'SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG SELALU MEMBACA KITAB ALLAH (ALQURAN) DAN MELAKSANAKAN SOLAT DAN MENGINFAQKAN SEBAHAGIAN REZEKI YANG KAMI ANUGERAHKAN KEPADANYA DENGAN DIAM-DIAM DAN TERANG-TERANGAN, MEREKA ITU MENGHARAPKAN PERDAGANGAN YANG TIDAK AKAN RUGI.' (ALFATIR 29)
NIKMAT ALLAH
Thursday, March 3, 2011
KRAF MENGKUANG KRAF KERTAS
PROGRAM KENDALIAN KELAB WANITA KIJANG KELANTAN MEMPERTEMUKAN TEMAN SEPERJUANGAN
Salam
Selasa 01 Mac 2011 saya dan suami bersama dua orang jurulatih Mawaddah Kraf (MK) memulakan musafir ke Marang Terengganu. Kami di pelawa oleh sebuah organisasi Kelab Wanita Kijang Kelantan menyertai kursus kemahiran dan keusahawanan dengan mengendalikan pakej latihan kraf kitarsemula majalah kepada kumpulan miskin bandar Negeri Terengganu. Program di biayai Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
Saya tidak pula bertanya bagaimana sebuah organisasi negeri kelantan mengendalikan program untuk rakyat Terengganu tapi khabarnya sambutan peserta negeri Kelantan agak kurang sedangkan negeri Terengganu berjaya mengumpulkan sejumlah 400 peserta.
Kebetulan pengurus program kenalan saya dan tahu apa yang saya sedang lakukan kepada kumpulan miskin dan asnaf, urusan jemputan dan menyediakan modul agak mudah dan tidak memakan masa yang lama. Suatu yang menambah mudah ialah jurulatih biasa menyesuaikan modul mereka kepada kumpulan sasaran.
Bersama kumpulan yang berminat dalam bidang kraf adalah menyeronokkan dan nostalgia memberi motivasi menerpa kembali. Rupanya peserta yang ramai dikumpulkan pihak penaja ada di tawarkan pelbagai kursus daripada kaedah membuat berger dan masakan kepada teknik mangasuh anak-anak di tadika, kraf dan pembungkusan makanan. 40 peserta memilih menghadiri latihan kraf kitarsemula (Mawaddah Kraf).
Penginapan dan kos keenderaan di sediakan pihak penganjur dan kami hanya mengisi slot dua hari yang disediakan. Tugas saya memulakan program dengan taklimat dan motivasi serta penutup program dengan membuat penilaian prestasi peserta disamping menyampaikan hadiah cenderahati.
Selang-selang waktu lapang saya dan suami meninjau ke pekan Marang dan Kuala Terengganu. Bandar Kuala Terengganu hanya 18 Km daripada Marang. Terlalu ketara sepinya bandar Kuala Terengganu pada musim bukan cuti sekolah. Kedai makan lengang,Pasar Payang kurang pelanggan dan penginapan hotel sepi pelanggan.
Kesempatan berada di negeri yang popular dengan kraf mengkuang dan songket kami melawat teman jurulatih yang menjadi pembekal utama kraf mengkuang ke seluruh negara terutama kepada Perbadanan Kraftangan Malaysia. Kalau di banding dengan proses membuat kraf mengkuang dengan kraf kitarsemula, kraf mengkuang amat rumit. Saya masih ingat sewaktu nenek saya menganyam tikar mengkuang ianya mengambil masa yang lama.
Bermula dengan memilih daun pokok mengkuang yang berduri, melayurkannya atas api agar lembut, melurutnya, merebusnya, menjadikan helai anyaman dan mewarnakan bukan sahaja memakan masa malah tenaga pakar yang bukan sedikit. Kebetulan pengkraf yang kami lawati melakukan proses ini seisi keluarga termasuk seorang nenek berumur lebih 70 tahun yang masih kuat menjahit tanpa memakai kacamata.
