengan tiga orang cucu yang sedang membesar. Pengalaman saya dan suami bersama anak-anak kecil amat menyenangkan kerana mereka ibarat kain putih yang perlu di corakkan sebaiknya. Kami juga terhibur dengan kerenah dan pertanyaan mereka yang tidak menjemukan.
MUSAFIR SANTAI KUALA TERENGGANU


Kebetulan cuti sekolah dua minggu telah bermula, musafir kami mengalami 'Holiday Blues' maksudnya ujian dan stress yang berlaku dek ramainya pelancung di semua tempat perhentian apatah lagi di jalanraya. Saya yakin pada minggu kedua percutian mulai hari ini lagi ramai ibu bapa membawa keluarga cuti-cuti Malaysia kerana kemampuan kewangan di awal bulan.

Kami sendiri pun tidak menyedari bahawa perjalanan dengan kereta bermula daripada SHAH ALAM SELANGOR pada 26 Mei dan berakhir 31 Mei melewati perjalanan 1000 kilometer, SubhannaAllah...MasyaAllah. Awalnya kami bernawaitu musafir 'BERSANTAI' maksudnya tidak ada sebarang sasaran waktu yang di tetapkan secara pasti kecuali ingin melalui jalan pantai timur kebetulan tiga orang cucu dalam umur aktif ini suka main air dan berenang. Namun kami hanya mampu mengawal mereka di swimming pool sahaja.  

Destinasi pertama ialah JERANTUT meraikan perkahwinan anak sahabat kami yang tinggal di Shah Alam. Perjalanan melalui kawasan Felda yang begitu luas dan jauh amat melelahkan. Sewaktu berhenti sarapan di KARAK kerana kami memulakan perjalanan jam 7.30 pagi, makanan di kedai semuanya habis dan barisan (queue) menggunakan bilik air panjang sekali. Kesabaran bermusafir sewaktu cuti memang satu realiti dan biasanya saya jarang memilih waktu cuti sekolah untuk bermusafir kecuali kali ini.

 PASANGAN PENGANTIN DI SHAH ALAM

SAMBUTAN DI JERANTUT

Sambutan warga Felda yang mengadakan kenduri menyambut menantu meriah sekali. Baru saya teringat bahawa baru-baru ini warga Felda mendapat 'durian runtuh' (wang pemberian kerajaan) berikutan penyenaraian syarikat Felda di Bursa Saham. Memang ketara meriahnya kawasan Felda mutakir ini,maju dan canggih almaklum kita berada di era maklumat tanpa sempadan. Apa yang di tonton warga kota kini sama di nikmati warga Felda, cuma cara menapis maklumat mungkin berbeza antara mereka yang faham dakyah Yahudi pereka dunia hiburan dan kelalaian dengan mereka yang belum sedar bahawa mereka masih terkongkong dengan pemberitaan bohong dan palsu. Suasana pilihanraya seolah sedang rancak kerana di sana sini saya lihat berkibar bendera parti-parti politik yang melambai-lambai penyokong masing-masing.


KIBARAN BENDERA SEPANJANG PERJALANAN PANTAI TIMUR


Saya berjaya menjejaki keberadaan Pak Hasni pengasas Akademi IHES yang kini sedang menganjurkan kursus IHES di sebuah Mahaad di Pahang lantas membuat temujanji di KUANTAN pada 27 Mei. Kami bermalam di Resort Lis Na Ra, kawasan pantai berhampiran CERATING. Memang resort penuh dengan pelancung datang mengadakan hari keluarga, tapi kami telah membuat tempahan awal.  Swimming pool untuk anak-anak selamat di resort ini dan pada malamnya kami kelelahan tidak terasa di 'hiburkan' dengan karaoke anjuran hari keluarga yang menginap di situ.  Wah..budaya karaoke..memang terbukti ada kesan muzik di jiwa jika benar-benar di hayati untuk melihat kebesaran Allah dan bersyukur dengan nikmat yang begitu banyak tak terkira.

