NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Thursday, November 24, 2011

CUTI-CUTI

BismillahirRahmanirRahim

Salam

Khamis 24 November 2011/28 Zulhijjah 1432

Alhamdulillah saya mencuri sedikit masa menulis blog ini di celah-celah CUTI-CUTI yang menjadi kelaziman siapa sahaja yang mempunyai anak bersekolah untuk menghabiskan cuti panjang hujung tahun bersama keluarga.

Cuti akhir tahun 2011 membawa saya dan suami bersama cucu-cucu ke Melaka, Alur Gajah, Muar, Tangkak,Ipoh dan Pasir Salak Perak. InsyaAllah bersama dua orang cucu kami juga akan ke Indonesia (Jakarta-Puncak-Bandung-Garut) pada 5-10 Disember.


GAMBAR-GAMBAR  KENANGAN:
DI MELAKA, ALOR GAJAH. ADIK MUBARAK, DI MUAR DAN PASIR SALAK

CUTI-CUTI juga terserempak dengan tarikh lahir saya pada umur sunnah meninggalkan dunia ini. Jatuhnya pada 23 November 2011. Oleh kerana keluarga kami tidak begitu menghiraukan sambutan hari jadi ia berlalu begitu sahaja kecuali beberapa sms anak-anak dan teman seusrah. Satu iktibar memikirkan begitu dekat diri saya dengan 'Alam Barzah'. Hanya doa yang sering mengiringi detik kehidupan saya setiap saat agar Allah meredai amal perbuatan saya sebagai ibadah. Kata-kata hikmah yang saya sering ulang-ulang ialah ' Dengan Niat yang baik adat (amal kebiasaan) akan menjadi ibadah.'

Minggu lepas seorang teman merungut kerana menghabiskan masa beratur di sekolah anaknya menuntut  bayaran RM100 kepada setiap pelajar bagi perbelanjaan sesi persekolahan 2012. Suatu hadiah yang sebenarnya menjadi hak mutlak setiap anak di muka bumi Malaysia ini untuk di beri pendidikan percuma malah perlu di bantu untuk memudahkan mereka menguasai ilmu asas kehidupan dunia dan akhirat.   Malangnya hak ini sering di nafikan malah bagi yang ingin mendapat bekalan asas ilmu akhirat langsung kecundang kerana hanya sekolah lslam swasta yang ada menyediakan pakej tersebut.

Terkini tawaran RM100 menjadi igauan kerana pelbagai insiden berlaku demi memperolehinya, antaranya ibu bapa dan pelajar 'terpaksa' mendengar ceramah berunsur politik, guru besar angkuh (berita dalam internet) dan ahli politik menampilkan diri untuk muka mereka di kenali supaya mudah cam sewaktu mengundi. Rasa lucu pula memikirkan mengapa sebelum ini tawaran ini tidak berbangkit dan ibu bapa rela sahaja menyara kos persekolahan anak-anak mereka. Bagi orang yang suka berfikir cuba-cubalah analisa motif di sebalik tawaran RM100 berbanding berbillion wang awam yang tiris di tangan pemimpin yang tidak amanah. Mungkin dengan berfikir luas dan panjang kita dapat menyelamatkan masa depan akidah dan kesejahteraan anak cucu kita di Malaysia ini insyaAllah.

Sewaktu berada di Melaka saya sempat singgah di pasaraya Mydin dan jelas sekali bahang RM100 telah membawa ramai ibu bapa bersama anak-anak membelibelah, yang untung Mydin juga...dan pasaraya-pasaraya yang lain. Selain membelibelah mereka juga dapat menikmati makan-makan di food court.

Kenangan terburuk di Food Court yang mencetuskan idea bertindak kepada saya ialah menu "Mi Bandung' dimana bila hidangan sampai ke meja saya hanya sepinggan mi yang cair bersama sebelah telur rebus! Kenangan bersama arwah bapa saya menerpa dalam minda...bapa saya sering membawa saya menikmati 'mi bandung' di bandar Muar  dimana begitu lumayan perencah udang, sotong, daging dan telur yang di masak bersama mi. Suara hati terus berkata..macam ni tak boleh selalu makan-makan di restoran luar, kena masak sendiri.

Alhamdulillah berbekalkan rempah (paste) mi bandung saya telah mengubah sedikit agenda program usrah kepada kelas memasak mi bandung. Bila di tanya mengapa saya berbuat demikian saya rujuk pesan seorang teman tentang maksud ayat alQuran Surah AlMaidah 35 " Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan carilah WASILAH (jalan) untuk mendekatkan diri kepadaNya dan berJIHADlah (berjuanglah) di jalanNya agar kamu beruntung. Saya menjelaskan betapa dalam proses menjaga makanan halal dan bersih ia merupakan satu jihad kepada seisi keluarga kerana di luar sana kita tidak tahu sejauh mana penyedia makanan mengambil berat tentang kebersihan dan nawaitu menyediakan makanan untuk pelanggan. Jika ia seperti kes yang saya alami dimana mi bandung menjadi mi air...it really has done injustice to mee bandung's taste!!


 PROGRAM MEMASAK MI BANDUNG DAN MENIKMATI HASILNYA

Terkini kumpulan usrah saya sudah mula membuka minda untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti selain berdiskusi, antaranya kelas membuat.roti dan insyaAllah melawat tempat-tempat yang dapat memberi ibrah dalam kehidupan berkeluarga, alhamdulllah inilah yang di maksudkan WASILAH yang luas dan menyeronokkan, ameen.

