NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Monday, February 15, 2010

MERSING DAN GEN 3 KOHATSA




1. wakil kohatsa
2. di rumah hj arshad
3. Fakhri Mikail Amry
4. Gen 1 bersama Gen 3
5. bas pekerja cuti-cuti malaysia

Abdullah bin Salam meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: Wahai sekelian manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan, bersilaturahimlah dengan semua kerabat, bersolatlah di waktu malam di kala orang lain sedang tidur, pasti kamu akan masuk syurga dengan selamat sejahtera.

Salam

Sabtu 13 Februari 2010 keluarga KOHATSA (Hj Md Top dan Hjh Esah Long) memulakan program bersama ke Mersing dengan dua tujuan. Pertama perjumpaan tahunan mengeratkan silaturahim dengan tema 'Mengharapkan Anugerah Syurga', kedua menyahut jemputan sepupu kami Hj Arshad Hj Ahmad yang mengadakan jamuan perkahwinan anak perempuannya di rumahnya alamat KM 11 Jalan Endau, Kg Tenglu Mersing.

Teluk Godek Resort, Air Papan Mersing Johor jadi destinasi kali ini. Awalnya masing-masing akan convoy memandu kereta sendiri, di saat akhir sebuah bas kilang 'cuti-cuti Malaysia ' tersergam di hadapan rumah kak Ngah dan kami yang warga emas 'takut kelelahan' memandu jauh terus parking kereta di hadapan rumah menjadi penumpang. Padat 43 penumpang termasuk anak-anak kecil. Kami pasrah, berdoa musafir, janji rehat, selamat dan dalam bas lebih mudah mengawal peserta yang banyak juga kerenahnya.

Hanya 4/13 wakil keluarga tidak dapat hadir, almaklum cuti tahun baru cina dan banyak aktiviti tak sempat di selaraskan. Apa pun doa dan silaturahim kami untuk yang tidak hadir akan terus di lakukan kerana itulah ertinya silaturrahim, doa yang di pohon sewaktu ketiadaan seseorang.

Tidak begitu terasa perjalanan yang memang jauh kerana VCD 'Laskar Pelangi' dan "Ashabul Kahfi" mengisi masa, menghibur mata dan meransang berfikir tentang kehidupan, iman dan taqwa. Alhamdulillah..saya sarankan semua ahli Kohatsa miliki VCD berharga ini. Laskar pelangi menceritakan kisah 'anak miskin pun berhak mendapat ilmu' (Saya teringat projek Garut), sementara Ashabulkahfi ialah kisah 7 pemuda yang menyelamatkan akidah, di tidurkan Allah lebih 300 tahun dalam gua.

Alhamdulillah pertemuan dapat berjalan dengan baik, solat, berdoa, mendengar ceramah, bermesyuarat dan tidur makan bersama. Barakahlah yang menyumbang makanan/ membayarkan kos makanan sepanjang program. Jam 9.00 malam di adakan ceramah tentang Palestin oleh Haluan Palestin JB dan masing-masing memberi sumbangan hampir RM700 malam itu, alhamdulillah. (Hadis riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dalam kitab Shahihnya Rasulullah saw bersabda, " Allah akan merawat/ mengembangkan sedekah satu biji kurma dan satu suap makanan sebagaimana kalian memelihara anak kuda atau anak unta menjadi seperti gunung Uhud"-maksudnya terlalu besar ganjaran, Allahuakbar!)

Setelah mendengar keperitan hidup rakyat Palestin tidak tergamak kami nak merungut keadaan kurang selesa tinggal bersama dalam 'Dorm' tanpa kemudahan hawa dingin. 2 Dorm telah ditempah, sebuah untuk lelaki, sebuah untuk perempuan. Cantiknya tinggal bersama ialah masing-masing pandai menjaga waktu menggunakan kemudahan bilik air yang satu...macam berada di Mekah menunaikan ibadah haji layaknya!

Sebelum meninggalkan resort (yang perlu rebranding kerana lebih macam homestay) kami mengadakan bacaan mathurat selepas subuh, bermesyuarat dan berpesan-pesan -tazkirah. Diadakan juga permainan, anak-anak dengan air lautnya, kaum lelaki dengan bola sepak pantainya dan kaum wanita menyediakan bahan permainan 'melastik botol'. Kebetulan saya kena giliran menggunakan bilik air, saya pun misslah permainan tersebut. tahniahlah kepada yang mengasaskan permainan, menyediakan hadiah dan menyelaras semua bayaran mengadakan lawatan yang 'amat mendidik' pada hemat saya.

