NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Monday, September 5, 2011

MISFALAH MENGUNDANG MUSIBAH

JALAN MENGHALA MISFALAH DARI MASJIDILHARAM

Salam

Selasa 6 September2011/ 7 Syawal 1432H


Agak selesa setelah berehat dan menghabiskan puasa Syawal insyaAllah hingga Khamis. Syukur kepada Allah kami sempat menunaikan puasa Syawal dua hari di Mekah. Kebiasaan berpuasa di lokasi panas terik memudahkan puasa di Malaysia yang walaupun panas masih lembab udaranya. Tambahan berada dalam rumah kurang cabaran untuk mengejar waktu solat seperti di tanah suci. Memang saya kerinduan kepadatan masa di tanah suci, menunggu-nunggu waktu solat suatu yang paling indah samada berada dalam hotel penginapan atau beriktikaf dalam masjid. Jika di panjangkan umur saya mohon Allah jemput saya sebagai tetamu Ramadhan lagi dan lagi hingga akhir hayat,ameen.

Pengalaman berada di tanah suci Madinah Mekah kali ini pada saya agak teruja.  Dalam keadaan kaki saya agak lemah, bisa urat setiap malam dan berhati-hati memilih makanan yang tidak ber'angin', tidak boleh sentuh minuman bergas,  kesemuanya mendidik saya bahawa kesihatan amat penting untuk kesempurnaan ibadah. Saya berdoa agar di limpahkan rasa syukur, sabar dan khusuk dalam semua urusan. Namun semakin berdoa semakinlah datangnya ujian demi ujian yang mendesak saya mengadakan strategi bertindak demi kesempurnaan ibadah sepanjang di tanah suci.

Tajuk di atas ada kaitan dengan tempat kami menginap iaitu kawasan orang-orang Asia, jemaah daripada lndia, Pakistan,Bengladesh, Sri lanka, Indonesia, Thailand, Burma, Malaysia, Singapore, Filipina mungkin Brunei. Misfalah masih utuh nampaknya tidak terlibat dengan pengubahsuaian kawasan Masjidilharam walaupun bangunan di sekitar Misfalah agak uzur dan tidak kontemporari. Bilik-bilik padat, kawasan sekitar sesak, kemudahan air con jenis lama (bising/gegar) dan banyak kedai 2 Riyal untuk memudahkan jemaah membelibelah.

Sejak menjadi tetamu ibadah Umrah, Haji dan berpuasa sebulan di tanah suci saya melihat perkembangan Misfalah sebagai kawasan mengundang musibah. Selain tidak ada sistem pergerakan jemaah pergi dan balik ke masjid kedai sekitar menjadikan kesesakan tidak terkawal terutama sewaktu sebelum berbuka, waktu sahur dan yang paling menakutkan malam 10 terakhir Ramadhan dan hari Jumaat.

Saya bertemu seorang wanita Malaysia muda yang pertama kali datang dalam bulan Ramadhan ke Mekah."saya terkejut mak cik...saya tengok manusia macam air tak berhenti-henti, saya takut.  Suami saya hairan mengapa saya takut. Dia dah kali kedua ke Mekah, saya baru pertama kali"  Memang dia akan terkejut kerana pakej Andalusia yang di ikutinya menempatkan jemaah di tengah-tengah kawasan Misfalah iaitu di Hijjaz Palace. Malam 27 Ramadhan kawasan itu 'No Entry' sampai habis Terawih...bayangkan kalau jemaah yang tergesa sakit perut nak guna toilet memang kawasan mamnuk (kawasan larangan). Pastilah jemaah komplain dan syarikat umrah akan kehilangan jemaah tahun lain. Itu satu musibah.

Musibah kedua jika kita silap keluar waktu kesesakan mungkin kita akan terperangkap dan menjadi mangsa serangan dua hala jemaah yang pulang dari masjid berpusu-pusu dan jemaah yang baru sampai ingin ke masjid untuk menunaikan umrah. Ketika jemaah ini bertembung saya melihat semacam akan berlaku insiden terowong 'Muassim' di Mina satu waktu dulu. Kedua-dua arus asak mengasak sehingga tersepit orang di tengah...kecuali akan bertakbir beberapa mangsa barulah reda sedikit.

