NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Monday, January 30, 2012

MAULIDURASUL :ANDAINYA NABI ADA BERSAMA KAMI

RAHMATAL LI 'ALAMIN- BEGITU BESAR PENGHORMATAN KEPADA RASULULLAH SAW

Salam

Isnin 30 Januari 2012/ 6 Rabiulawal 1433H

Segala puja dan puji hanya buat Allah, Tuhan seluruh alam dan selawat serta salam buat Nabi dan RasulNya Muhammad dan kaum keluarganya dan para sahabat ajamain.


Tidak sampai seminggu lagi tarikh Hijrah 12 Rabiulawal tiba dan umat lslam merayakannya terlebih sedikit daripada hari biasa kerana tarikh tersebut merupakan peringatan kelahiran seorang yang diiktiraf di langit dan di bumi sebagai kekasih Allah dan pembimbing contoh kepada manusia hingga akhir zaman, iaitu Nabi Muhammad saw.

Sebuah nasyid yang amat popular, 'lau kan na bainana' (jikalah Nabi berada di kalangan kami) melakarkan cinta dan rindu kepada Rasulullah saw seperti ungkapan berikut:

Kalaulah Kekasih-Mu, masih berada bersama-sama kami,
Akan terlunaslah segala hutang dan semakin hampirlah
dengan haruman Baginda, sebelum hilangnya,
rasa yang meronta-ronta untuk berada hampir dengan Kekasih-Mu.


Berada berhampiran Baginda, jiwa turut menjadi harum
Dan apa jua yang kalian doakan kepada Allah, akan diperkenankan,
Cahaya Nabi Muhammad tidak akan pernah sirna,
Sempatkanlah kami bertemu dengan Baginda,
Wahai Tuhan yang Maha Memperkenankan doa hamba...


Hidayahmu kepada alam merata meluas,
Tanda hampirnya kasih sayang Tuhan pemberi hidayah,
Hadith-hadithmu ibarat sungai mengalir jernih,
Berada di sisimu bagaikan dahan yang tumbuh segar dan basah.


Kutebus diriku dengan dirimu, wahai Kekasihku,
Nabi Muhammad yang mulia, yang asing,
Berada berhampiranmu, jiwa menjadi harum,
Wahai yang diutuskan sebagai tanda kasih sayang Tuhan kepada seluruh alam....


Wahai Kekasihku, wahai Nabi Muhammad
Wahai doktor hatiku, wahai yang dipuji dipuja
Dirimu memiliki kelebihan yang diakui
Oleh Tuhan yang turut berselawat ke atasmu. 

Petikan di bawah ini pula saya sunting daripada article google:

" Pada zaman ini terdapat banyak suara-suara yang mempertikaikan tentang sambutan Maulidurrasul dan ia menjadi fokus perdebatan dan perbalahan, walaupun sebenarnya, banyak lagi isu penting yang perlu ditangani oleh umat Islam.

Zaman ini merupakan zaman dimana musuh-musuh Islam sedang melakukan operasi besar-besaran untuk menghancurkan ummat Muhammad, daripada dalam mahupun daripada luar tanpa perasaan belas kasihan dan amat sedikit sekali bilangan orang-orang yang beriman yang dapat mempertahankan ummah ini daripada serangan-serangan ini.

Zaman ini merupakan zaman jahiliyyah Ummat Islam, sehinggakan kebenaran amat jarang sekali di terima dan kebatilan merupakan perkara yang biasa dan diterima umum. Firman Allah kepada orang-orang yang beriman,"Berpeganglah kamu pada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai" (Ali-Imran: 103).

Pada zaman ini serangan musuh bukanlah satu-satunya penyebab penderitaan ummat Islam. Dikalangan kita ummat Islam sendiri ada musuh dalam Islam. Musuh dalam selimut ini, tidak pula suka untuk menyerang musuh-musuh Islam yang sebenar tetapi sebaliknya, mereka menyebarkan pula permusuhan dan perpecahan dikalangan ummat Islam diseluruh dunia,mencari kesalahan saudara sendiri. Mereka berkerja bertungkus lumus untuk menaikkan rasa syak wasangka dan was-was kepada perkara-perkara yang sahaja mereka timbulkan agar ianya menjadi satu yang kontroversi dan seterusnya, menuduh saudara sendiri sebagai musyrik, kafir, dan murtad. Mereka pula dengan senang-senangnya merubah pendapat-pendapat ulama-ulama yang terdahulu, yang selama 1400 tahun dianggap sahih dan benar oleh semua ummat Islam dan menamainya sebagai bid'a, syirik dan kufur!

