BismillahirRahmanirRahim
Salam
Rabu , 30 November 2011/ 4 Muharram 1433H.
MERAIKAN MAJLIS PERKAHWINAN DI KAWASAN RUMAH FLAT SEKSYEN 7
Alhamdulillah salah satu daripada empat bulan 'Haram' datang lagi menambahkan usia yang kian senja. Namun aktiviti perlu diteruskan untuk meraikan pelbagai jemputan terutama majlis perkahwinan, almaklum musim cuti sekolah kini.
Sabtu 26 November 2011 hari terakhir bulan Zulhijjah dan akhir tahun Hijrah 1432. Kami sehari suntuk meraikan jemputan perkahwinan di Shah Alam dan Kajang. Hujan yang turun selebatnya tidak menghalang para jemputan datang. Kenalan, anak buah dan saudara mara menambah seri majlis keluarga. Kebetulan hari jadi Muhammad Sobran Jamil, kami diam-diam meraikannya.
ANAK BUAH, MACAM TWIN - ANAK-ANAK DR AHMAD LATIFI & DR NIK RUBIAH
SELAMAT HARI JADI-ACAH JE CAKE TU!
BERTEMU SAUDARA MARA DARIPADA TANJONG KARANG
BERSAMA PENGANTIN DI KAJANG
Rasa sayu meninggalkan tahun 1432H terubat dek rasa bahagia kedua pengantin yang akan memulakan hidup baru mulai tahun baru. Selaku orang yang beriman sama-samalah kita berdoa agar tahun baru Hijrah menambahkan ilmu,petunjuk, hidayah dan kesedaran bahawa yang penting di tegakkan dalam jiwa setiap insan ialah kemantapan beriman dan bertaqwa, kematangan jati diri berhadapan tanggungjawab yang kian membeban.
Semua kita adalah pemimpin yang perlukan enam (6) ciri sifat terpuji yang di sebutkan dalam AlQuran Surah Al-Maidah 54 iaitu PERTAMA, Allah mencintai mereka, KEDUA, mereka mencintai Allah dengan bersungguh-sungguh mentaati perintahNya, KETIGA, sangat santun dalam bersikap dengan orang yang beriman, KEEMPAT, tidak mudah tunduk dengan kekafiran, KELIMA, berjuang menjaga agama Allah dan KEENAM, tidak pernah takut dengan celaan mereka yang tidak senang dengan lslam dan umatnya.
Ahad 27 November hari jadi Siti Noor Shaharina. Saya dan suami menghantarkan anak-anaknya ke zoo negara. Agak kesesakan di banyak jalanraya sebelah pagi dan petang terutama di Zoo Negara kerana biasanya ramai keluarga menghabiskan percutian melawat zoo. Sebelah petang ramai peminat bola sepak bersesak memenuhi stadium Bukit Jalil perlawanan kelayakan bola sepak sukan olimpik yang diakhiri Malaysia kalah dengan Baharin 3-2.
MENGHABISKAN CUTI DENGAN ANAK-ANAK DI ZOO NEGARA
Isnin 28 November 2011 bersamaan 1 Muharram 1433H. Sempena cuti awal Muharram kumpulan usrah ibu-ibu muda kariah Surau AtTaqwa Seksyen 7 Shah Alam mengadakan program lawatan tarbawiyah (pendidikan) bersama anak-anak remaja ke dusun durian Pasir Salak serentak mengadakan lawatan ke Kompleks Sejarah Pasir Salak.
Tujuan utama lawatan ringkas sehari ialah untuk menggilap cara berfikir anak-anak agar mampu mentaddbur alam sepanjang perjalanan. la dilakukan melalui pertandingan kuiz yang memerlukan mereka mencatit beberapa maklumat sepanjang perjalanan. Alhamdulillah masing-masing remaja yang menyertai program mempamirkan keunikan cara berfikir dan citarasa dalam penulisan mereka lebih-lebih lagi tawaran hadiah wang tunai RM100 sukar di pandang sepi gara-gara hadiah kerajaan kepada semua pelajar sekolah baru-baru ini.
Satu soalan meminta pelajar menterjemah perkataan 'dusun' kepada bahasa lnggeris. Ramai yang menyebut 'farm'...bila di sebut tiada binatang dalam dusun masing-masing mencari perkataan melalui clue 'O''R' 'C'. Pantas seorang jejaka yang pernah bertugas di Singapura menyebut 'Orchard Road'. Begitulah seronoknya berkuiz dalam kereta sepanjang perjalanan. Pada saya ini juga satu wasilah dakwah kepada golongan remaja yang 'sukar' di bentuk melalui majlis ilmu tradisional. Namun tidak ramai juga remaja yang terpanggil jika mereka tidak di dokong oleh ibu bapa yang komited untuk melihat perkembangan minda anak-anak yang dapat di perkaya dengan menghargai penciptaan Allah di alam ini.