KRAF MENGKUANG YANG HALUS ANYAMANNYA
BERSAMA JURUKRAF MENGKUANG YANG MENGGONDOL BANYAK ANUGERAH KRAF
BERSAMA NENEK BERUMUR LEBIH 70 TAHUN YANG MASIH PRODUKTIF DENGAN HASIL KRAF MENGKUANG
Kami bertukar hadiah kraf malah saya dan jurulatih membeli produk unik mengkuang yang merupakan kraf sepanjang zaman. Mujurlah jurulatih Mawaddah kraf telah mendapat idea baru membuat buah-buah kertas sebagai bahan accessories ianya menambah kreativiti kepada penampilan Mawaddah Kraf.
ACCESSORI BUAH KERTAS YANG MENARIK
Difahamkan jurukraf mengkuang turut mendapat bantuan Jabatan Pertanian negeri Terengganu yang memberi bantuan kewangan membina bengkel yang masih dalam pembinaan di sebelah rumahnya.
Ada sedikit peliknya dengan perkembangan kraf mengkuang dan kraf kertas berhadapan dengan agensi kerajaan yang sepatutnya menjaga kepentingan kraftangan kerana tidak ada usaha yang di buat termasuk menyediakan bengkel (disediakan Jabatan Pertanian) dan memajukan bidang kraf kecuali mengadakan pertandingan dua tahun sekali kepada krativiti kraf mengkuang yang setiap kali dimenangi jurukraf daripada Terengganu.
Apatah lagi kraf kertas langsung tidak di iktiraf atau termasuk dalam senarai 'kraf ' kerana di anggap bahan buangan dan di bawah Jabatan Alam sekitar dan kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (sampah) . Namun keujudan Mawaddah kraf tidaklah mengharapkan sokonga mana-mana Jabatan Kerajaan kerana ianya merupakan projek keusahawanan untuk membantu menambah pendapatan peserta terutama golongan miskin yang hanya perlu mengumpulkan bahan majalah terbuang untuk dikitar semula.
Diakhir program semua peserta berpuashati kerana masing-masing membawa pulang tiga jenis kraf yang diajar iaitu produk anyaman, menghasilkan tasbih dan accessori buah kertas. Hadiah cenderahati di beri kepada yang paling kreatif, kemas penghasilan dan 'saleablity' (produk ada potensi menarik minta pelanggan untuk membelinya)
KRAF KERTAS DI PAMER DAN DI JUAL DI NACC KUALA TERENGGANU
Satu keistimewaan di negeri Terengganu ialah ujudnya sebuah institusi koporat batik NOR ARFA yang memiliki kompleks sendiri (NACC-Nor Arfa Craft Complex) di Kuala Terengganu. NACC menerima semua jenis penghasilan kraf warga Terengganu untuk di jual di kompleksnya. Saya berkesempatan ke NACC dan kagum dengan barisan kraf Wannur yang ada di situ. Harga kraf setaraf dengan kraf mengkuang, songket dan selainnya,alhamdulillah.
Saya memilih tajuk Kraf Mengkuang Kraf kertas untuk blog ini sebagai satu komitmen bahawa yang bernama kraf itu sama uniknya kerana ia memerlukan sikap kreatif dan ingin meneroka dikalangan juru kraf. Setanding dengan bidang kreatif yang lain jurukraf perlu menggunakan daya pemikiran yang tenang ketika 'mencipta' produk dan design baru.
Bagi seorang yang ingin menjadikan bidang kraf ini sebagai ibadah ia tidak lari daripada bidang perusahaan yang lain, ada saat menghasilkan produk terbaik, ada saat menjualnya, ada masa infaqnya, ada masa khusu'nya (fokus) dan ada masa sabarnya. Itulah juga bahan yang saya beri kepada peserta dalam program di Marang.
Pada saya semua bidang yang di ceburi ada ruang untuk meningkatkan kualiti sumber KEINSANAN yang berpaksi kepada INGAT ALLAH BANYAK-BANYAK dan dalam berkreatif kraf masa menganyam, menyediakan produk dan memasarkannya merupakan ruang dan peluang untuk berZIKIR dan berFIKIR ke arah mana halatuju kejayaan kraf akan dibawa. WaAllau'alam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Alhamdulilah terus aktif. Dua minggu dulu ikut buat lawatan ke penjara wanita di Kajang. Di sana pun penghuninya diajar buat kraf dari kertas kitar semula. Juga ia dijual tetapi tidak kesempatan bertanya dimana. Kita ramai dan bengkel kecil sahaja. Jadi tidak ada peluang tanya. Salam.
ReplyDelete