NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Friday, August 21, 2009

Ramadhan kareem

"Ya Allah Engkau Maha Pemaaf dan menyukai maaf maka maafkanlah aku."


Jumaat 21 Ogos

Marhaban ya Ramadhan kareem wa mubaraq. Selamat datang Ramadhan yang mulia dan penuh barakah. Selepas terawih malam pertama Ramadhan tadi saya bertemu adik saya Rosli dan keluarganya. Satu berita yang membimbangkan bila Aniza Aishah anak saudara saya seorang doktor menyatakan untuk trip Umrah saya pada petang Isnin, 'Mak uda jaga-jaga di pintu check in, jangan batuk, nanti kena lalu skrin, mesti positive demam kerana suhu badan biasa memang panas.'

Kebetulan saya dan suami memang sedang batuk dan rasa nak demam. Pagi tadi seorang teman menasihatkan minum 'jus tokguru'. Dah lewat malam ni nak cari mana, pagi esok mula puasa. Saya pasrah dan berdoa dalam hati..'Ya Allah, mudahkanlah perjalananku ke Mekah nanti..'

Umrah Ramadhan merupakan satu anugerah bagi siapa yang dapat melakukannya. Anugerah ini sampai kepada kami suami isteri apabila adik saya menyatakan dia hajat nak bawa adik beradik ke Mekah bulan Ramadhan dan akan menyewakan sebuah apartment di Mekah. Kami pun menyusun strategi untuk menggunakan tiket percuma MAS yang suami saya masih layak mengunakan. Tup..tup kini wabak H1N1 merebak dengan begitu menakutkan kerana dalam sehari sahaja hari ini lebih 500 kes berlaku di Malaysia!. Saya berdoa lagi agar Allah permudahkan saya dan suami sampai ke tanah suci. Jika di takdirkan saya demam di Mekah saya redho dan pasrah, janji saya sampai hajat untuk menunaikan ibadah dalam bulan mulia Ramadhan Kareem.

Sepanjang hari ini Setiausaha Kehormat MPP sibuk meghantar hamper dan korma ke Persatuan Penduduk dan surau-surau di MPP Zon 3. Lewat petang tadi saya turut menyertai misi untuk U12 Surau Al Amin dan Surau Al Mustaqimah termasuk menyerahkan banner Ramadhan Kareem ucapan daripada MPP kepada warga Zon 3. Alhamdulillah dapat juga kami meraikan kedatangan bulan yang penuh rahmat ini, bulan di turunkan Alquran dan bulan segala kejayaan umat Islam berlaku. Ya Allah kekalkanlah kejayaan umat Islam seluruh dunia dalam Ramadhan Kareem kali ini.

Mengimbau penularan wabak H1N1 kini saya di maklumkan topeng muka naik harga. MasyaAllah..dalam kesusahan pun ada orang nak 'menangguk di air keruh' , maksudnya ada yang mengambil kesempatan. Saya dapat tahu ini kerana MPP Zon 3 sedang merancang Bazaar Ramadhan di Anjung 7 mulai esok. Temanya 'meraih keberkatan Ramadhan' dengan memulakan Bazaar Ramadhan Tanpa Sampah yang pertama di Malaysia.

Masalah besar sekarang ialah sejauh mana pengunjung akan datang ke Bazaar jika wabak tersebar tanpa kawalan. Apa pun Jawatankuasa telah bertungkus lumus saya mendoakan usaha mereka tidak sia-sia. Yang menjadi tarikan ialah setiap hari Ahad akan ada pembahagian percuma 'bubur lambuk' daripada beberapa penderma, meraikan anak-anak yatim, tazkirah Ramadhan dan persembahan Nasyid Daie. Di doakan kalau saya sempat sampai ke Mekah apa yang berlaku di Bazaar Ramadhan sentiasa di beri kejayaan dan keberkatan. Dapatlah kami memakmurkan Anjung 7 yang begitu malap sebelum ini.

Dua insiden menggamit saya dalam usaha mengadakan Bazaar Ramadhan. Satu ialah usaha saya nak membantu seorang ibu tunggal mendapat tambahan pendapatan sebelah petang dengan menerima tawaran menjual produk MyNasiLemak.com. Di peringkat akhir tawaran di tolak oleh ibu tersebut kerana katanya ia kurang mahir berjual beli dan susah nak ke sana sini. Pening juga saya mendengar alasan ini kerana dengan berniaga 3-4 jam sehari tidak menganggu ibadah jika di rancang dengan baik. Mungkin saya silap tidak mendidik ibu ini dengan jatidiri tinggi untuk menerima cabaran. Yang dia tahu ialah setiap Ramadhan Lembaga Zakat akan memberi 'duit raya' dan untuk menyara seorang dirinya ibu tunggal ini sumbangan lebih dari mencukupi. Akhirnya saya tolaklah tawaran gerai MyNasiLemak.com begitu sahaja. Tak ada rezekilah tu.

Insiden kedua PTO saya yang baru terusterang 'chicken out' (rasa takut) bila melihat senarai projek dan tugas MPP Zon 3 berjela panjang. Tujuan saya menyenaraikan check list ialah supaya mudah menyemak kerja. Rupanya PTO tadi memikirkan banyaknya kerja sampai tak sanggup nak komit. Tambahan katanya dia tinggal jauh dan sukar untuk sampai ke pejabat sedangkan dia memiliki sebuah kereta!

Saya semakin bingung...dalam umur semuda belum berkahwin itu jika sikap ini di teruskan saya yakin 'gelap masa depan'nya. Saya memberitahu beliau sikap menolak kerja ini tidak sihat untuk kerjaya kerana nanti jika temuduga jawatan tetap dia kurang pengalaman. Selamba sahaja PTO tersebut mengesyurkan supaya saya menimbangkan rakannya yang tinggal di kampong yang sama. Saya terus katakan apa alasan awak tinggal jauh..ni kawan sekampong awak akan mengalami masalah yang sama. Tak apa pandailah saya beritahu bahagian korporat katanya... eh eh ada orang macam ni rupanya.

Saya tidak berniat merendahakan beliau tapi sikap begini memang tidak pernah berlaku dalam era saya berkhidmat dulu. Mau tak mau kami dalam perkhidmatan akan tunaikan segala tugas dan akhirnya sikap rajin membuahkan banyak kebaikan, antaranya terpilih menghadiri kursus keluar negara, naik pangkat lebih awal (high flyer) daripada orang lain dan di jadikan contoh..saya masih ingat seorang Pengarah Bahagian Perjawatan JPA waktu itu (sekarang di panggil Bahagian Pembangunan Organisasi) menyebut nama arwah bapa saya...'Noraini ni selalu "on the Top', satu kisah manis walaupun nama bapa saya macam di perli!

Sempena Ramadhan Kareem (yang mulia) saya terus berpegang kepada prinsip hidup mulia dan mati shahid (berjuang). Berjuang bukan sekadar dalam medan perang tapi melawan nafsu dan syaitan pun berjuang juga. Saya berdoa PTO tadi berjuang membuang sikap 'chicken'nya kerana dia mengalah sebelum berjuang!

Akhir kalam jika seseorang itu mempunyai masalah janganlah gentar..ada satu mentra untuk kita ubah persepsi masalah. Biasanya kita akan berdoa.."Ya Allah..tolonglah, banyaknya masalahku.."sekarang kita ubah dengan bercakap kepada masalah..'wahai masalah..kau tidak lebih besar daripada Tuhan kita Allah, Allah akan selsaikan kamu ya? WaAllau'alam.

No comments:

Post a Comment