NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Saturday, May 4, 2013

JANGAN BERPUTUS ASA DENGAN RAHMAT ALLAH

Salam

Sabtu 4 Mei 2013/ 23 JamadilAkhir 1434H

Surah Yusuf 87 '..dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah.Sesungguhnya yang berputus asa dari rahmat Allah hanyalah orang-orang yang kafir."

Sejak awal Mei kesibukan agak mendesak kerana saya dan suami berserta teman berpindah rumah. Kali ini  rumah low cost di kawasan Bukit Kontang Tangkak.  Hampir separuh lebih kecil daripada rumah di Solok Jaya tapi adik saya memujinya kerana 'cute, comel dan mudah urus.' Teman saya pula sekarang sedang bermusafir di Eastern Europe, saya berpindah tanpanya dahulu. Alhamdulillah hari pertama pindah saya menerima tamu sahabat Haluan dari Muar. Salah seorang memiliki kemahiran yang amat saya perlukan di Nursery (taska) Sufi. "Kalau kita berjodoh ya?' saya mempelawanya menyertai Sufi.

Sepanjang minggu juga ada sedikit ujian perasaan kerana saya kurang arif dengan perkembangan keluarga di Shah Alam. Tau tau beberapa insiden yang berlaku kurang saya senangi. Seorang adik saya memberi nasihat 'JANGAN BERPUTUS ASA DENGAN RAHMAT ALLAH'. Tepat sekali kerana rahmat Allah memang berada di mana-mana mengiringi kehidupan kita sekalipun dalam musibah. Kalau bukan dengan rahmat Allah kita akan terlantar tanpa pertolongan kerana yang menolong kita semuanya dengan rahmat Allah semata. Satu syarat RAHMAT ALLAH ADALAH ANUGERAH UNTUK ORANG-ORANG MUKHLISIN (IKHLAS)

Namun mengapa ramai yang kurang ikhlas membantu kemenangan agama Allah? kurang percaya dengan janji dan kuasa Allah? Kurang sedar rezeki dari Allah? Kurang berusaha untuk mencari redho Allah dan suka melengah-lengahkan perintah Allah seperti jarang solat berjemaah, susah menimba ilmu untuk memantap iman di 'taman-taman syurga' (majlis ilmu), liat membaca AlQuran, lupa berdoa dan berzikir sebagai makanan ruh? Bolehkah rahmat Allah berlaku dalam keadaan kita lalai begini?

Sebelum menjelangnya 1 Mei saya juga sibuk menyediakan surat pengesahan jawatan murobbiah dan staf Sufi, pertama kali tawaran di buat menggunakan Bahasa Inggeris seperti saranan Sekolah lslam Adni. Dalam kelemahan berbahasa inggeris yang begitu ketara dikalangan murobbiah tindakan saya agak janggal, tapi inilah komitmen Sufi. Doa dan hasrat saya yang menggunung agar guru-guru dapat berkomunikasi dalam bahasa inggeris mencapai sasaran secepatnya melalui latihan mingguan yang di adakan. Terkejut juga saya sewaktu menyampaikan surat pengesahan secara peribadi tampil akhlak 'rakus', 'tak bersyukur' sedangkan rekod prestasi setengah mereka agak 'merunsingkan'. Demi meraih RAHMAT Allah saya bersabar dahulu dan akan membincangkan isu ini dalam syura Lembaga Pengurusan Sufi.

JANGAN BERPUTUS ASA DENGAN RAHMAT ALLAH turut saya kongsikan dengan seorang lagi adik saya yang dilanda fitnah rumahtangganya. Kalau kakak saya menangis berair mata HATI saya menangis mengenangkan rahmat yang cuba adik saya bawa dalam rumahtangganya di ketepikan begitu sahaja. Saya amat yakin pengorbanannya menegakkan baitulmuslim selama ini tidak sia-sia, semoga Allah merahmati. Kalau pun beliau redho dan sabar dengan ujian ini saya amat yakin sifat pemaafnya akan di ganjari sebaiknya oleh Allah yang Maha Mengetahui. Kebetulan melalui radio IKIM saya terdengar kisah seorang pemaaf yang berdoa agar kehilangan beliau akibat ditipu teman perniagaan di gantikan dengan yang lebih baik.. MasyaAllah...Allah menerima kemaafannya terhadap teman yang menipunya dan mengganjarinya dengan perniagaan yang lebih berjaya. 

Bahagian ini saya catit sebelum pergi mengundi PRU 13 pada Ahad 5 Mei 2013. Rasa sayu menerpa ke jiwa ini, antaranya mengharapkan rahmat Allah agar kemenangan berpihak kepada calon yang ikhlas, beriman, bertaqwa dan adil. Sebak nak bersuara kerana sepanjang perjalanan pulang dari Tangkak saya sentiasa memikirkan apa nasib umat lslam di negara ini 5 tahun akan datang jika kumpulan yang menzalimi rakyat Malaysia sejak 56 tahun terus berkuasa. Mungkin saya tidak sempat melihatnya seperti arwah Mustapha yang amat risau memikirkan kaum kerabat yang sukar berpisah hati daripada pemimpin dan kerajaan yang tidak berpaksi kepada kebenaran hari ini.

Dalam Surah Hud ayat 113 jelas menyebut "jangan kamu cenderung kepada orang yang zalim yang menyebabkan kamu di SENTUH API NERAKA, sedangkan kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, sehingga kamu tidak akan di beri pertolongan"...' Bilamana saya ingin berdakwah di kalangan mereka yang lama bersama pemerintahan yang tidak jelas lslamnya saya kaku,kurang mampu dan mungkin kurang berhikmah. Hanya doa sepanjang malam di tadahkan mudah-mudahan terbit fajar cahaya di Sufi untuk tujuan ini.

Kata-kata akhir jika PRU 13 tidak memihak kepada kebenaran yang kami perjuangkan selama ini, selalulah ingat JANGAN BERPUTUS ASA DENGAN RAHMAT ALLAH...akan tiba masanya mengikut kehendak Allah mereka yang zalim akan berhadapan dengan janji Allah iaitu 'siksa yang pedih' yakinlah sebuah hadis riwayat Muttafaq Alaih;

"Dari Abu Musa Al-Asy'ari ra berkata, bahawa Rasulullah saw telah bersabda; "Sesungguhnya Allah akan memberi tangguh kepada orang zalim, sehingga ketika menyiksanya ia tidak akan pernah melepaskan siksa dariNya."

Demikian juga dalam Surah AlQalam 44-45 Allah berfirman

 "Nanti Kami akan menarik mereka dengan beransur-ansur kearah kebinasaan dari arah yang tidak mereka ketahui. Dan Aku (Allah) memberi tangguh kepada mereka. Sesungguhnya tipu dayaKu amat teguh."
WaAllahu'alam

No comments:

Post a Comment