GAMBAR KENANGAN DI TANAH SUCI UMRAH RAMADHAN 2011
YANG MANA SATU KENANGAN PALING INDAH??
Salam
Rabu 7 September 2011/ 9 Syawal 11432H-Isnin 12 September/14 Syawal 1432H
Sepanjang tempoh 5-6 hari saya berkesempatan menyempurnakan puasa sunat Syawal, menziarahi sanak saudara termasuk kakak yang di rawat di hospital dan menziarahi kubur arwah ibu bapa saya di kampong. Banyak iktibar dan sentuhan yang berlaku terutama besarnya jasa ibu bapa yang telah mendidik saya sampai ke tahap sekarang. Sumbangan saya kepada mereka mungkin minima dan saya berikrar akan terus menjadi anak yang berbakti kepada ibu bapa sewaktu mereka hidup dan setelah mereka tiada ,insyaAllah.
Merakamkan rasa syukur kerana di kembalikan ke pangkuan keluarga saya dan suami telah mengadakan jamuan kesyukuran pada hari Sabtu 11September/13 Syawal. Alhamdulillah semua berjalan beres termasuk makanan yang semuanya habis dan kehadiran sanak saudara,rakan dan teman yang lama tak bersua.
Budaya merayakan Aidilfitri di Malaysia ialah sepanjang bulan Syawal banyak jemputan 'open house' untuk meraikan tetamu termasuk saudara mara jauh dan dekat sehingga ada yang menganggap orang Malaysia terlalu mewah dengan makanan berbanding umat lslam di tempat lain. Apa pun saya yakin Allah tahu nawaitu masing-masing mengadakan open house sebagai ibadah silaturrahim dan infaq keranaNya. Pandangan saya ialah tidak ada siapa yang ingin menjadikan open house sumber dosa yang akan membatalkan amal.
Teringat saya suasana ditanah suci sepanjang Ramadhan yang memperlihatkan murahnya hati umat lslam melakukan infaq samada untuk iftar (berbuka) atau untuk bersahur. Anehnya setiap kali ada yang ingin infaq ia menjadi rebutan ke tahap si pemberi fobia untuk melakukan terang-terangan. Seringkali orang yang ingin menginfaq akan menyerahkan sumbangan secara sulit, namun akan mudah di hidu jemaah yang lain dan si pemberi akan di kerumuni, di kejar dan di keronyok akhirnya. Saya pun hairan mengapa insiden ini berlaku di tanah suci yang sepatutnya di hiasi dengan akhlak qanaah (berpuashati dengan yang ada), sabar dan syukur.
Jelas lslam yang murni 'dagang' di tanah suci Mekah mutakhir ini. Apa yang mendorong seseorang melahirkan sikap dan akhlak masing-masing perlu disorot daripada mana mereka datang,maksud saya bukan negara tetapi dari segi datangnya 'hati' mereka kepada Allah untuk apa. Saya di fahamkan negara Arab Saudi telah berjaya menangkap 1,800 penyeluk saku di Mekah sepanjang Ramadhan yang berlalu menunjukkan ada yang datang ke tanah suci untuk 'mencuri'. Begitu juga setengah jemaah daripada pelbagai negara saya perhatikan kurang arif dengan 'manasik'(peraturan) umrah dan melakukan ibadah serta tidak menjaga taharah (kebersihan diri) sekalipun bersolat kerana kehadiran mereka hanya sekadar amalan ritual yang dilakukan nenek moyang zaman berzaman.
Apa tah lagi yang suka bergaduh dek sebab yang kecil termasuk menggunakan toilet awam. Saya mendengar cerita satu insiden pintu toilet di ketuk begitu tak sabar sehingga jemaah yang sedang menunaikan qada hajat terencat dan keluar bilik air menyatakan betapa 'biadabnya' menganggu jemaah lain. Namun siapa yang akan faham jika kita bercakap macam ayam dengan itik..masing-masing dengan bahasa ibunda yang hanya warganya sahaja faham,WaAllahu'alam.
Seorang jemaah Malaysia yang masih muda tertanya-tanya saya mengapa ramai warga emas dari Malaysia sanggup menjalani ibadah Ramadhan selama sebulan di Mekah,termasuk saya. Aneh soalan cepu emas ini dan saya memang bersedia menjawab kepada siapa sahaja kerana saya merindukan bekalan 'yang menhidupkan hati' melalui kelunakan bacaan Alquran. Anak muda itu bertanya lagi bukankah di Malaysi juga para hafiz sering menjadi imam solat terawih dan membaca satu juz Alquran setiap malam. Jawapan saya imam Masjidilharam atau masjid Nabawi adalah imam pilihan jutaan umat lslam. Mereka menghayati setiap ayat serta mentaddabur erti AlQuran. Petandanya ialah setiap kali saya kembali ke tanah air saya akan merindui suara mereka. Contohnya Imam Masjid Nabawi Ali Abdul Rahman Hizaifi yang berumur 87 tahun masih lagi melagukan nada Alquran yang mengusik jiwa paling dalam hati saya sejak pertama kali saya menjadi tetamu Allah dalam tahun 1983.