Pengalaman saya pulang awal setelah selesai 10 rakaat terawih malam 27 Ramadhan...saya terkejut sepanjang jalan Misfalah di penuhi Jemaah bersolat menyambung 10 rakaat terawih. Bila bertembung dua pasukan yang di sebutkan yang menjadi mangsa ialah jemaah yang sedang solat, ada yang tertimpa hingga patah-patah, dengarnya seorang jemaah wanita maut baru-baru ini. Anehnya pasukan polis yang menjaga kawasan tersebut hanya mampu menjerit, tak ada kudrat untuk menghalang 'mob' yang berlaku.

Opah seorang ahli keluarga yang bersama saya menggunakan kerusi tolak terbalik kerusinya dan tukang dorong terpisah daripada kerusi roda. Mujurlah ada dua orang jemaah lelaki menyelamatkan opah dan meletak semula kerusi roda untuk opah bangkit duduk semula. Opah menangis pulang ke bilik menyatakan mujur tak tinggal nama sebab musibah yang di luar kemampuannya. Kami meredakan opah dengan banyak-banyak bersyukur dah selamat. terdetik dalam minda saya mungkin kawasan ini perlu di elakkan sewaktu menempatkan warga emas atau yang uzur walupun ia amat dekat dengan Masjid.

Namun Misfalah amat terkenal dengan pelbagai makanan Pakistan kerana di situ terletak Restoran Chittagong, Dekka dan Edan ketiga-tiganya menjadi serbuan orang Asia sekalipun mereka tinggal di kawasan lain. Kebetulan jemaah kami di tempatkan di jalan melalui Restoran Dekka saya menamakannya 'Bengla Corner' yang amat bahaya kerana di situlah berkumpul rakyat Bengladesh yang akan datang daripada seluruh Saudi tempat mereka bertugas setiap malam Jumaat dan 10 malam terakhir Ramadhan. Fokus mereka ingin ke Masjid, bertawaf, sentuh hajar aswad, melakukan saie dan makan. Tempat tinggal sedia dalam MasjidilHaram. Apa yang berlaku ialah sekumpulan mereka merasa berjihad jika dapat melepaskan diri dalam kesesakan. Opah menganggap mereke 'berhantu' di jalanraya serupa mat rempit kerana mereka terdiri daripada anak-anak muda. Saya perbetulkan konsep opah, bukan berhantu tapi bersemangat ingin berada di sisi Allah...mat rempit dan remaja kita lari daripada Allah...boleh fikir2kan.

Misfalah membuka jalan menghala ke Zam-Zam Tower iaitu bangunan mewah yang menempatkan hotel dan apartment yang terus ke Safwa tower dan jam besar. Telahan saya Misfalah akan kekal dalam suasana ini kerana jika ia di tiadakan apa hal Zam-Zam tower yang menjadi mercutanda tanah haram terutama dengan terbinanya jam besar. Seorang jemaah bersama kami amat selesa dengan adanya Zam-Zam tower kerana bila di tanya solat terawih dimana beliau akan jawab di "Stadium', tu di bawah zam-zam Tower,kami panggil stadium. senyum saya di buatnya.    

Mengakhiri blog ini saya ada cara lain untuk tidak terlibat dengan musibah Misfalah. Antara tipnya ialah rancang masa untuk keluar ke Masjidilharam 1 jam sebelum waktu solat; Cuba iktikaf di masjid tiga waktu solat: Zohor, Asar dan Maghrib. Jika tidak mampu keluar masjid 30 minit-1jam selepas selsai solat. Malam 10 terakhir Ramadhan cuba iktikaf dengan teman supaya tempat dapat di sediakan bila pulang semula.

