NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Monday, October 5, 2009

Mekah Madinah- dua bandaraya yang tak pernah tidur


Alhamdulillah dapat curi sedikit masa untuk menulis blog. Saya masih lagi terkenangkan dua bandaraya yang tak pernah tidur lena..Mekah Madinah. Kata ahli motivasi kalau kita lakukan sesuatu lebih 21 hari ia akan menjadi kebiasaan.

Kebiasaan mengisi masa di Mekah dalam bulan Ramadhan bermula sebelum waktu Zohor 11.00 pagi untuk mengambil tempat dalam Masjid kerana azan Zohor kedengaran jam 12.20 thari. Selepas solat ramai juga jemaah yang tidak pulang ke penginapan kerana cuaca mencicah suhu 50 degree celcius. Biasanya tetamu Allah akan beriktikaf hingga ke waktu Asar, membaca Alquran atau tidur dalam masjid. Menjelang waktu Asar para jemaah tambahan akan berpusu ke Masjid mengambil tempat selesa untuk berbuka puasa. Biasanya tempat yang berhawa dingin padat waktu ini. Selepas Asar bermulalah pengagihan juadah berbuka puasa oleh ornag pemurah, biasanya kurma dan roti, keju serta susu masam (laban) Hampir waktu berbuka akan berkeliaran mak-mak arab menuangkan 'qahwah' rasa air jamu halia, orang Malaysia jarang meminumnya. Saya kreatif sikit meminumnya bersama dengan kopi segra dalam paket, baru rasa manis dan susu.

Di setengah tempat ahli keluarga boleh bersama berbuka puasa atau iftar, antaranya di dataran depan masjid dan di kawasan 'underground' yang berhawa dingin. Jam 6 petang air zam-zam mula di edar untuk orang ramai mengambilnya di tong-tong yang di siapkan petugas Masjid. Waktu ini ramai yang akan mengambil air tersebut berlebihan dalam balang dan botol sehinggakan bagi yang ingin berbuka jarang menikmatinya kecuali di kongsi bersama oleh mereka yang menyimpan balang dan botol. Aneh juga sikap jemaah di Masjid ni kerana selain ada tempat khas mengambil air zam-zam di bahagian luar dan dalam masjid ramai lagi yang berpusu kepada tong air zam-zam minuman orang ramai. Yang sedihnya ramai juga yang tidak menjaga kebersihan, melatakkan sampah sarap di sekitar tong air. Kasihan saya melihat petugas yang memang ramai juga mengutip sampah demi menjaga kebersihan masjid untuk bersolat lepas itu.

Waktu berbuka 6.25 petang, selang 15 minit selepas berbuka puasa ala kadar dengan kurma dan air zam-zam atau sebarang air yang di bawa bekal daripada rumah atau Ben Daud (Supermarket utama di Mekah)solat Maghrib di mulakan. Saya memang takjub melihat suasana solat dalam waktu singkat ini kerana masing-masing sempat mengemaskan tempat makan dan tup-tup barisan saff terus wujud...masyaAllah. saya yakin ada malaikat yang menggerakkan jemaah agar berbuat demikian. Bagi kaum lelaki yang berbuka bersama keluarga mereka akan beredar ke tempat lelaki atau di bahagian hadapan saff wanita. Selsai solat maghrib biasanya ramai ahli ibadah yang akan menunggu solat jenazah yang tidak pernah tidak ada setiap waktu solat. Kemudian berlakulah ombak 'tsunami' jemaah yang menyerang jalanraya untuk pulang ke penginapan masing-masing menikmati hidangan makan malam. Bilangan jemaah yang ramai berpusu di jalanraya bak ombak 'tsunami' yang akan menyerang siapa sahaja yang melanggar arus. Kalau tak mahu di 'keronyok' orang ramai jangan sekali-kali melawan arus waktu jemaah pulang daripada solat.

Saya dan keluarga di izin Allah untuk merasai dua jenis hidangan, di peringkat awal kami di hidang makanan katering seorang ustaz Indonesia, 10 terakhir Ramadhan adik saya yang rajin menyediakan makanan dengan memasak segala macam, semoga Allah merahmati beliau kerana memberi orang berpuasa makan.

Jam 8.30 malam waktu Isya dan terus terawih. Jika terlewat sahaja beredar daripada hotel kami akan tersadai bersolat di dataran atau di tepi jalanraya kerana semua pintu masuk ke ruang masjid telah di duduki jemaah yang merasa sempit masa untuk masuk ke bahagian dalam masjid. Di 10 hari terakhir barulah ada barisan petugas yang menghalakan (halau) jemaah agar masuk ke dalam supaya jemaah kemudiannya dapat memasuki masjid. Dalam lain perkataan kita kena rancang masa sekurang-kurangnya setengah jam sebelum solat Isya untuk mendapat tempat selesa bersolat dalam masjid. Sering juga kami yang terlewat sedikit dapat solat di tempat yang tidak berhawa dingin dan basah kuyup dek keringat kerana bahang panas siang menyebabkan tempat solat panas sekali. Banyaklah insiden kena pulang awal meredah jemaah sedang bersolat kerana kepanasan kadang-kadang menyebabkan hampir pitam!

Selsai terawih 20 rakaat jam 10.30 malam. Pada Ramadhan 10 terakhir jam 1.00 pagi akan bermula solat tahajjud pula. Biasanya kami rehat dua jam, kembali ke masjid paling lewat 12.30 malam. Solat Tahajjud akan selsai hampir 2.30 pagi dan kami pulang semula untuk bersahur. Kadang-kadang jika rasa kenyang terus iktikaf di masjid menunggu waktu fajar subuh 4.40 pagi. Selepas sahur bergerak sekai lagi ke masjid untu solat subuh. 5.30 pagi ramai yang akan melakukan tawaf sunat, membaca mathurat kemudian menunggu waktu dhuha 7.00 pagi. Jam 8.00 baru pulang ke hotel penginapan untuk rehat dan tidur hingga jam 10.30 pagi. Bersih diri, mandi dan mengemas pakaian baru ke Masjid semula menunggu waktu Zohor 12.30 tengahari. Inilah pusingan jadual 24 jam, namun setiap saat akan ada jemaah yang baru sampai daripada Madinah atau baru tiba daripada negara masing-masing untuk menunaikan umrah sunat. Kedai makanan hanya akan tutup selepas fajar kerana ada jemaah yang waktu imsaknya betul-betul sebelum azan subuh! 24 jam sehari supermarket Ben Daud akan di buka untuk menerima tetamu di bandaraya yang tak pernah tidur..(cities that never sleep).

Iktibar kesah di Mekah Madinah ialah sikap perhambaan umat Islam yang mesti berlaku setiap saat hidup mereka. Setiap detik nafas kita merupakan nikmat Allah yang perlu di syukuri dengan pelbagai jenis ketaatan dan ibadah sekalipun waktu tidur! Isunya yang perlu kita fikirkan ialah sejauh mana kita dapat mengikat diri kita dalam lingkungan taatkan Allah dan beribadah kerana nafsu akan sentiasa memainkan peranan mengasingkan kita daripada taat kepada pelbagai sikap ingkar, mazmumah, antaranya malas, lalai, sombong dan tamak haluba. Melihat pelbagai karenah jemaah dalam bandaraya yang tak pernah tidur ini saya insaf bahawa di tengah-tengah suasana tepu dengan ibadah pun sikap leka dan kurang berakhlak masih berleluasa.apatah pula bila kembali dalam suasana penuh tarikan keduniaan di mana-mana kini... WaAllahua'lam

No comments:

Post a Comment