Membesarkan Maulidurrasul samalah seperti kita membesarkan Islam kerana Rasulullah (s.a.w) umpama simbol bagi agama Islam. Imam Mutawalli Sha'rawi telah menuli didalam kitab beliau, Ma'idat al-Fikr al-Islamiyya (ms. 295),"Jika setiap kejadian yang tidak bernyawa sekalipun, bergembira dengan kelahiran baginda (s.a.w) dan semua tumbuh-tumbuhan pun bergembira malahan semua binatang pun bergembira dan semua malaikat pun bergembira dan semua jinn Islam bergembira diatas kelahiran baginda (s.a.w), kenapa kamu menghalang kami daripada bergembira dengan kelahiran baginda (s.a.w)?"
 
Kewajiban untuk meningkatkan kecintaan dan penghormatan buat Rasulullah (s.a.w) terdapat dalam firman Allah "Jika kamu mencintai Allah, ikutlah (dan cintai dan hormati) aku, dan Allah akan mencintai kamu" (3:31) 

Sambutan Maulidurrasul (s.a.w) merupakan natijah akan adanya perasaan kecintaan terhadap Rasulullah (s.a.w), perasaan taat kepada baginda, sentiasa mengingati baginda, mencontohi baginda dan berbangga dengan baginda sebagaimana Allah bangga terhadap baginda kerana Allah memuji akan baginda didalam Al-Quran, "Sesungguhnya engkau mempunyai akhlaq yang mulia" (al-Qalam:4)

Tahap kecintaan kepada Rasulullah (s.a.w), merupakan antara pengukur kepada tahap kesempurnaan keimanan antara seseorang mukmin dan seorang mukmin yang lain. Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah (s.a.w) telah bersabda,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada anak, ibu bapa dan manusia seluruhnya." Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh Bukhari Rasulullah (s.a.w) berfirman,"Tidak sempurna iman kamu sehingga aku kamu lebih cintai daripada diri kamu sendiri." Dan Sayyidina 'Umar berkata,"Ya Rasulullah aku mencintaimu lebih daripada diriku sendiri. Para Malaikat sentiasa memuji baginda sebagaimana yang dimaksudkan didalam ayat al-Quran yang berbunyi, "Sesungguhnya Allah dan para Malaikat sentiasa bersalawat keatas Nabi" (33:56). Seterusnya ayat ini disambung dengan perintah Tuhan,"Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu keatasnya". Ayat ini sahaja menjadi bukti bahawa kualiti iman seseorang itu bergantung kepada dan dizahirkan melalui selawat kepada Nabi (s.a.w). Ya Allah! Limpahkanlah selawat serta salam kepada Nabi, ahli keluarga baginda dan para sahabat.

Daripada Mutawalli Sha'rawi:"Banyak peristiwa yang ajaib telah berlaku pada hari baginda (s.a.w) dilahirkan sebagai bukti bagi hadith dan sejarah bahawa malam Rasulullah (s.a.w) dilahirkan tidak seperti malam-malam manusia lain dilahirkan". Peristiwa yang termaktub didalam hadith termasuklah gegaran yang dirasakan di istana 'Chosroes' dan padamnya api yang telah menyala selama 1000 tahun di Parsi dan beberapa peristiwa-peristiwa lain yang ditulis didalam karangan Ibnu Kathir, al-Bidaya, Jilid 2, mukasurat 265-268. Daripada Kitab al-Madhkal oleh Ibnu al-Hajj (jilid 1, ms. 261) "Menjadi satu kewajiban bagi kita untuk membanyakkan kesyukuran kita kepada Allah setiap hari Isnin bulan Rabi'ul Awwal kerana Dia telah mengurniakan kepada kita nikmat yang besar iaitu diutusNya Nabi (s.a.w) untuk menyampaikan Islam kepada kita dan menyebarkan salam. Apabila baginda ditanya mengapa baginda berpuasa pada hari Isnin, baginda bersabda,"Hari itu adalah hari kelahiranku". Oleh kerana itu, hari tersebut telah memberi satu 'penghormatan' kepada bulan tersebut, kerana hari itu merupakan hari Rasulullah (s.a.w) dan baginda bersabda,"Aku merupakan penghulu bagi anak cucu Adam dan aku tidak mengatakan ini kerana kesombongan …dan baginda bersabda: Adam dan anak cucunya akan bernaung dibawah panji-panjiku pada hari pembalasan kelak. Hadith-hadith ini merupakan riwayat 'Shaikhayn' Bukhari dan Muslim. Dan Muslim menulis didalam Sahih nya, Rasulullah (s.a.w) bersabda, Aku telah dilahirkan pada hari Isnin dan pada hari yang sama juga wahyu yang pertama telah diturunkan kepadaku." Rasulullah (s.a.w) mengutamakan hari kelahiran baginda dan memuji serta bersyukur kepada Allah, dengan berpuasa pada hari tersebut (Isnin) seperti yang diriwayatkan oleh Abu Qatada didalam sebuah hadith. Ini bermakna, Rasulullah (s.a.w) telah melahirkan dan menzahirkan perasaan gembira baginda dengan berpuasa pada hari tersebut - salah satu daripada bentuk ibadah khusus. Oleh kerana Rasulullah (s.a.w) sendiri mengutamakan hari tersebut, jadi sebagai mencontohi baginda, sambutan atau ibadah yang selaras dengan shari'ah adalah dibolehkan dengan berpuasa, memberi makanan kepada orang fakir miskin, bersama-sama berselawat kepada Nabi (s.a.w), ataupun bersama-sama mengingati dan merenung akan akhlaq baginda yang terpuji lagi mulia - semuanya merupakan kaedah ataupun cara yang boleh dilakukan untuk mengutamakan dan menyambut hari tersebut. 