Suasana santai memudahken anak-anak berekreasi mandi manda di swimming pool resort,melawat muzium,makan durian dan menikmati iklim kampong. Kami sempat melawat dusun durian namun tak ada yang sanggup mengutip durian kerana di gentarkan dengan adanya pak 'pacat' dan bimbang akan membawa balik tetamu tak di undang ke Shah Alam.
PESERTA REMAJA BERSANTAI DALAM SWIMMING POOL RESORT PASIR SALAK
Satu insiden 'pacat' pernah berlaku pada diri saya di kawasan rekreasi Sik Kedah satu masa dahulu. Saya adalah orang yang paling takut pacat dan saya jugalah orang yang telah di serang pacat. Apabila pacat di kesan sewaktu berada dalam bilik air, satu bangunan asrama di kejutkan dengan jeritan paling kuat yang pernah saya suarakan. Mujurlah seorang pembantu program motivasi berkejar ke bilik air membawa garam untuk mengugurkan pacat. PUCAT muka di serang pacat dan sejak itu saya jeranlah hendak masuk ke hutan sekitar kawasan Sik Kedah. Ia juga permulaan saya mengundurkan diri daripada program PPRT anjuran KEDA di Kedah.
DI KEBUN DURIAN PASIR SALAK
NAK KENAL PACAT?..INILAH DIA. MAU TAK MENJERIT...
BUAH-BUAHAN YANG MENCABAR DERIA RASA
MENIKMATI PELBAGAI JENIS DURIAN
Begitulah indahnya bermusafir sambil mendidik peserta remaja yang rata-rata amat teruja untuk datang lagi ke 'dusun' berhampiran 'resort' yang kami menginap setengah hari.
KENANGAN DI RESORT PASIR SALAK
Belum sempat merehatkan badan, awal pagi Selasa 29 November/2 Muharram kami di jemput menyertai program membuat roti. Alhamdulillah roti juga membawa nostalgia saya kepada arwah emak saya yang belajar membuat roti untuk di hidangkan kepada kami yang ramai adik beradik. Yang saya ingat roti tersebut di bakar dalam periuk dan diletak atasnya bara api serupa membakar kuih bahulu.Rasanya enak sekali tergiur sampai sekarang. Rupa-rupanya di luar sana ramai yang menyediakan jualan makanan halal roti,biskut dan pasteri kerana sektor makanan snek kabarnya 'menguntungkan'
SEBAHAGIAN PESERTA PROGRAM MEMBUAT ROTI-SEBELAH KANAN SEKALI GURU KAMI YANG MASIH MUDA
SENSITIFNYA MEMBUAT ROTI MEMERLUKAN KUANTITI BAHAN YANG TEPAT
MEMBENTUK ROTI MENJADI HIDANGAN YANG MENARIK
Dalam kelas yang mengambil masa 5 jam itu kami di hidangkan dengan 8 jenis roti semacam yang di jual di kedai roti dan bakery. Saya belum pasti akan membuatnya namun telah menawarkan sesiapa yang dapat buat dough saya akan beli. lni di panggil 'outsourcing'. Tetapi motivasi ingin tahu mendesak saya terus mencuba keesokannya tanpa alat menguli yang lengkap..mmm sedap juga,alhamdulillah. Alangkah baiknya jika lebih ramai ibu-ibu di rumah menyediakan roti yang berkhasiat di buat sendiri untuk mempastikan bahan dan cara memasaknya halal dan baik.
PERCUBAAN PERTAMA MEMBUAT ROTI HOME-BAKED
Di luar negara pula pada 28 & 29 November rakyat Mesir mengundi kerajaan demokrasi meggantikan pemerintahan sementara tentera dan sebelum itu Diktator Husni Mubarak. Di mana-mana negara Arab kini mengalami 'Arab Spring' (kebangkitan). Ia merupakan petanda rakyat generasi muda mula bangkit menuntut hak masing-masing. Di doakan Malaysia tidak perlu mengalami rusuhan untuk menegakkan negara adil dan bebas bersuara.
Awal tahun Hijrah akan terus menghidangkan kita dengan peluang yang tidak kurang berbanding tahun-tahun sebelum ini untuk hati-hati yang kering iman dan taqwa BERHIJRAH menikmati kemanisan yang dijanjikan lslam selaku agama terakhir umat manusia. Azam tahun Hijrah pada saya ialah membudayakan Alquran sebagai penyelesaian akidah, menjalin ukhuwah serta menjadi tangan yang memberi (infaq) sebagai wasilah ibadah. WaAllahu'alam
No comments:
Post a Comment