Meraikan kelahiran baby girl
Salam
Isnin 14 Februari 2011 pengajian Fiqh Semasa sebelah pagi dan Talaqi AlQuran petang berjalan seperti biasa. Selasa 12 RabiulAwal 1432H cuti MaulidilRasul telah sedia menunggu pelbagai aktiviti semua peringkat.
Hampir senja Isnin saya dapat berita anak saya yang sedang menunggu hari kelahiran anak keempatnya telah dimasukkan ke Hospital Besar Batu Pahat. Sekali lagi saya dan suami membuat keputusan pergi ke Batu Pahat, kali ini di sertai adik saya yang menetap di Batu Pahat. Kebetulan beliau di KL menguruskan e-book pertamanya. Harapan kami kelahiran akan berlaku serentak hari kelahiran Rasulullah 12 RabiulAwal, mesti ada barakahnya,
Selesai berbuka puasa dan solat jama' taqdim di Anjung 7 kami bertolak terus ke rumah adik saya. Jangkanya jika anak saya bersalin kami akan pulang awal hari Selasa.
Rumah adik saya yang selesa agak terpencil di hujung taman yang sebahagian besar penduduk kaum cina. Terasa ganjil juga berada di kawasan sepi dan salakan anjing bertaliarus sampai ke larut malam menjelang ke Subuh. Saya tabik lah adik saya yang sering bersendirian kerana dahulu suaminya sibuk membawa rombongan berUmrah, kini sibuk dengan perniagaan di Kota Kinabalu, cawangan pun ada di sana tak sepilah suaminya. Jawapan mudah adik saya "alah bisa tegal biasa, dah biasa, seronok uzlah dan menyendiri dengan Allah,orang tak ganggu." Saya tabik
lagi jawapan sebegini.
Rumah kami berkampong di BP
Tidak saya sangka akan berkampong tiga hari (selasa-Khamis) di Batu Pahat kerana baby yang di cadang di beri nama 'Sabrina' memang menguji kesabaran kami menunggunya lahir ke dunia.
SITI NOOR AIN SABRINA
baby yang sihat & mongel
Alhamdulillah jam 2.40 pagi Khamis saya terima sms daripada menantu menyatakan isterinya selamat bersalin baby girl. Rupanya Sabrina lahir beberapa jam lebih awal dan tarikh lahirnya sebenarnya jam 10.00 malam Rabu. Banyak juga karenah di hospital besar ni, nak cerita pun menambah stress kerana ada sedikit kelam kabut sejak menjangka tarikh lahir sampai kepada saat nak melahir kena queue (ikut giliran) berjam-jam.
Sabrina di tahnik (merasakan manis kurma) Atuk Abahnya
Siapa yang menaggungnya fahamlah, mungkin silap KPI agaknya di hospital awam ini. Makan minum ibu-ibu yang menunggu giliran bersalin tidak ada siapa ambil tau, suami pula tak di benarkan masuk menjengok kawasan larangan. Sebaik melahirkan, anak saya di beritakan muntah dek perut kosong, mujur tak pengsan! Mungkin ada ibu-ibu yang serik nak melahirkan lagi agaknya kesan kelamkabut ini.
Apa pun baby hanya dapat di temui selepas jam 4.00 petang Khamis. Mengapa baby diletakkan di ICU dulu saya kurang arif, menantu saya pun tak tau sebabnya. Anak saya memaklumkan semasa lahir anaknya hampir biru kerana lehernya terbelit tali pusat,WaAllau'alam.Bersedialah ibu-ibu untuk bersalin di hospital swasta kerana setiap perkhidmatan di hospital swasta ada KPI nya dan suara pesakit laku di sana.
Berkampong di BP ada hikmahnya, saya mula mengenal dimana tempat yang sedap masakan asam pedasnya, di mana kedai halal dan agak mahir berulang alik ke hospital. Cucu-cucu yang di jaga ibu mertua anak saya turut dapat di pantau, menjemput dari sekolah kerana ayahnya menjaga ibunya di hospital.
Jihad juga nak tinggalkan tiga anak bila bersalin
Di rumah adik saya ada mesin urut Gintell, apa lagi sehari 3-4 kali kami berurut, mujurlah ada tarikan, alhamdulillah. Rupanya mesin urut yang mahal harganya ini memang dapat menjalankan urutan seperti tukang urut, satu pencapaian teknologi juga. Begitulah terkehadapannya usahawan Jepun merekabentuk keperluan manusia sampai ke peringkat menjaga kesihatan. Inilah kelebihan ilmu dan teknologi yang umat lslam masih jauh ketinggalan.
Gambar hiasan: di Kompleks Perniagaan telah ada mesin urut bayar
Tiap malam kami akan menghadap channel TV AlJazeera dan semakinlah saya sesak nafas melihat umat lslam di timur tengah bergolak kini. Kesan revolusi di Tunisia dan Mesir juga memperlihatkan rakyat kedua negara mula menjadi pelarian di Itali mencari pekerjaan,malah ada yang menjadi mangsa kejadian kapal karam. Di Libya,Iran dan Baharin perhimpunan rakyat di halang dan ada yang kehilangan nyawa.
