NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Saturday, April 10, 2010

MUSIBAH


'Katakanlah "Wahai Allah yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Ali Imran :26)

Salam

Jumaat 9 April 2010 5.30 petang saya di minta mewakili Jabatan Koporat MBSA menyampaikan sumbangan kepada mangsa musibah kebakaran rumah Jalan Yakut Seksyen 7 Shah Alam seminggu yang lalu. Prof Khairuddin dan isterinya Zaleha kini menyewa sebuah rumah di Seksyen 2 Shah Alam.

*Rumah Prof Khairuddin yang terbakar bumbungnya

Ketenangan yang tergambar di wajah kedua suami isteri ini meyakinkan saya bahawa setiap musibah mesti ada hikmahnya kerana segala kuasa mengkehendaki sesuatu hanya terletak pada Allah SWT. Mungkin Allah nak gantikan sesuatu yang lebih baik sebagai natijah kesabaran daripada musibah ini insyaAllah. Itulah mesej yang saya sampaikan kepada mereka berdua kerana dengarnya ramai yang menyumbangkan pelbagai bakti sebaik sahaja kariah seksyen 7 mendapat berita musibah ini.

Kebetulan jam 9.30 malam 3 April 2010 waktu musibah berlaku kami warga MPP Zon 3 berada di Taman Tasik kerana aktiviti karnival sedang berlangsung. Saya ada terdengar siren melalui jalan besar di hadapan tasik, namun tidak menyangka ia siren Jabatan Bomba. Jabatan Bomba yang menyertai pameran di Taman Tasik pula sebelah petangnya telah memutuskan menutup pameran selepas angin kencang menerbangkan kemah, terus menabur bakti malam itu masyaAllah...

Khusus penghargaan saya kepada seorang Ahli Majlis yang menjadi jiran Prof Khairuddin, Haji Azli kerana dia mewakili saya selaku Pengerusi MPP Zon 3 ketika musibah berlaku. Beliau sertamerta menguruskan segala perkara termasuk mendapatkan sumbangan daripada Jabatan Korporat MBSA. MBSA turut menawarkan kuarters apartment seksyen 16 tapi mungkin Prof dan keluarga lebih selesa menyewa di seksyen 2, ia lebih dekat dengan sekolah anak-anaknya. Khabarnya kebakaran berpunca daripada unit penghawa dingin yang 'trip' atau 'short-circuit'. Seperti maksud ayat Alquran Suran Ali Imran 26, semua kuasa di sisi Allah, yang penting kita memilih kemuliaan sentiasa menjadi hambanya yang pasrah dalam senang dan susah. Iktibarnya jika Allah nak ambil harta kita dalam sekelip mata sahaja akan hilang! Tidak ada siapa yang dapat mengembalikannya semula, hatta perlindungan insuran yang hanya akan membina binaan baru, bukan yang asal.

Memikirkan tindakan spontan teman ahli majlis, saya amat terharu kerana ini satu sifat persaudaraan Islam yang cukup mantap. Bayangkan kalaulah dalam hati kami ada sekelumit hasad antara teman sesama Ahli Majlis mungkin kes ini akan di biarkan dan yang akan mendapat tohmahan kerana tidak bertindak cepat adalah saya sendiri. Pada saya ini anugerah Allah kerana tidak semua orang Allah anugerahkan rasa ukhwwah kiranya kita kurang ikhlas dalam bersahabat.

Kebetulan pada pagi dan tengahari yang sama saya menghadiri beberapa pertemuan dan perlu membuat keputusan. Terasa dalam pertemuan-pertemuan tersebut terdapat sedikit kegusaran. Dalam kes pertama kami perlu membuat keputusan menawarkan projek penswastaan food court kepada sebuah syarikat yang kurang arif dengan kedudukan syarikat sendiri. Kami pakat menyatakan adakah ini 'proxy' atau orang suruhan semata? Namun dalam syura ia perlukan masa untuk meneliti maklumat terperinci dan harapan kami agar keputusan tepat dapat di buat. Jika sebaliknya berlanjutanlah banyak projek terbengkalai seperti sebelum ini. Begitulah sensitifnya membuat sesuatu keputusan.

Dalam pertemuan kedua saya dan teman membincangkan 'wajah-wajah amal'. Terusterang saya mengaku kekurangan dan keletihan saya menjalankan amal mewakili sebuah pertubuhan tanpa sokongan padu dari pelbagai segi, kewangan, sumber manusia dan yang paling penting "keseqahan' atau kebolehpercayaan terhadap seseorang. Pertemuan sensitif ini membahaskan banyak perkara terutama gerak kerja dan cara membuat keputusan. Berlaku 'tawar hati' atau kurang motivasi meneruskan amal jika berlaku sedikit 'buruk sangka' yang pada saya menjadi maksiat penghijab keberkatan dan pada saya ia juga satu MUSIBAH. Di akhir pertemuan saya akur dengan keputusan yang berpihak kepada ramai kerana saya masih lagi memegang konsep 'syura' dengan satu 'clause tambahan' bahawa saya akan akur jika sesuatu keputusan itu tidak bercampur di dalamnya 'fitnah' atau 'kezaliman' kerana dalam kaedah Islam ada menyebut 'tidak boleh taat kepada seseorang yang melakukan maksiat kepada Allah' dan sebuah hadis menyebut 'Di antara doa orang yang dizalimi dengan Allah tidak ada penghalang. Allah mengangkat doa itu hingga ke langit (HR Muslim) ' WaAllhu'alam.

Satu perbincangan mengenai 'Finishing School' menyusul selepas itu dan saya berserta seorang teman penuh azam untuk menjadikan projek mendidik remaja perempuan ini satu realiti dalam masa yang singkat. Doa kami agar permohonan mendapatkan dana dan kemudahan di luluskan oleh mana-mana pihak yang ada bujet. Kebetulan dua hari berturut-turut akhbar menyiarkan berita statistik buang bayi dan penderaan di negeri Selangor yang tertinggi. Saya turut di temuduga akhbar Sinar Harian dan telah keluar gambar dan kenyataan saya di SH pagi ini. Sebenarnya komen saya ringkas sahaja iaitu remaja yang bermasalah perlu di jelaskan matlamat hidup masing-masing. Bila wartawan SR bertanya apa matlamat hidup saya menyebut MATI? Dia terkejut...saya menjelaskan bila kita semua tahu akan mati sekurang-kurangnya jiwa akan dapat mengawal sifat kehaiwanan kerana semua perbuatan akan di tanya oleh Allah setelah kita mati. Barulah watawan tersebut faham dan kemudian bertanya saya cara penyelesaian. Yang keluar dalam SR hanya cara penyelesaian iaitu remaja jangan di biar terlalu bebas dna berhibur tanpa batas yang merupakan MUSIBAH kepada ibu bapa dan masyarakat sekeliling.

No comments:

Post a Comment