NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Thursday, July 16, 2009

NOSTALGIAKU


Lawatan beberapa keluarga ke Homestay Kg Hj Dorani, Sungai Panjang Sabak Bernam Selangor 11 & 12 Julai baru-baru ini menggamit nostalgiaku 50 tahun yang lalu. Sewaktu kami masing-masing mengambil joran atau buluh pancing memancing di parit besar depan homestay aku teringat 'kegilaan' memancing sewaktu berumur 10-11 tahun. Waktu itu ada peperiksaan memasuki sekolah menengah di bandar. Sepatutnya aku bersedia mengulangkaji pelajaran untuk persiapan periksa. Setiap petang balik memancing secara diam-diam aku akan masuk ke rumah samada membawa ikan pancing atau kalau tidak ada ikan terus bersiap untuk solat maghrib.

Satu petang arwah pak cikku tiba dari bandar dan terserempak denganku menyelinap masuk rumah. Dia lantas bertanya dalam bahasa inggeris..'my young lady.. where are you from..? tersipu-sipu aku menjawab 'fishing..' Arwah emak masa tu memang bengang dengan sikapku tidak membantu urusan rumah..mendedahkan 'kegilaanku' memancing. Pak cik terus berkata...''wasting time for nothing..' Entah mengapa kata-kata itu terlalu berkesan kepadaku dan saat itulah aku berhenti memancing di parit besar nun jauh di belakang rumah.

Mengimbau kembali kisah memancing waktu kecil aku sebenarnya tidak berkawan dengan sesiapa kerana adik beradikku semua lelaki. Hanya seorang kakak yang memang rajin membantu emak di rumah kerana adik beradik amat ramai. Sesekali bila mengajak adik lelaki susah di buatnya kerana asyik mendesak nak balik rumah. Bila memancing sendirian aku berada di alam fantasi sendiri, masa memancinglah aku memasang cita-cita akan keluar dari kampong sebaik sahaja ada pelajaran tinggi. Arwah abah memang ada cita-cita sendiri untukku supaya mahir bahasa inggeris kerana masa awal televisyen di siarkan di Malaya waktu itu (60an) tidak ada terjemahan dan setiap kali ada peluang abah akan suruh aku terjemah cerita yang di tayang. Tak pening di buatnya, aku pun pura-pura pandailah, sebenarnya tak betul sangat.

Satu yang mengerikan aku kini ialah mengenangkan risiko berada di hutan sendirian...tak terfikir waktu itu ada orang berniat jahat ke, nak culik ke..atau sengaja nak menakutkan.. semuanya tidak berlaku dalam tempoh aku memancing. Sekarang ini bila memikirkan bahaya yang mengintip hampir di mana-mana aku rasa memang Allah pelihara remaja dahulu daripada kesan buruk yang melanda masyarakat hari ini yang berubah dan pesat dengan pembangunan yang tempang. Manusia kini berubah menjadi lebih rakus, tidak ada perikemanusiaan, melakukan sikap hina di sana sini. Golongan remaja pula telah di landa sikap kurang perihatin kepada masyarakat termasuk ibu bapa kecuali anak-anak yang di dedahkan dengan nilai mulia dan beragama sejak kecil.

Apa pun nostalgia terbaik dalam program lawatan baru-baru ini ialah menikmati kesegaran udara di kampong, melihat kekuningan padi mulai masak dan pemandangan indah sawah padi bak lukisan...rupa-rupanya masih ada suasana indah di negara kita yang perlu di lawati. Cuma satu pemerhatian ialah suasana kampong yang pernah ujud dalam masyarakat kita tidak di ubahsuai dari segi kebersihan. Rata-rata walaupun homestay tidak kotor, presentation mungkin boleh di perbaiki. Saya ada pengalaman tinggal di B & B (Bed and Breakfast) di Wales, United Kingdom. Kebersihan bilik dan bilik airnya memang teruja bagi kita di Malaysia. Inilah isunya mengapa kita tidak menjadikan kebersihan titik permulaan perubahan. Rata-rata suasana masyarakat di kampong belum menerapkan kebersihan bilik air sebagai utama, baik di rumah atau di tempat awam, almaklum katanya bilik air tempat syaitan. Agaknya kalau di bersihkan kurang sikit syaitan bersarang... Kadang-kadang syaitan bukan sekadar dalam bentuk yang menjadi musuh ibadah sahaja, syaitan dalam kemanisan bertegur sapa pun ada, iaitu hati yang tidak ikhlas dan nawaitu kebendaan dulu. Agak-agaknya sudikah homestay sekarang menerima tetamu Allah yang dalam perjalanan tanpa bayaran? semacam kita sering dengar pada zaman dulu..tetamu datang di sambut bak raja kerana nak meraih pahala dan mengikut amalan Rasulullah? WaAllah'alam, terima kasih pengarah program lawatan, di cadang melawat lagi tempat-tempat yang dapat mengimbau nostalgia masa muda..

No comments:

Post a Comment