Ada terdengar suara yang menyatakan revolusi sengaja di rancang dan merupakan tektik kuasa besar dunia dan barat ingin memporakperadakan negara umat lslam agar terus lemah dan kecundang untuk memegang kepimpinan dunia, mungkin benar. Namun ketiadaan tindakan susulan selepas revolusi yang berlaku di Tunisia dan Mesir menimbulkan banyak tandatanya,
Siapa sebenarnya yang Rugi, Siapa yang Menang dan mengapa tidak ada usaha menghukum penjenayah politik yang menyusahkan rakyat di negara tersebut? Harta dan kekayaan mereka yang banyak tersimpan diluar negara malah di Arab Saudi mengapa tidak ada pihak yang merampasnya atau membekukannya. Seronoklah kedua-dua pemimpin menghabiskan duit rakyat di negara luar, sedangkan penduduk negara mereka merempat mencari pekerjaan di negara Europah!
Begitulah kekeliruan yang belaku berikutan revolusi menegakkan demokrasi dan suara rakyat sedangkan rakyat telah lama 'suffer in silence' (sangsara dalam senyap) kekurangan ilmu dan kemudahan dan selepas revolusi mereka terus terpinggir. Berikutan pengambilalihaan kuasa baru tersedar rakyat tidak dapat di wakili (kerana kurang mampu) dan negara terus di pimpin orang lama yang masih memegang tampuk kuasa.
Berkampong di BP membuat saya merenung masa depan anak-anak muda dunia:Kemana arah mereka akan bawa dunia ini sedangkan REVOLUSI AKIDAH yang di bawa Rasulullah saw bermula dengan kefahaman dan kesedaran menentang segala bentuk JAHILIYAH (yang di asaskan bukan kerana Allah) dan menegakkan kekuasan Allah serta kedaulatan agamaNya. Jauh rasanya negara ini akan merasai nikmat bebas dan merdeka sepertimana yang Allah anugerahkan dalam setiap kelahiran.
Umar AlKhattab pernah menegur seorang sahabat yang memperlakukan seseorang seperti hamba dengan kata-katanya 'sejak bila mereka menjadi hamba sedangkan ibu-ibu mereka melahirkan mereka sebagai seorang yang merdeka! Mesej yang sama di sentuh dalam perutusan seorang ulama seperti berikut"
"Sambutan Maulidur Rasul s.a.w. yang diadakan saban tahun, mestilah diutamakan dengan memulakan azam baru bagi mengikuti teladan Nabi Muhammad s.a.w. yang diutuskan oleh Allah SWT, untuk membebaskan manusia daripada belenggu jahiliah.
Jasa besar Nabi Muhammad s.a.w. adalah, membawa Islam yang menerangi manusia, yang memerdekakan manusia daripada diperhambakan sesama manusia, dijajah sesama manusia, dizalimi dan menzalimi sesama manusia, kepada manusia yang merdeka dan mempunyai hak yang dihormati.
Kejayaan besar penjajah barat ialah memesongkan umat Islam daripada politik Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Hasilnya lahirlah umat Islam yang menerima sahaja siapa sekalipun menjadi pemerintah mereka, walaupun zalim kepada rakyat, kerana bagi mereka urusan politik tidak ada kaitan dengan agama.
Sedangkan pada diri Rasulullah s.a.w. itu adanya teladan politik Islam yang terbukti memberi keadilan kepada semua agama dan kaum, disambung pula oleh pemerintahan Islam selepas itu, yang membuktikan sesuatu kaum khususnya Arab tidak selama-lamanya menjadi pemimpin.
Rasulullah s.a.w. telah membuktikan Islam tidak membenarkan perhambaan sesama manusia, Islam memberikan hak kepada rakyat, hak kepada wanita dan kaum minoriti, dan Islam memberi keadilan kepada seluruh makhluk di atas muka bumi ini. Teladan Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang sepatutnya kita ikuti dengan menolak perjuangan sempit atas nama perkauman yang terbukti zalim dan tidak memberi keadilan kepada rakyat.
Kita melihat bagaimana kehidupan masyarakat Arab jahiliah sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. yang penuh dengan perhambaan dan kezaliman, tetapi semuanya berubah selepas kedatangan Islam.
Justeru, saya menyeru kepada seluruh umat Islam khususnya, supaya memulakan tekad baru, menolak jahiliah moden yang menjadikan rakyat sebagai hamba, yang harta negara berlegar sesama mereka, yang rasuah dan zalim, kepada perjuangan yang lebih syumul iaitu Islam sebagaimana dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Kelahiran cucu saya ke sepuluh dengan nama Siti Noor Ain Sabrina di doakan akan dapat mengekalkan jiwa merdekanya di sisi Allah, generasi seangkatannya akan bebas menguasai dan menghayati kebenaran agama Allah, menghirup kemanisan iman dan taqwa sebagai panduan hidup yang tidak rugi di dunia dan akhirat.WaAllahu'alam
No comments:
Post a Comment