"Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu." (Surah Muhammad: 7)
Sabtu 8 Ogos saya meneruskan tradisi keluarga solat berjemaah. Subuh syahdu kali ini hanya bersama Yana cucu kedua saya. Alhamdulillah di pagi hari cuti begini dapatlah saya mengambil sedikit masa memberi tazkirah untuk diri dan cucu. Dalam umur 11 tahun cucu saya tidak terkecuali dengan beberapa kelalaian termasuk tidak menunaikan solat tepat waktu. Pagi itu saya mengajarnya ayat motivasi jiwa "Allah bersamaku, Allah melihatku, Allah menolongku."
Tiga rangkai kata-kata ringkas namun padat dengan pengukuhan tentang kebenaran yang sering di lupai manusia, begitulah saya bercerita dengan cucu saya yang mendengar dengan setia. Tiga saksi akan bersama kita kalau kita lalai iaitu Masa, Malaikat dan Allah. Masa akan mencemburui kita jika kita bazirkan dengan sia-sia melakukan perkara yang Allah benci, Malaikat akan mendoakan kita jika kita beriman dan melakukan amal soleh dan yang pastinya Allah tidak menyia-iakan usaha ikhlas kita untuk menjadi hambaNya yang berguna dengan balasan syurga ' yang tidak pernah di dengar telinga, terfikir oleh akal, di lihat oleh mata dan terdetik di jiwa, begitu indah dan bahagia ' Tazkirah di akhiri dengan doa ma'thurat. Saya berpesan Yana menyanyikan kata-kata motivasi itu bersama adiknya Imtiyaz yang baru pandai bercakap.
Hidup bersama Allah memang suatu yang amat mengasyikkan. Kita akan rasai keberkesanannya jika di nilai dari segi banyaknya yang kita perlu tahu dalam hidup yang begitu singkat. Tau-tau umur dah menjangkau 60 tahun dan lebih..sedang bersiap-siap untuk perjalanan jauh di alam barzah bila ajal menjemput kita.
Dengan izin Allah jua, semalam 7 Ogos, saya berkesempatan bertemu rakan-rakan seperjuangan yang masing-masing telah bersara dan cuba mengisi masa dengan bekalan kehidupan selepas mati. Kami bersama mendengar tazkirah Ustazah Maznah dan membaca surah Yassin untuk arwah ahli keluarga, sahabat handai dan teman-teman yang telah mendahului kami. Alhamdulillah satu pertemuan penuh barakah di rumah teman sekolah untuk menjalinkan persaudaraan sesama rakan seusia dan seperjuangan untuk menegakkan kebenaran pada diri dan ahli keluarga. Satu kebenaran yang hakiki ialah 'ubuddiyah' atau perhambaan kepada pencipta dalam berbagai bentuk yang sepatutnya tidak menyimpang daripada sunnah atau amalan Rasulullah saw dan para sahabatnya sekadar yang mampu kita lakukan.
Saya mengambil sedikit masa kali ini saya nak berkongsi isi kandungan tazkirah Ustazah Maznah yang telah mengupas kepentingan Surah Al Kahfi. Empat paksi penting dalam surah yang di kupas ialah tentang ujian kehidupan, pertama ujian mempertahankan agama; kedua, ujian mengendalikan harta agar tidak menjadikan kita sombong dan bongkak; ketiga, ujian mencari dan menjaga ilmu agar bermanfaat dan akhirnya ujian menggunakan kuasa atau kekuatan agar bersendikan keadilan. Ramai yang sering membaca surah ini namun tidak ramai yang dapat menyedut intipati mesej di dalamnya. Terima kasih kepada Usatzah yang memang seorang pakar dalam ilmu tafsir dan fiqah ini.