Kebersamaan ini mendidik saya betapa masa berjalan begitu pantas...tau-tau Kohatsa sudah ada Gen 3. Generasi Kohatsa bermula daripada barisan anak-anak ibu bapa kami yang tinggal 12 adik beradik (Kohatsa 1), lebih 40 cucu (Kohatsa 2), dan kini cicit arwah (Kohatsa 3) sedang dalam proses bertambah, yang termuda dapat menyertai program ialah FAKRY MIKAIL AMRY Bin Zubair Amry Bin Ghazali Bin Md Top berumur 2 bulan.

Didikan kedua yang saya insafi ialah betapa jauhnya 'jurang' antara kami (Kohatsa 1) dengan anak-anak saudara (Kohatsa 2) yang lebih mirip kepada tamaddun semasa. Susah dan sedih juga hati ini bilamana melihat dunia 'glamour' telah menjadikan generasi Kohatsa mangsa, ada yang belum jelas jati diri Islam, kurang kemesraan kerana nilai dan cara hidup berbeza dan banyak lagilah. Kebimbangan itu saya suarakan dalam majlis 'berwasiat' dengan menyebut maksud sebuah hadis riwayat Abdullah Bin Salam, di tambah denga maksud hadis yang lain untuk 'solat awal waktu berjemaah' sebagai memenuhi tema 'mengharapkan anugerah syurga'. Pihak urusetia telah juga menyediakan Buletin untuk menukilkan nasihat bila-bila ada yang berkelapangan dapat membaca hasrat Kohatsa.

Didikan ketiga saya amat insaf dalam umur senja ini ialah tidak ramai barisan GEN 2 dan prasarana yang dapat kami sediakan kerana kesibukan masing-masing. Ketara kami Gen 1 kurang berhasil mendidik diri sendiri sebagai contoh mampan jadi ikutan generasi berikutnya. Tibalah masanya untuk Kohatsa memikirkan sebuah perancangan bersama mengujudkan apa sahaja warisan yang akan menjana tiga kebaikan' sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan.' Antara perkongsian yang saya ingin yakinkan agar ahli kohatsa dapat bantu ialah sebuah perniagaan yang menjana pendapatan berterusan, sebuah tadika alquran, sebuah tahfiz dan sebuah 'finishing school'. Biarlah buat permulaan ini anak-anak cucu-cicit kohatsa yang mengisinya.

Apa pun Kohatsa telah memulakan sejarah bersilaturrahim berbanding dengan saudara mara lain yang sukar di ikat dengan kebersamaan. Allah berfirman dalam surah Al Anfal:63 "Dan Dia yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman), walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka." (maksudnya dengan iman sahaja kita dapat kekal bersatu padu hingga akhirat) Kebetulan dalam rombongan kami ada seorang saudara baru Muhammad Fatah Wilson yang di Islamkan Hj Rosli dan keluarga. Hajat kami inilah permulaan Kohatsa merasai keperluan mengajak umat lain menikmati kurnia Islam kepada ahli keluarga dengan memberi contoh indahnya bersama Islam: Bermusafir, beribadah, bermesra, mengingati dan mengenal kebesaran Allah bersama-sama satu rombongan. Kami ingin juga pamerkan kebesaran Allah yang menganugerahkan kepada Kohatsa sebuah keluarga sebagai SYURGA pertama di dunia penuh kenikmatan, kesenangan, kerukunan dan kebahagiaan insyaAllah.

Kerendahan hati yang ada pada ahli kohatsa kerana sanggup bersama setiap program, saya yakin adalah tinggalan dan warisan arwah ibu bapa kami yang Allah kurniakan rahsia berupa rahmat, kasih sayang dan kelembutan. Kami ingin merawat jasa ibu bapa kami yang besar itu dan rahmat yang Allah berikan kepada mereka dengan menganjurkan pelbagai aktiviti silaturrahim untuk kohatsa..alhamdulillah. Jika usaha ini merupakan doa anak-anak yang soleh dan solehah, ia adalah anugerah dan ganjaran kepada arwah kedua ibu bapa yang mendidik kami sejak kecil dengan penuh perhatian, kasih sayang dan pengorbanan yang bukan sedikit.

Bagaimana pula dengan diri kami, saya dan Kohatsa 1...adakah anak-anak yang macam kami yang amat perihatin untuk menjemput 'SYURGA' melalui ikatan silaturrahim? adakah yang sudi tampil mengambil alih tugas Mak cik Noli dan Mak usu yang amat gigih, kreatif serta melakukan apa saja asalkan kita semua dapat bertemu dan bahagia?

GEN 2 Kohatsa (Kohatsa 2) tolong fikir-fikirkan ya? Sentiasalah berlapang dada menerima dalam saf kita mereka yang di didik oleh ahli Kohatsa, anak angkat ke, anak tumpang ke, asalkan mereka ingin beriman dan bertaqwa.

WaAllahu'alam yang baik itu semuanya daripada Allah, yang kurang baik tulisannya adalah kelemahan saya, INSAN LEMAH...ada blog ahli kohatsa nama ini..sila lihat

No comments:

Post a Comment