Untuk landasan sentiasa tetap di tempatnya peranan sekeping hati yang menguasai tindakan manusia penting di beri perhatian. Dalam hatilah tersirat NAWAITU untuk melakukan sesuatu kerana apa dan bagaimana? Nawaitu saya hadir kelas harfiah ialah untuk sentiasa mengisi ruang masa saya yang sedikit kini dengan kalimah mulia, AlQuran. Disamping saya kena mengambil berat adanya ruang untuk anggota masyarakat di MPP bawah jagaan saya mendapat manfaat melalui penggunaan kemudahan yang di sediakan MBSA, antaranya pejabat MPP atau mana-mana dewan yang sesuai. Alhamdulilah apabila seorang kawan memohon untuk menggunakan pejabat MPP dua jam seminggu bagi kelas harfiah saya terus benarkan kerana setiap bangunan yang di dalamnya di sebut kalimah Allah pasti tidak di timpa kerugian.

Apa tidaknya sebelum MPP zon3 mengambilalih dewan KEMAS yang terletak di sebelah Surau Attaqwa, hampir 5 tahun pihak surau memohon menggunakannya namun tidak ada sebarang jawapan daripada pihak berkuasa ketika itu. Kini satu kelegaan terukir di muka anggota kariah surau kerana bangunan kosong tidak lagi menjadi penghuni makhluk selain manusia yang menjadi khalifah Allah.
Sepanjang hari Khamis ini saya cuba memikirkan bagaimana MPP Zon 3 akan bergerak selepas saya di lantik semula menjadi Ahli Majlis. Pertama saya menghantar sms kepada seorang ADUN menyatakan terimakasih menyokong perlantikan semula saya dan menamakan seorang ahli NGO saya sebagai pengganti untuk sesi akan datang 2010-11. Saya lakukan ini kerana saya tidak mahu berulangnya satu lagi kejadian aktiviti kemasyarakatan MPP Zon tergendala semata-mata kerana karenah birokrasi dan tidak pasti siapa yang akan menjalankan peranan AM.
Seringkali para pentadbir lupa bahawa aktiviti kemasyarakatan tidak sepatutnya menjadi mangsa birokrasi kerana siapa pun memerintah rakyatlah yang membayar gaji dan imbuhan mereka. Sering juga saya tekankan kepada pegawai-pegawai di MBSA agar bertindak 'professional' iaitu dalam bahasa AlQurannya 'ihsan' ke atas semua urusan rakyat kerana yang memantau tugas mereka bukan pemerintah atau ahli politik tetapi Allah. Ihsan ertinya "kamu beribadah seolah-olah kamu nampak Allah dan jika kamu tidak dapat berbuat demikian ketahuilah Allah nampak apa yang kamu kerjakan." Tambahan pula bila seseorang pegawai di lantik ke jawatan masing-masing mereka di nilai kerana kemampuan dan kelayakan, bukan kerana kaitan politik. Mereka patut ada 'izzah' atau harga diri berbanding ahli politik kerana expertise masing-masing, sedangkan orang politik di Malaysia khususnya tidak di nilai kerana 'expertise', janji boleh 'make promises' , palsu ke janji tersebut belakang kira.
Di pagi yang barakah ini selepas pengajian saya berkesempatan berbincang dengan ramai orang, antaranya PTO saya. Berterusterang tentang kejadian minggu lepas telah melestarikan sangkaan masing-masing. Saya terusterang menegaskan dua peranan penting saya di muka bumi ini ialah 'tidak mensyirikkan Allah' dan 'menjaga akhlak Islam termasuk menjalin persaudaraan yang di sebut silaturrahim'. Nawaitu saya menjadi AM tidak sesakli bermotifkan politik semasa atau setempat kerana saya telah tinggal di zon saya lebih 15 tahun. Saya hanya ingin berkongsi keperihatinan saya kepada warga zon saya yang memang pelbagai, ada pelajar IPT, elit, masyarakat pertengahan, rakyat termiskin, asnaf, pelajar dan pelbagai kaum peniaga dan kawasan industri. Untuk merencana program kepada semua golongan saya kurang mampu dan arif kecuali ada orang yang membantu.
