Ramadhan ke 2, Ahad 23 Ogos. Sepanjang malam tadi saya beristerihat untuk memulihkan kesihatan selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Pakar KPJ Shah Alam yang diagnos saya demam. Perkhidmatan amat cepat dan memuaskan, mungkin kerana saya dan suami memegang 'primier card' iaitu kad khidmat kesihatan Board of Director Syarikat Prasarana Malaysia. Ramai pesakit luar memerlukan rawatan walaupun hosptal swasta. Saya lihat masing-masing memakai topeng mulut dan laluan pintu masuk ada pemeriksaan suhu badan mengesan jangkitan H1N1. Satu usaha yang positif untuk mengelak jangkitan yang jadi pendemic (teruk daripada epidemic) kini.
Untuk melihat sendiri pelaksanaan "Bazaar Ramadhan Tanpa Sampah' saya gagahi juga melawat ke tapak Anjung 7. Dari jauh saya dapat lihat ramai orang berkunjung dan amat berbeza daripada hari-hari biasa. Syukurlah Bazaar dapat sambutan kerana ini merupakan usaha untuk promosikan Anjung 7, satu projek penswastaan MBSA walaupun sebelum ini projek ini semacam 'hidup segan mati tak mau'. Awal-awal saya lihat dua kelemahan, sampah masih banyak dan tong sampah tidak di sediakan. Bila bertanya AJK mereka akan usahakan esok. Satu skuad cari sampah saya syur di ujudkan dan mungkin akan di beri elaun jika perlu. Ahli majlis yang menggantikan saya selama sebulan nanti perlu di beri briefing untuk menjayakan projek ini.
Kelemahan kedua syarat menutup aurat peniaga wanita dan memakai topeng mulut kepada semua peniaga tidak di patuhi semua. Seorang ajk mensyaratkan peraturan diketatkan dan yang ingkar di gugurkan. Saya berpendapat biarkan perniagaan berjalan lancar, mungkin terlalu awal untuk bertindak tanpa maklumat, arahan serta sebaran yang jelas dan meluas. Namun satu kesalan saya ialah tidak ramai yang dapat menunaikan solat maghrib. Saya hanya nampak dua tiga orang masuk surau Anjung yang kecil..yang lain saya berdoa mereka melakukannya di surau UNISEL kerana perjanjian kami ialah pihak UNISEL membantu menyediakan kemudahan ini walaupun terpaksa melalui pintu besar yang ada guardhouse. Tiba-tiba saya merasa gerun dengan insiden orang kurang solat di bulan Ramadhan ini. Saya memikirkan betapa besarnya amanah seorang pemimpin Islam jika anak buahnya ingkar dan tidak mentaati perintah asas seperti solat. Dalam hati saya berdoa semoga program perniagaan di Anjung 7 ini ada kalainan dari segi penghayatan solat.
Perjanjian membuat bubur lambuk setiap hari Ahad di Anjung 7 tergendala di saat akhir kerana orang yang akan menyediakannya terlalu sibuk. Suami saya nasihatkan saya jangan bersusah kerana masih kurang sihat, jangan tension. Saya memegang prinsip 'masalah tidak lebih besar daripada Allah Tuhan kita semua'. Saya berdoa Allah mudahkan. Cuba talipon Masjid Negeri nak mohon 200 pek daripada 6,500 pek bubur yang di sediakan tiap hari untuk warga selangor. Tiada jawapan, saya cuba hubungi tiga tukang masak lain, juga tiada jawapan. Confirm batalkan bubur lambuk. Sedih kerana sponsor telah menyerahkan wangnya semalam. Tiba-tiba saya teringat Ayu adik ipar saya yang memang daif tapi sering menolong orang menyediakan makanan dan juadah berbuka puasa. Inilah rezeki dia, terus dia terima dan insyaAllah sepanjang 4 minggu Ahad bulan Ramadhan dia akan menyediakan bubur lambuk untuk Anjng 7. Alhamdulillah. Sekarang tugas ajk ialah cari 3 minggu sponsor lagi daripada sesiapa yang berhajat.
Inilah kisah bubur lambuk yang sering laku di bulan Ramadhan di Malaysia. Keunikan bubur lambuk ialah dia mudah di sediakan dan memberi peluang ramai yang menerimanya. Saya ucap syabas kepada mana-mana masjid dan surau yang menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa kerana memang besar pahalanya. Ustaz Dr 'Aidh Bin Abdullah al Qarni dalam bukunya RAMADHANKAN HIDUPMU menyebut begini:
Wahai orang berpuasa yang merasa lapar, ribuan perut orang yang kelaparan menunggu sepotong makanan. Masih adakah orang yang mau menyiapkan makan untuk mereka? Wahai orang yang berpuasa yang hatinya merasa dahaga, ribuan hati merasa dahaga dan menunggu setitis air. Masih adakah orang yang akan menuangkan air untuk mereka?...(m.s 292)
Alhamdulillah inilah antara asas saya dan rakan-rakan dalam Pertubuhan Mawaddah Malaysia menyediakan peruntukan untuk rakyat Gaza berbuka puasa. Kutipan dan sumbangan melalui Kupon Nasi Arab Amal akan di serahkan sedikit masa lagi, saya berdoa sesiapa yang terlibat dan merasa terpanggil dengan jihad Ramadhan di mana sahaja akan mendapat ganjaran besar daripada Allah Maha Pemberi. WaAllahu'alam.
No comments:
Post a Comment