Kebetulan seluruh negeri Selangor sekarang ini kecoh dengan isu Arak di biarkan di jual berleluasa tanpa halangan berikutan insiden memulangkan rampasan arak yang di buat oleh MBSA saya menerima satu mesej berbunyi ' salam saudara seagama Islam maha suci, marilah bersama saya ke ruang legar MBSA jam 3.00 petang Jumaat ini turut sama parti PAS/UMNO bagi membela kesucian agama Islam dengan menyerahkan memorandum kepada Datuk Bandar supaya jangan di permainkan oleh kaum/agama lain. Besar harapan saya NGO yang berdaftar maju ke depan dan di kenali popular membela agama dan bangsa.'
Isu mempertahankan agama memang tugas kita sejak azali, tapi mengapa mesti menunggu insiden rampasan arak baru kita melenting? Ini komen dalam hati saya. Keempat-empat isu yang di kupas Ustazah Maznah memang menjadi pergeseran di kalangan umat Islam, terutama fitnah menguruskan KUASA. Mengapa berlaku salahguna kuasa atau pilih kasih (double standard) bilamana kuasa di jalankan termasuk berhimpun mempertahankan kebenaran, contohnya ISA baru-baru ini? Sekarang ini PAS/UMNO baru terfikir nak bersama menyerahkan memorandum...saya pun keliru namun saya tidak ingin terperangkap dalam mana-mana drama mempolitikkan masyarakat yang beremosi begini. Banyak lagi ruang mudah yang belum kita terokai antaranya mendidik anak-anak ramaja menjaga jatidiri berpandukan mantra 'Allah bersamaku, Allah melihatku dan Allah menolongku' Yang saya dapat lihat di merata tempat ramaja tidak peka yang ujudnya Allah selaku pencipta. Masing-masing lupa daratan melanggar perintah Allah ke tahap tidak menggambarkan kesucian agama yang di sebut dalam sms yang saya terima. Apa pun secara diplomatik saya menjawab sms menyatakan yang saya berada di Kuala Lumpur dan akan hantar wakil jika ada.
Sebelah malam Jumaat 7 Ogos saya menghadiri majlis perkahwinan anak saudara Rafidah (lin) yang bertemu jodoh dengan seorang jejaka warganegara United Kingdom. Ketara dalam pengamatan saya pengantin lelaki amat terpegun dengan kebudayaan Melayu Islam, berdoa, berselawat, berkompang, bersilat dan bersanding. Dalam diam saya muhasabah diri adakah ini satu usaha untuk mempamirkan kebesaran dan keagungan agama Islam? saya serahkan kepada perancangan Allah meletakkan saya di tengah-tengah kancah ujian untuk mendeklamsikan kata-kata tubi "Allah bersamaku, Allah melihatku, Allah menolongku." Lebih-lebih lagi pada malam Khamis 6 Ogos kami di MPP Zon 3 merancang untuk mengadakan Bazaar Ramadhan yang 'berbeza' daripada biasa agar terserlah keindahan bulan 'ibadah' sepanjang Ramadhan. Saya mendoakan AJK dapat memikirkan sesuatu yang baik sempena Ramadhan AlMubarak 1430H kerana sepanjang Ramadhan nanti saya dan suami bersama keluarga KOHATSA (Keluarga Hj Md Top) merancang untuk berada di tanah suci Mekah, insyaAllah
Memang fitnah agama kian menjadi-jadi akhir zaman ini. Yang merunsingkan saya ialah sejauh mana kita dapat bertahan jika tiga perkara tidak di jadikan asas, iaitu PERTAMA, apa manhaj atau sumber rujukan hidup kita? KEDUA , Siapa contoh yang kita tauladani dan KETIGA Bagaimana kita menyediakan persekitaran yang baik untuk umat in? Untuk menjawab ketiga-tiga isu inilah makanya tugas kecil saya selaku Ahli Majlis MBSA yang di sambung setahun lagi menjadi cabaran. Saya berdoa semoga ada sedikit masa untuk menerapkan ketiga isu penting dalam perancangan MBSA walau sekecil mana pun hasilnya. WaAlahu'alam.
No comments:
Post a Comment