NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Saturday, July 4, 2009

MUTSHAHIDAH DALAM KENANGAN

Di tulis Ahad 5 Julai 2009
Sudah tiga hari Mutshahidah lahir dan meninggal dunia. Ramai kenalan mengucapkan takziah. Ibunya zura pun dah balik daripada hospital. Kakaknya yang sulung pun pulang bercuti daripada tahfiz Al Manar Kelantan untuk menjenguk keadaan ibunya.


"Saya redho anak saya meninggal' begitulah zura mengungkap kata dalam kesedihan setibanya di rumah petang Sabtu 4 Julai 09.
Mengimbau perjalanan hidup mutshahidah dalam kandungan ibunya, saya hanya tahu berita kandungannya setelah berumur 5 bulan. Petanda awal ialah ibunya tidak lagi uzur bersolat jemaah setiap pagi. Tekaan saya tepat bila satu pagi Zura memberitahu dia mengandung masuk 5 bulan. Saya mengambil kesempatan itu untuk menasihati zura didik anak sejak dalam kandungan kerana anak tahu dan meniru apa yang ibunya lakukan. Alhamdulillah zura tidak membantah kerana saya dapati setiap pagi dan malam kami solat berjemaah dia telah pun hafal doa ma'thurat (doa berkesan yang di amalkan oleh Rasulullah saw).

Kerajinan zura menantu saya yang tinggal serumah memudahkan banyak tugas saya yang agak sibuk di luar rumah. Kerapkali kain yang saya basuh sebelah pagi tersusun rapi telah di lipat bila saya pulang lewat malam. Tugasnya membuka kedai makan di MSU amat 'renyah' kata orang Johor. Nak buat persiapan masakan dan membeli bahan yang mudah rosak setiap lepas kerja. Kami jarang bertemu kecuali solat berjemaah waktu Isya dan Subuh. Memang istimewa Mutshahidah dalam kandungan ibunya kerana Zura sihat dan ceria. Jarang mengeluh atau masam muka. Tidak hairan Mutshahidah lahir mewarisi wajah ahli syurga yang senyum dan manis sekali.
Dalam bulan-bulan terakhir kandungan Mutshshidah saya berkesempatan melawat Darultauhid di Bandung Indonesia dan telah membeli beberapa buku yang saya berikan kepada Zura. Saya yakin zura membacanya termasuk doa-doa maqbul. Dua tiga minggu sebelum tarikh 'due' saya nasihatkan zura banyak membaca surah Maryam dan surah Albaqarah serta jangan berhenti berzikir. Kami sering juga mengadakan kuliah subuh setiap pagi ahad bilamana zura bercuti kerja. Antara yang saya yakin dan suka meyakinkan ahli keluarga ialah setiap zikir yang kita baca ialah sebenarnya menanam sebatang pokok di Syurga.
Kadang-kadang kuliah Subuh menyentuh kepentingan membaca dan menghayati Alquran sebagai peraturan yang penting untuk memandu hidup manusia di muka bumi kerana dengan berbekal cahaya AlQuran sahaja kita tidak sesat dalam kegelapan maksiat dan jahiliyah. Pernah sekali saya sentuh kisah anak-anak yang meninggal waktu kecil sebagai ahli syurga yang menunggu ibu bapanya di pintu syurga dengan syarat ibu bapanya juga ada ciri-ciri ahli syurga. Ciri-ciri ahli syurga ini akan kita jumpa jika rajin membaca AlQuran, insyaAllah.
Saya mendoakan Mutshahidah yang kini berada di sisi Allah dapat memberi syafaat kepada kami sekeluarga. Kami juga sentiasa berdoa bahawa dengan ujian kehilangan Mutshahidah ikatan hati kami semakin kuat dengan alam akhirat kerana ingin bersama dengannya. Kami ingin menjadikan matlamat hidup kami sesuai dengan sikap orang mukmin iaitu hidup mulia dan mati syahid serta tergolong di kalangan orang-orang yang Allah beri nikmat iaitu seperti tertera dalam AlQuran Surah AnNisa ayat 69 bermaksud:
"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan di tempatkan di Syurga bersama orang-orang yang telah di kurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka iaitu, Nabi-nabi dan orang-orang Siddiqin, dan orang-orang yang syahid serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman."
WaAllahu'alam.

No comments:

Post a Comment