PERTEMUAN IHES KUANTAN PAHANG


Pertemuan dengan Pak Hasni membuahkan perancangan latihan IHES 2 untuk warga Garut dan penyokong Akademi IHES. Kami memilih tarikh selepas bulan Syawal (14-17 September) bagi memudahkan persiapan.  Alhamdulillah setiap pertemuan menambahkan lagi komitmen kami terhadap IHES kerana penguasaan asas AlQuran dan Hadis yang di sepadukan dengan kurikulum setempat dan internasional amat penting untuk mendidik pemimpin masa depan. Saya mencadangkan latihan kali kedua ini menyertakan ramai murobbi daripada sekolah lslam swasta yang berminat, antaranya guru-guru sekolah di mana cucu saya belajar. Ini sahaja usaha yang mampu saya buat di akhir usia ini semoga Allah redho usaha kecil ini, insyaAllah.

Perjalanan di teruskan menghala ke KUALA TERENGGANU melalui KERTIH dan kami berhenti di MESRA MALL. Satu lagi fenomena di tengah-tengah kawasan sedang membangun dimana Mall ini merupakan tarikan warga pantai timur bershopping ala pusat metropolitan dengan cinemanya sekali. Mungkin golongan elit PETRONAS yang ramai bertugas di kawasan ini perlukan kemudahan seperti ini di tengah-tengah kawasan kampong pantai timur.


Ahad 27 Mei kami menginap di PERMAI HOTEL Kuala Terengganu juga kerana swimming poolnya. Oleh kerana musafir ini santai kami kurang rasa letih namun anak-anak 'kecapekan' terkurung dalam kereta berjam-jam. Mereka tidur awal. Makanan memang tidak menjadi masalah di Kuala Terengganu, sebelah malamnya kami menikmati sotong goreng yang fresh.

Pertemuan dengan adik suami saya yang bertugas sebagai Doktor Pakar Bius di Hospital Specialist KT di tetapkan waktu sarapan hari Isnin 28 Mei.

Sarapan NASI KERABU ganjil bagi cucu-cucu saya yang totok keJOHORannya. Mereka pelik nasi berwarna...inilah yang di katakan pendendahan yang berlaku semasa bermusafir. Hanya kami orang dewasa yang menghabiskan nasi tersebut, namun ia amat enak kerana beritanya kedai yang kami kunjungi ini memang terkenal di KT.

SEBUAH BUNGLOW DI BUKIT PAYONG MARANG TERENGGANU

Kesempatan bersama, kami menziarahi rumah baru Doktor di BUKIT PAYONG MARANG. Alhamdulillah rumah selesa di tengah kampong. Dr Pakar ini amat sibuk dengan tugas kerana telalu kurang pakar bius di seluruh Malaysia. Katanya beliau tidak mudah bercuti kecuali mencari ganti Doktor pakar yang terpaksa di datangkan daripada Johor atau Perlis, aduuh..jauhnya. Akibatnya beliau kurang dapat bersama keluarga induk yang menetap di Kajang.

Kami ke PASAR PAYANG KT dan cuba mendapatkan alat keperluan key chain daripada seorang pemborong. Ramainya pengunjung di KT sukar di banding dengan hari yang biasa kami datang sewaktu tengah minggu bukan musim cuti.  Apapun harga barangan tetap sama malah ada yang lebih murah untuk menarik perhatian pengunjung.

SANTAI KE PASAR PAYANG KUALA TERENGGANU

 THUMBS UP UNTUK KELANTAN

Perjalanan ke KOTA BARU KELANTAN di lakukan terus menerus melalui jalan PASIR PUTIH. kami hanya berhenti kecemasan bilik air. Berkat doa musafir, suami saya yang memandu tanpa gilir ganti kelihatan segar hingga sampai di PELANGI MALL CONDO  iaitu apartment 3 bilik yang sudah di tempah awal juga kerana swimming poolnya.