Seorang warga kariah telah saya tawarkan menjadi setiausaha kehormat MPP yang baru dan kami berbincang ringkas. Antara tugas yang saya amat perlukan bantuan ialah memberi pandangan yang dapat menyelesaikan masalah daripada akar umbi. Memfokuskan khidmat untuk golongan pelajar, bakal SU Kehormat mencadangkan di adakan bengkel motosikal di sekitar kawasan MPP supaya pelajar dapat di kenali, berkumpul dan khidmat di beri mengikut kemampuan pelajar bukan bermotifkan keuntungan sangat. Bila di ajukan idea ini kepada bahagian perancangan MBSA terus cadangan tidak di persetujui kerana kawasan perumahan tidak patut ada projek yang akan menjadi 'eye sore' bila di jalankan. Memang ada benarnya dan kami di minta membuat permohonan rasmi menggunaan lokasi pelan kawasan untuk mengenalpasti kawasan serta mendapatkan pandangan penduduk. Barulah saya faham bagaimana selama ini mereka yang punya ide sukar mengikut peraturan dan sering di 'saman' kerana mereka kurang arif untuk melaksanakannya. Di akhir perbincangan kami bersetuju cadangan akan di buat berkala di MPP untuk mendapatkan maklumat pelajar iaitu melalui aktiviti remaja setempat. Doa saya pelajar IPT yang baru mendaftar di UITM dan UNISEL akan dapat di dekati secepat mungkin kerana kebanjitran mereka sering di kaitkan dengan meningkatnya kes denggi di Zon ini. Tidak di nafikan juga perlunya masalah sosial remaja berdua-duan dan bersekedudukan di atasi dengan hikmah kerana jiwa muda yang di cabar nafsu ganas ini juga telah mencetuskan banyak masalah zina dan salahlaku.
Dalam keadaan berpuasa awal pagi saya dan suami 'berbuka' waktu tengahari kerana meraikan adik saya daripada Jakarta yang pulang bercuti dan berkunjung di LT Cafe restoran nasi arab. Kedermawanan adik saya yang nombor 7 ini ketara sekali kerana dia punya 'NAWAITU' yang jelas untuk memudahkan orang lain walaupun dirinya di uji kuat. Berkumpulnya ramai adik beradik saya dalam majlis tengahari itu amat terkesan melalui air muka girangnya dapat bertemu sekali sekala. Saya yakin adik saya ini ingat satu peristiwa kematian abang sulung kami secara mengejut di mana kehilangannya menyebabkan kami sering berkejar berjumpa satu sama lain jika ada peluang, di kuatiri itulah 'pertemuan terakhir' kami.
Yang indahnya sewaktu saya dan suami berkempen untuk membantu projek iftar ramadhan rakyat Gaza terus adik saya itu menyatakan akan membeli 100 set kupon yang bernilai RM20,000. Kami baru menjual hampir 50 set...terkejut suami saya dan terus mendoakan agar keberkatan sentiasa bersama penyumbang. Alhamdulillah.
Adik saya yang bungsu mempamirkan telefon bimbit yang canggih setaraf bluberry...lantas adik saya daripada Jakarta tadi membelinya tunai RM2000 untuk di hadiahkan kepada saya. MasyaAllah..tak sangka ada rezeki tengahari ini untuk membawa pulang cenderahati istimewa! Inilah di sebut barakah bila silaturrahim di panjangkan dan NAWAITU di selaraskan. Ramai lagi yang mendapat habuan tengahari itu, namun saya memang kagum dengan sikap adik saya kerana dia mengamalkan sifat seorang mukmin yang berteraskan 'kekayaan orang bertaqwa' yang menurut ulama 'bila harta bertambah dia tidak gembira sangat dan bila harta berkurang dia tidak sedih'. Berbanding orang-orang rakus dalam masyarakat yang pincang akidah akan sedih bila harta berkurangan lantas menimbun harta menjadi satu hobi. Malangnya masyarakat masih menyanjung orang yang kaya, berharta dan berpangkat melebihi nilaian lain sedangkan dalam jiwa orang yang di sanjung itu sedikit pun tidak ada nawaitu untuk membantu mereka yang menyanjung..berhati-hatilah lain kali untuk kita memberikan hak sanjungan kita...perhatikan NAWAITU dan akhlak mereka agar bertaqwa dahulu. WaAllah'alam
No comments:
Post a Comment