


Salam
Awal pagi Sabtu 10 April 2010 saya dan suami menghala ke Batang Kali Daerah Hulu Langat. Terasa jauhnya bila terhalang dek kesesakan jalanraya di laluan keluar lebuhraya Rawang. Setelah melalui pekan Serendah dan Batang Kali tergerak di hati menziarahi seorang sahabat lama Muhammad dan isterinya Rubyiah di Serendah. Minggu lalu mereka mengadakan majlis perkahwinan anak lelakinya yang kedua. Kami memohon maaf tidak dapat memenuhi hajat, rupanya kali ini memang satu kesempatan yang terbuka luas.
Seorang penulis Amru Khalid menyebut 'berjalan-jalan di taman-taman persaudaraan saya akan memetik dua kuntum bunga yang baunya semerbak mewangi untuk anda. Pertama bunga itu akan memasukkan anda ke dalam syurga, kedua bunga tersebut akan menyelamatkan anda daripada neraka.' (Buku Quantum Change- menyingkap rahsia kedasyhatan dan erti kemuliaan seorang Muslim)'
Taman persaudaraan memang masih mekar antara kami dan pasangan Muhammad. Kami di sambut dengan begitu mesra, syahdu, terharu malah menikmati masakan penuh erti seorang sahabat yang 12 tahun tak bertemu. Kisah penempatan setinggan di Kg Kerinci yang di ganti dengan pangsapuri, kisah rumah setinggan terbakar dan seterusnya semua setinggan berpisah di sana sini menyebabkan kami memang susah bertemu. Tetapi ternyata ganti rumah keluarga Muhammad dengan enam anak-anaknya lebih baik daripada kawasan setinggan yang menjadi tempat kami berusrah lebih 15 tahun yang lalu.

Kalau ada orang bertanya saya apakah kenikmatan yang anda pernah kecapi dalam hidup di dunia ini saya tidak teragak-agak akan menyatakan ketika saya berada di taman-taman persaudaraan menanam di dalamnya benih kasih sayang mawaddah wa rahmah tanpa mengira tempat malah di kawasan setingganlah kami belajar erti kemanusiaan satu ketika dahulu.
Saudara Muhammad mengimbau sebuah kisah sewaktu kami memiliki dua buah kereta dan kami pinjamkan sebuah kepadanya untuk beliau pulang berhari raya di Muar Johor. Kereta mengalami kecelakaan jalanraya dan beliau mencari kami di kampong ketika itu menaiki teksi. Dengan titisan air mata beliau menceritakan betapa tersentuhnya dia bila soalan yang pertama suami saya utarakan, awak dan anak-anak tak apa-apa? pada Muhammad soalan itu amat mengharukan dan tersimpan di ingatnnya hingga ke hari ini kerana ternyata harta kebendaan bukan matlamat suami saya...kami membalas kesayuannya dengan penuh syukur...dan menyatakan doa Muhammad telahpun terjawab, kami baru-baru ni dapat kereta baru dari langit...tengoklah kuda putih di depan tu. MasyaAllah...itulah jawapan Muhammad.
Demikianlah mengimbau kisah lama adalah melihat benih-benih bunga di taman persaudaraan hidup subur dan mekar.
Kak ani berdua ni dah pencen kenapa tak nampak tua ya? isteri Muhammad pula mencelah, sama saja macam 20 tahun dulu. Saya pula menyampuk..eh jangan berguraulah, tak nampak rambut putih Safaruddin sampai ke misai tu dan lihatlah kedut di muka saya ni..."Betul kak tak ada beza macam dulu je kak ani ni...apa rahsianya?
Macam dulu-dulu juga saya ni suka berpesan kepada Rubiyah yang saya anggap macam adik saya..."bangun awal pagi, solat awal waktu, baca quran banyak-banyak, puasa isnin Khamis, kerja kuat, jangan tengok tv yang mengarut tu peningkan kepala je. Kerja waktu pencen ni bosnya Allah. Semua tersenyum kernana kami sama-sama faham di mana pun bos utama memang Allah.
Di akhir pertemuan kami mendoakan pertemuan lagi dan sekiranya kami tidak berkesempatan doakan kita bertemu di syurga...sedih lagi. Itulah kenangan paling indah di pagi Sabtu.
Menjelang waktu Asar hari yang sama kami di datangi dua kumpulan tamu, satu daripada Kangar, Perlis keluarga Wan Nazaliah (kak Nali) dan satu lagi daripada Bangi dan kelang, keluarga Hawa/Mukmin. Terus saya sms siti Hilmiyah untuk bertemu kak nali dan beliau dan anak-anak kemudian menyertai kami di D'Arab Cafe Anjung 7. Hampir dua meja panjang kami booking dan makan beramai-ramai. MasyaAllah..kami berada dalam satu lagi taman persaudaraan dengan dua kuntum bunga menggapai syurga dan memelihara diri dari neraka.
Kak Nali memang terlalu lamu tak berjumpa, sekarang sudah punyai 9 orang cucu macam saya juga. Kesan pertemuan tarbawiyyah ini amat besar kerana pada saya Kak Nali adalah orang yang pertama tersenyum menegur saya waktu saya menghadiri seminar ABIM lebih 30 tahun lalu. Cerita kami berkisar kenangan di rumahnya di Kangar makan sambal ikan rebus masakan Mak Wan (arwah ibu kak nali) yang sampai hari ini saya terasa sedapnya. Kisah kak nali membesarkan 3 anak lelaki sebagai ibu tunggal (arwah suaminya pegawai tentera terkorban lemas sewaktu berenang di pantai Port Dickson) menjadi motivasi kepada saya menubuhkan sebuah Syarikat Perunding (kini NGO) bertemakan 'mawaddah'
Hawa dan Mukmin pernah menjadi anak angkat kami sewaktu belajar di KISDAR kini KUIS. Perkahwinan mereka kami restui dan iringi sampai ke kampongnya. Alhamdulillah bila mereka datang dengan ibu bapa ia mengimbau kisah kami menguruskan perkahwinanya kini ada empat anak. Sedikit pun tak terasa lama atau membebankan. Alhamdulillah, memang taman-taman persaudaraan anugerah terbesar daripada Allah, ia tidak akan dapat di beli di mana-mana pasar. Ia hanya ada di pasaran akidah, tukarannya iman dan taqwa.
Terima kasih Ya Allah Kau beri kami hidup subur menempah hari-hari tua dalam taman-taman persaudaraanMU. Apatah lagi kini siti Hilmiyyah dah jadi 'body guard' saya, menyimak ke mana saya dan sihat ke. Semoga taman-taman persaudaraan benar-benar menyediakan dua kuntum bunga harum bekalan saya dan suami di alam selepas ini, Amiin.
No comments:
Post a Comment