Akhirnya jangan terlibat dengan membelibelah dan solat di kawasan tengah-tengah arus manusia.Kalau solat di dataran pastikan hampir dengan dinding bukan tempat laluan. Sekali-kali jangan solat di depan pintu masuk masjid kerana itu juga kawasan sesak. Mutakhir ini saya lihat selain warga Indo-Pak yang sering memenuhi pintu masjid ada segelintir warga Indonesia dan warga tua Malaysia. Ada rasa belas kepada mereka namun tak upaya nak sediakan tempat dalam masjid yang sesak. Ramai yang sanggup bergaduh untuk tidak melepaskan tempat.Cara mengajar orang begini ialah sebaik lepas solat cari kawasan lain bersolat dan serahkan tempat solat kita kepada mereka,ada yang malu-malu sebab sebelum itu marah-marah, ada yang suka amat kerana dapat ruang yang luas untuk mereka tidur.Ini semua karenah jemaah yang Allah uji jemaah agar banyak bersabar, merelakan apa kehendak mereka yang belum insaf dan jaga akhlak setiap saat.       
   
Saat paling saya kenang dalam pakej umrah tahun ini ialah sewaktu mencari tempat bertahajjud malam 27 Ramadhan. Satu kawasan yang di panggil SPA  (pintu no 3 Ajiad) agak luas tiada kesesakan kerana tempat itu tidak di sediakan karpet dan air con. Yang jadi rebutan ialah tempat bawah kipas. Tong air zam-zam banyak terdapat di situ. Pergaduhan kurang kerana tempat agak panas,cukuplah panas udara jangan panas emosi! Sewaktu saya berada di tempat jauh dari kipas saya sudah mula berpeluh. selsai solat tahajjud dan doa Imam Abd Rahman Sudais yang mengambil masa 1 jam...peluh sama melilih dengan air mata....ya Allah satu pengalaman yang saya tidak rasa pun peluh membasahi baju dan seluar saya, kuyup. Selsai solat towel kecil lencun...saya tertanya-tanya ni basah air mata ke air peluh...senyum sendiri. Pagi itu saya bersahur,solat subuh dan tidur lagi di kawasan SPA...anehnya pulang bilik rasa sihat, bisa kaki kurang dan bertenaga...ameen.  semoga itu anugerah malam LailatulQadr.

Alhamdulillah rombongan saya semua berpakat akan datang lagi berumrah tahun depan sekalipun berada di kawasan Misfalah yang bermusibah...ameen kerana peringkat awal anak saudara suami saya protes habis tak suka di bawa mama-ayahnya berumrah Ramadhan. Itulah rahsia doa ibu bapa yang kasihkan anak tunggal dapat mengubah rasa hati dan insyaAllah melahirkan anak solehah untuk berbakti kepada ibu bapa.

IFTAR DI DATARAN DENGAN AHLI KELUARGA
 OPAH DI LAYAN REMAJA YEMEN YANG MENJADI SUKARELAWAN MASJIDILHARAM



Opah yang berumur 75 pun semakin bersemangat kerana beliau mendapat layanan istimewa remaja Yemen sepanjang berbuka dalam MasjidilHaram yang penuh barakah sekalipun kami jarang menemaninya berbuka. Kami dengan suami dan keluarga masing-masing akan beriftar bersama jemaah di dataran jalan sisi Istana. Selapas solat samada akan pulang ke hotel makan malam atau ke Foodcourt menikmati hidangan yang pelbagai, sediakan Riyal sahaja.  Indah dan ada kalanya dapat teman daripada pelbagai negara berkongsi meja dan makanan. Ramadhan bulan memberi, amat seronok jika ada orang yang ingin kita beri sesuatu...paling-paling doa untuk kita bertemu di Jannah...ya di Jannatul Firdaus..kemana lagi kalau buka ke situ ya????

SEBAHAGIAN SENARIO MASJIDILHARAM UMRAH 2011



SEBAHAGIAN AHLI JEMAAH PAKEJ UMRAH HARMONI EXCELLENCE 2011

1 comment:

  1. Alhamdulilah selamat kembali dengan pengalaman yang berharga bagi yang bercita-cita untuk ke sana.Anugerah Rahmat Allah tidak ternilai. Ia dihadirkan dalam berbagai bentuk. Saya berdoa dapat ke sana lagi jika itu yang terbaik bagi diri.Semoga Allah meredhai.

    ReplyDelete