Setiap waktu Subuh, Maghrib dan Isya saya tertunggu-tunggu suara beliau bila saya dan jemaah berkesempatan menziarahi Madinah. Begitu juga di Mekah ada Imam Abdul Rahman Sudais, Mahir, Saud Alshuraim dan terkini Abdullah Awad Al-Juhani...mengapa saya ingat nama mereka? kerana hati saya di bantu bernafas terus dengan bacaan mereka. dan sekembalinya saya ke Malaysia saya akan bekalkan diri ini dengan CD untuk saya meneruskan budaya mendengar, membaca, mentaddabur,memahami,menghafal dan mengamalkan perintah alQuran insyaAllah.
Antara doa bersungguh-sungguh saya kepada Allah SWT di tanah suci ialah diri saya dan seisi keluarga serta teman-teman terdekat dapat membudayakan alQuran dalam kehidupan kami yang amat singkat ini agar kami TERDORONG menjadi hamba Allah yang di redhaiNya.
Tajuk di atas saya pilih untuk blog kali ini kerana perkataan 'DORONG' sering saya dengar di kalangan petugas umrah ketika mereka ingin menawarkan khidmat 'wheelchair'. Saya perhatikan terkini ramai sekali petugas berbangsa Indonesia di tanah suci Mekah yang melakukan pelbagai khidmat termasuk menyediakan makanan untuk jemaah (catering). Mereka terdorong ke tempat yang dapat meningkatkan ekonomi sekaligus iman dan taqwa. Petugas yang mendorong Opah contonya seorang yang warak,sering membaca AlQuran menunggu waktu mengambil semula Opah. Dalam sehari katanya selsai 5 juz, masyaAllah. Seornag yang pendiam namun berakhlak tepat waktu, amanah, pemurah dan sabar. Tugas beliau hanya 'MENDORONG' jemaah yang perlukan bantuan dan jika ia dilakukan selama sebulan kadar setiap waktu solat tugas dorong ialah RM50. Lima kali solat jumlahnya RM250 sehari.
Saya telah mencuba khidmat DORONG sewaktu melaksanakan dua kali umrah baru-baru ini. Kadarnya Riyal RM250 bagi tawaf dan saie dan RM100 untuk saie sahaja. Tawaf di adakan di tingkat dua Masjid yang mengambil masa agak lama. Untuk melihat sendiri Kaabah tawaf kali kedua dan tawaf wida' saya berjalan sendiri dan alhamdulillah mampu di lakukan. Dalam hati kecil saya sewaktu di dorong orang berkata-kata betapa kerdilnya dan rendahnya taraf saya dan betapa kurang mampunya saya berada bersama ahli keluarga yang dapat membantu saya di saat paling genting iaitu melakukan ibadah. Realitinya tidak ramai ahli keluarga yang sabar seperti petugas Opah. Saya lihat sendiri keluhan dan kurang sabarnya ahli keluarga melayan seorang OKU kerana suasana sekitar turut memberi tekanan seperti yang saya nukilkan dalam blog sebelum ini. Difahamkan Opah dan keluarganya menyediakan RM5K untuk tugas dorong, insyaAllah barakah.
Keinsafan yang tinggi mendorong saya muhassabah diri di umur senja ini batapa indahnya lslam memberi peluang kepada umatnya melakukan ibadah setiap saat umur kita dengan pelbagai aktiviti,dengan syarat sentiasa dekat dan mengingati Allah. Maksudnya tidak semestinya kita berada di tanah suci baru dianggap ibadah. Konsep ini perlu sangat di terapkan dalam setipa minda dan jiwa umat lslam agar tidak terkeliru bahawa sesiapa yang telah sampai ke tanah suci seolah-olah mereka di jamin suci di sisi Allah. Betapa saya katakan lslam 'dagang' di Mekah menunjukkan unsur yang kurang lslamik banyak berlaku di tanah suci. Oleh itu pastikan apa semangat yang mendorong kita ingin menunaikan ibadah haji dan umrah ke Mekah serta aktifkan kemampuan diri agar tidak di dorong orang lain melaksanakan ibadah tersebut.
Pengalaman saya di dorong mengajar saya agar sentiasa sihat baru pergi menunaikan ibadah atau tetap berada di rumah jika kesihatan tidak mengizinkan. Waktu sihat sinonim dengan umur muda. Oleh itu waktu umur muda lakukanlah ibadah yang banyak menuntut kemampuan jasmani. Kesulitan yang kita timpakan kepada orang lain kerana kita kurang sihat atau tidak merancang dengan baik pemergian kita ke tanah suci banyak menimbulkan maksiat hati atau rungutan yang boleh membatalkan amal siapa sahaja, sekalipun seorang anak yang taatkan ibu bapa. WaAllahu'alam.
No comments:
Post a Comment