Sebelah malamnya kami menjamu selera di Food Villa PENGKALAN CEMPA KB. Alhamdulillah enak sekali. Sepanjang hari Isnin 28 Mei padat kami santuni untuk sampai ke Kelantan negeri serambi Mekah.

TITIS AIR MATA NENEK BERTEMU CUCU

Selasa 29 Mei selepas sarapan NASI DAGANG kami memulakan ziarah nenek kepada cucu-cucu saya yang menetap di PANJI KOTA BARU. Agak lama mereka tidak di pertemukan kerana takdir juga memisahkan anak nenek ini (bekas suami anak saya) dua tahun lalu. Saya mengambil asbab kesan kesepian yang berlaku kepada bekas suami anak saya ini sewaktu anak saya menyambung pengajian IPT di MMU. Fenomena kahwin umur muda, kurang berbincang, kurang merujuk kepada orang tua dan kesepian boleh di senaraikan sebagai masalah perkahwinan mutakhir ini, mungkin masyarakat banyak membelakangkan sunnah perkahwinan agaknya. Berlebih-lebihan mengadakan keraian perkahwinan namun hakikatnya hati pasangan yang terlibat kurang di raikan,waAllahualam.

GAMBAR KENANGAN BERSAMA KELUARGA DI PANJI KB

Malam itu cucu-cucu tidur di rumah nenek mereka, kelihatan titis air mata nenek melepas pergi cucu-cucu keesokan paginya Rabu 30 Mei. Saya cuba mendewasakan carapandang semua pihak dengan menyatakan selagi kita umat lslam kita semua bersaudara. Terasa juga di benak ini kesedihan jika inilah peluang terakhir cucu-cucu dapat bermalam dirumah nenek mereka. Saya berpesan kepada cucu-cucu supaya bila besar nanti datang menjenguk nenek mereka.

ALIA BERSAMA SEPUPU FARA DI KB

Selsai menunaikan solat jama' Zohor Asar kami memulakan perjalanan pulang ke Shah Alam melalui jalan KUALA KERAI, GUA MUSANG, KUALA LIPIS DAN KUALA LUMPUR. Terasa berat juga perjalanan pulang tidak sesantai perjalanan pergi kerana kami ada majlis perkahwinan pada 1 Jun di Tangkak.

Namun Allah juga yang mentakdirkan kerana sepanjang perjalanan daripada GUA MUSANG selepas Maghrib hujan turun dengan lebatnya, hingga tidak kelihatan garisan pemisah jalan dan amat membahayakan. Dalam kegelapan malam di kawasan yang sukar berhenti rehat kerana kurangnya kemudahan RnR kami cuba juga meneruskan perjalanan dengan doa yang tak lekang di bibir. Cucu-cucu semuanya terlena dek kesejukan hujan. Sampai satu tahap kami TERPAKSA berhenti memandu dan menumpang di sebuah kedai runcit bersebelahan warung kopi kecil. Nak jadikan rezeki ibu yang menjaga kedai runcit membenarkan kereta kami parking di hadapan bumbung kedai dan kereta tidak lagi mendengar lantunan bunyi air hujan berjatuhan.
SUASANA TENANG DAN SANTAI DI KUALA LIPIS

Kami sempat menjamu selera roti canai dan kopi panas dalam kegelapan,kebetulan api di warung tersebut berkali-kali padam kesan kilat sabung menyabung. Sempat saya merenung diri dan tujuan musafir,sempat saya bermuhasabah kebesaran Allah yang menurunkan hujan sebegitu lebat. Lantas saya mencadangkan supaya kami tidak meneruskan perjalanan dan mencari tempat bermalam. Suami saya terus teringat tempat lahirnya KUALA LIPIS. Setelah hujan reda sedikit kami memulakan perjalanan mencari jalan susur keluar menghala ke KUALA LIPIS.