Kami kumpulan usrah sempat juga meraikan 'pengijazahan' seorang teman yang telah selesai talaqi AlQuran. Sepakat kami bermotivasi untuk cepat menghabiskan bacaan masing-masing supaya acara yang sama dapat di kongsikan. Masalah saya ialah sering bercuti kelas setiap kali keluar kawasan atau bermusafir. Semoga aktiviti kami turut menjadi sumber inspirasi anak-anak dan cucu-cucu mendekatkan diri dengan AlQuran dan meletakkan AlQuran sebagai pengubah tabiat dan perangai bawah sedar yang masih penuh dengan  ciri-ciri jahiliyyah kesan persekitaran yang kurang sihat.

 PENGIJAZAHAN TALAQI ALQURAN-ILMU UNTUK DI AMAL

Keberadaan kami di Alor Gajah Melaka ialah mengiringi majlis pernikahan Adam anak saudara suami saya. Satu kenangan manis kerana kami di minta sampai ke Masjid untuk majlis pernikahan jam 9.00 pagi. Pengantin perempuan datang jam 10.00 pagi dengan alasan ada hal penting. Terus Tok Imam memberi tazkirah pendek " orang yang berjaya mendapatkan hasil, orang yang gagal mencari alasan." Terkedu juga hadirin dan saya tabik Tok lmam yang mantap ini kerana sering kita di gagalkan dalam hidup ini kerana mencari pelbagai alasan.

Sepatutnya bagi yang bersalah atau bermasalah bukan alasan yang di cari tetapi JATI DIRI untuk sedia memohon maaf mengaku kesilapan serta meneroka peluang dan WASILAH menyelesaikan masalah.  Saya amat sering berhadapan dengan insan yang suka memberi alasan. Liat sekali nak mohon maaf atau mencari alternatif untuk beramal soleh.  Biasanya saya akan 'tinggalkan' mereka membelai alasan demi alasan.


ADAM ANAK TUNGGAL - IBUNYA GAMBAR BELAKANG


GAMBAR SEKITAR PERKAHWINAN AHMED ADAM DAN ELIS SUHADA


Di Muar kami menghadiri jamuan demi meraikan jemputan  adik saya yang menjadi tuan rumah perkahwinan anak saudara suaminya. Kami sempat menjalin silaturrahim dengan ADIK Mubarak yang berumur satu tahun bernama Nur Kareemah Bt kamaruzaman dari Kota Kinabalu. Manisnya dia....bijaknya dia melayan kami dengan senyuman mesra. Ameen Mubarak..barakah. Ada juga mata insan yang berkaca...sabar Bu...Allah bersama orang-orang yang sabar.

 PERTEMUAN BARAKAH DENGAN MUBARAK DAN KELUARGA BESARNYA

CUTI-CUTI memerlukan kos tinggi, namun dalam hati kecil dan mendasari nawaitu saya ialah 'infaq' kepada anak cucu sama seperti arwah bapa saya sering infaq kepada kami adik beradik yang ramai. Pasti masa kami kecil pun belanjanya besar juga, namun bapa saya tak pernah mengeluh. Rezekinya melimpah semula saat kami gembira menjadi anak-anak yang soleh,yang sering menemani ibu bapa kami sampai akhir hayat mereka. Rezeki terbesar ialah SILATURRAHIM sampai kami sudah berumur warga emas kini.

Bagi anak-anak dan cucu-cucu yang kurang menghabiskan masa dengan ibu bapa dan datuk nenek/opah/embah/tuk wan pasti mereka akan kehilangan rezeki silaturrahim ini yang sekaligus akan mempersempit rezeki kewangan juga. Fikir-fikirkan bagi anak-anak yang mencari alasan sibuk atau kurang berminat menghabiskan sisa-sisa umur ibu bapa bersama mereka.


Di Pasir Salak Kg Gajah Perak kami di jamu dengan durian kelas A. Tahun ini musim durian gugur terserempak dengan CUTI-CUTI.  Kenangan bersama khairulAnuar dan isterinya Fatimah yang tinggal di Jalan Panjang Boh Pasir Salak memang sentiasa indah terutama yang melibatkan kreativiti kraftangan mereka. Menikmati buah durian kampong yang 'panas' membawa juga nostalgia saya kepada arwah bapa saya yang amat gemarkan buah durian. Saya perhatikan bapa saya akan memaksimakan nikmat durian bersama sepinggan nasi yang di letak gula dan santan mentah dan beliau akan makan sampai berpeluh-peluh. Saya kurang gemar bau dan kesan panas durian dan mutakhir ini kena berhati-hati merasai buah durian yang khabarnya banyak memangsakan orang jika kita berpenyakit...antaranya kolestrol,kencing manis dan darah tinggi. Apa pun KhairulAnuar menyediakan kiriman buah durian yang siap di kopek kerana cara begini akan mengurangkan bau dalam kereta sewaktu perjalanan.
     



CUTI-CUTI akan sentiasa mengisi masa kami di umur warga emas ini bersama cucu-cucu yang sedang membesar,semoga mereka juga mengisi minda mereka bernostalgia seperti saya terhadap kenangan manis bersama ibu bapa saya. Mudah-mudahan doa cucu-cucu yang soleh solehah menjadi bekalan kami di alam barzah,ameen.
SELINGAN BERSAMA CUCU DI HOTEL PERMAISURI AIR KROH MELAKA
KENANGAN MELAKA RIVER CRUISE
KENANGAN DI HOTEL RITZ GARDEN IPOH

2 comments:

  1. Salam ..happy best day moga Allah berkati usia uda dulu, kini dan selamanya...
    mata berkaca itu ada nilainya di sisi Allah InsyaAllah, air mata penuh makna mengharapkan kekuatan dari Allah SWT dalam menyuburkan sabar dan redho.

    ReplyDelete
  2. ameen...sayang noli dulu kini dan selamanya

    ReplyDelete