Mengingati hari kelahiran baginda adalah untuk menyatakan kegembiraan kita untuk baginda Rasulullah (s.a.w) kerana Allah telah mengutuskan baginda kepada kita seperti firman Allah didalam al-Quran, " diatas nikmat dan rahmat daripada Allah, biarlah mereka bergembira" (Yunus:58).Perintah ini datang kerana kegembiraan menjadikan hati rasa bersyukur diatas rahmat Allah. Rahmat apakah lagi yang lebih besar selain Rasulullah (s.a.w) sendiri, dan Allah berfirman,' Kami tidak menurunkan kamu melainkan sebagai rahmat kepada seluruh manusia.' (Al-Anbiya':107) kerana Rasulullah (s.a.w) diutus sebagai rahmat untuk semua manusia, kegembiraan menyambut kelahiran baginda tidak tertakluk pada yang Muslim sahaja, bahkan seluruh manusia, sepatutnya melahirkan rasa kegembiraan tersebut. 
  
Allah berfiman," Berselawatlah Kamu Kepada Nabi" dan memperingati kelahiran Rasulullah (s.a.w) akan membuatkan hati kita tergerak untuk berselawat keatas Nabi (s.a.w) dan memuji baginda yang merupakan satu perkara yang diarahkan oleh Allah dalm Surah Al-Ahzab:56. Berkumpul beramai-ramai dan mengingati Nabi (s.a.w) akan membuat kita mudah untuk mendoakan baginda serta berselawat dan memuji-muji baginda. Siapakah yang berhak untuk menghalang apa yang telah Allah perintahkan di dalam Al-Quran? Pahala dan manfaat serta cahaya yang Allah berikan kepada hati kita kerana mematuhi perintahnya amat besar.

Apabila seseorang yang tidak beriman, bersama-sama menyatakan kegembiraan dan menyambut Maulidurrasul (s.a.w), atas rahmat dan kemurahan Allah, orang itu akan dapat manfaatnya. Perkara ini ada dinyatakan didalam sahih Bukhari. Bukhari meriwayatkan bahawa setiap Isnin, Abu Lahab akan dihentikan siksaan kubur yang diterimanya kerana beliau telah membebaskan hambanya, Thuwayba yang telah mengkhabarkannya kelahiran anak saudaranya, Nabi Muhammad (s.a.w).Hadith ini terkandung didalam kitab Nikah oleh Bukhari dan Ibnu Kathir pula membicarakannya didalam kitab-kitabnya Sirat al-Nabi Jilid 1: ms 124, Mawlid al-Nabi ms 21 dan al-Bidaya ms.272-273. Seorang hafiz (hafal al-Quran), Shamsuddin Muhammad ibn Nasiruddin ad-Dimashqi telah menulis didalam kitabnya Mawrid as-sadi fi Mawlid al-Hadi : "Jika seorang kafir yang memang dijanjikan tempatnya di neraka dan kekal didalamnya" "hancur tangan-tangannya"; (surat 111) diizinkan untuk direhatkan daripada siksa kubur setiap hari Isnin kerana bergembira dengan kelahiran Ahmad, inikan pula hamba yang seluruh hidupnya bergembira dan bersyukur dengan kehadiran Ahmad dan meninggal dengan menyebut "Ahad"?

JUSTERU ITU ANUGERAH APAKAH YANG LEBIH BESAR DARIPADA KELAHIRAN NABI, RASUL YANG MENJADI RAHMAT SELURUH ALAM PADA HARI INI?"

Jika saya di tanya 'apa yang anda akan lakukan jika Rasulullah saw di izin Allah berada bersamamu? Saya akan jawab saya akan lakukan sama seperti wanita-wanita beriman di sekitar Rasulullah saw1433 tahun yang lalu dan mohon Rasulullah saw perhati saya ketika ke Kauthar telaga baginda di padang Mahsyar dan doakan syurga firdaus untuk saya sekeluarga, ameen.(yang ni kena cari maklumat para sahabiat di zaman Rasulullah saw, saya mau jadi Ummu Salamah..nanti kita kupas sejarah hidup beliau,insyaAllah)

Saya sarankan setiap individu membuat pertanyaan yang sama dan jawab dengan jujur...mungkin ini boleh jadi soalan motivasi para remaja..fikit-fikirkanlah bersama. 

No comments:

Post a Comment