Alhamdulillah di Kuala Lipis terdapat kekosongan Hotel CentrePoint yang agak selesa dan harga berpatutan. Rupanya kami perlu berehat dek perjalanan yang begitu jauh dari KB. Saya mula terfikir...begitu jauhnya perjalanan daripada JERANTUT ke KUALA LIPIS...mengambil masa enam (6) hari!! 26-31 Mei, satu sejarah telah terukir dalam musafir kami dan ini juga pertama kali suami saya berada di tempat kelahirannya KUALA LIPIS PAHANG. Beliau lahir sewaktu arwah bapanya menjadi Pegawai Daerah Kuala Lipis dalam tahun 50an. Alhamdulillah juga musafir bernostalgia begini. 

Khamis 31 Mei 2012 fasa akhir musafir kami daripada KUALA LIPIS menuju ke RAUB, KARAK dan berhenti solat di GENTING SEMPAH. Kelihatan cucu-cucu keletihan. Agaknya bermusafir dalam suasana yang kami lalui capek sekali. Keceriaan muncul hanya setiba di Shah Alam salah seorang cucu meluru ke talipon rumah terus mendail nombor ibunya yang berada di SIMPANG RENGAM, menyatakan sudah sampai semula ke Shah Alam.
PELANGI CONDO KB

Suami saya sujud syukur tanda besarnya nikmat Allah yang mengizinkan kami melakukan A JOURNEY OF A THOUSAND MILES..ia mesti bermula dengan langkah pertama...nawaitu ingin bersama cucu sebagai tempat belajar dan berhibur..kemudian menjalin silaturahim, mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit. Anugerah terbesar ialah Allah SWT telah memelihara dan menjaga kami sepanjang perjalanan. Doa saya yang keluar daripada rongga mulut ialah YA ALLAH SELAMATKANLAH ANAK-ANAKKU DAN CUCU-CUCUKU SERTA ZURIAT MEREKA DARIPADA MAKSIAT DAN GODAAN YANG MEMESONGKAN MEREKA DARIPADA JALANMU..AMEEN. Kata seorang Ustaz doa ini jika kita amalkan dengan penuh komitmen Allah pasti akan perkenankan satu saat nanti insyaAllah.

Sekalipun kelelahan sepanjang musafir tidak ada insiden yang membuat saya tertekan dan marah, ini satu nikmat. Akhir kalam saya terngiang-ngiang tafsiran AlQuran Surah Ali Imran 133-136 yang di sampaikan seorang Ustaz Muda IKRAM malam Jumaat sebelum saya bermusafir:
 "Saat kita marah telan marah itu...maafkan dan berbuat baik kepada pihak yang membuat kita marah,insyaAllah maghfirah Allah dan syurga ganjarannya,ameen." Kalimah yang sama saya sampaikan kepada anak saya yang sedikit terganggu kerana bekas suaminya ingin bersama anak-anak mereka semasa cuti ini.

Selsai solat Jumaat 1 Jun saya akan membawa pulang cucu-cucu ke Tangkak dan menyerahkan kepada ibu bapa mereka. Doa saya agar cucu-cucu terus matang dan bermanfaat dalam didikan kami sepanjang musafir. Didikan harus bermula dari langkah pertama untuk sampai ke perjalanan seribu batu kehadapan insyaAllah.

2 comments:

  1. Salam. Saya yang membaca peristiwa musafir ini pun rasa semacam kepenatan. Syabas, Alhamdulilah Allah masih beri ruang dan peluang untuk berbagai aktiviti kebajikan keluarga. Saya tidak kemana-mana rasanya. Huzaifah, cucu, pada ibunya dan banyak masa untuk saya "bernafas dengan buku" kata Nisah Harun, penulis terkenal.

    ReplyDelete
  2. Tq for visiting.Saya baru belajar penat itu nikmat jika jelas nawaitu.

    ReplyDelete