Selasa 28 Julai selepas kuliah 'Asmaulhusna' di Surau AtTaqwa Seksyen 7 Shah Alam yang kali ini di gantikan dengan program sempurna solat bab wuduk saya di datangi seorang teman mengadu 'mengapa NASI ARAB (NA) (yang NGO saya sedang promosi melalui kupon amal untuk program Iftar Ramadhan rakyat Gaza).. semakin sedikit 'serving' -hidangannya..'
Terus saya tanyakan pengusaha NA yang kebetulan adik saya Md Hairudin. Menurutnya tidak ada perubahan acuan yang mengukur hidangan, mungkin beberapa pekerja yang pandai bertutur bahasa Arab telah berhenti. Kesannya mungkin agak ketara kerana pekerja tersebut pemurah orangnya, boleh minta tambahan nasi bila-bila masa dan mudah mesra. Saya keliru dengan jawapan ini kerana jika 'pemurah' tetapi memegang amanah perniagaan mesti ada sesuatu yang tak kena. Di pendekkan cerita rupanya pekerja tadi kurang mahir tentang kos yang terlibat dengan mengusahakan NA. Di fahamkan beras yang di impot harganya RM13 sekilo. Daging kambing dan ayam turut naik harga. Apa pun saya menasihatkan Hairudin menerima teguran ini dengan hati dan jiwa terbuka kerana program infaq untuk rakyat Palestin yang di buat melalui NA pasti TIDAK AKAN RUGI kerana ia akan membantu rakan kita di Malaysia menikmati hidangan enak dan sekaligus menyumbang dana kepada saudara se Islam kita rakyat Gaza yang dalam kesempitan hidup selepas perang.
Bercerita tentang rugi satu kesah seorang ulama yang di ceritakan oleh ustazah Maznah dalam usrah kami menyebutkan bahawa satu ketika ulama ini bertemu semula rakannya yang berpisah sejak di bangku sekolah. Beliau mendapati rakan tersebut amat berjaya dalam hidupnya sedangkan sewaktu di sekolah ia merupakan pelajar tercorot. Terdetik dalam hati ulama tesebut betapa hebat rakannya dalam kemewahan hidup. Tiba-tiba suara hati ulama tersebut berbisik..' mengapa kamu mesti rasa dengki dengan DUNIA orang lain..sepatutnya teman kamu yang berdengki dengan kehebatan AKHIRATmu' Bisikan it membuatkan ulama tersebut insaf dan merasa rugi memikirkan dunia rakannya..lantas hatinya berkata ' ini adalah hariku bersama syaitan..' Maksud cerita ini ialah kita jangan sekali terpdaya dengan kilauan matabenda dunia yang tidak kekal, sedangkan yang kekal ialah bekalan akhirat yang patut kita semua berlomba-lomba mempersiapkannya. Oleh itu kisah menyediakan NA yang lebih banyak dan baik, sekiranya tidak merugikan akhirat melalui infaq dan seumpamanya wajarlah menjadi agenda penting kita bersama. Sekiranya manusia sibuk mendedahkan atau mempertikai kehebatan DUNIA orang lain jangan sekali-kali kita terperangkap berpolemik (membahas) mengenainya.
Fenomena NA di Shah Alam bermula dengan saya kembali daripada menunaikan Umrah tahun 2007 membawa keinginan makan nasi 'MANDY' satu hidangan biasa di Mekah . Beberapa restoran di Cyberjaya ada menyediakannya dan menjadi tabiat saya mengunjunginya bila kepingin. Setiap kali NGO Aman Palestin menerima tetamu warga Arab di Restoran SABA' Cyberjayalah kami berkumpul. Dengan harga yang agak tinggi berbanding hidangan ala Malaysia saya cuba bertanya kemungkinan NA dapat di kurangkan harganya bagi membolehkan ramai lagi yang dapat menikmatinya. Kebetulan Hairudin baru membuka Ledang Tropica Cafe di Uniten Bangi dan beliau mempunyai seorang tukang masak berbangsa Yaman. Akhirnya NA telah dapat di hasilkan dan di promosikan dalam program Karnival MPP Zon 3 21 Februari 2009. Ketika itu promosi di jalankan melalui kupon Nasi Arab amal 1 untuk membantu rakyat Gaza yang teruk di serang tentera Zionis Yahudi.
Memandangkan Shah Alam masih belum ada kedai NA, Ladang Tropica membuka cawangan di Anjung 7, seksyen 7. Suasana di Anjung 7 ketika itu agak malap, perniagaan kurang maju kerana lokasinya agak tersorok. Datuk Bandar MBSA minta saya selaku Pengerusi MPP Zon 3 mencari jalan memakmurkan Anjung 7. Berkat kegigihan adik beradik dan kawan-kawan saya yang masing-masing berperanan membawa rakan dan teman, malah ada yang sponsor kariah surau sekitar Shah Alam makan nasi arab percuma setiap malam Jumaat, alhamdlillah hari ini Anjung 7 kerap di kunjungi pelanggan. Rahsianya NA merupakan makanan pilihan yang unik kerana pastinya pelanggan yang minat jenis makanan tersebut akan mencarinya walau di mana janji sedap. Lazimnya sesiapa yang pernah berkunjung ke Mekah dan negara timur tengah tidak melapaskan peluang menikmati selera nostalgia mereka di tempat sendiri sekarang.
Keunikan NA sama seperti kaum Arab yang bagi umat Islam di Malaysia sinonim dengan agama Islam. Jarang kita menyusur sejarah bahawa ramai orang Arab yang tidak beragama Islam malah kaum Quraish di zaman Rasulullah saw yang berbangsa Arab ramai yang memusuhi baginda setelah wahyu di terima dan Alquran di turunkan. Apabila akidah umat Islam mulai lemah, satu demi satu negara Islam di jajah dimana penjajahlah yang memecahbelahkan negara umat islam dan merampas hak rakyat Palestin untuk di serahkan kepada orang yahudi dalam tahun 1948. Kebetulan akhir tahun yang sama saya lahir ke dunia, berat rasa hati ini menerima hakikat bahawa sejak itulah rakyat Palestin menerima nasib malang, di usir keluar daripada negara sendiri menjadi pelarian yang paling ramai dan terlama di dunia. Kebiadaban kaum yahudi yang di dokong oleh kuasa besar dunia sejak dahulu, kini telah menular menjadi budaya kezaliman era moden yang tak ada tolok banding dahsyatnya! Seolah-olah sesiapa sahaja sewenang-wenang boleh merampas hak orang lain tanpa perikemanusiaan!
Menampilkan NA di tengah-tengah masyarakat di Malaysia akan sentiasa mambawa mesej bahawa umat Islam perlu dan boleh bersatu sekalipun mereka berlainan bangsa. Keterikatan hati umat Islam atas dasar keyakinan bahawa hanya Allah SWT yang berkuasa akan melonjakkan kemuliaan umat ini. Apa tidaknya jika di sisi kita adalah pemerintah langit dan bumi, pasti kita tidak akan terkalahkan. Malangnya umat Islam kekurangan banyak kualiti yang menjadi syarat penting untuk meraih pertolongan Allah. Dari sekecil-kecil amalan menjaga kebersihan hingga kepada sebesar-besar tuntutan mentaati perintah Allah dan Rasul umat Islam kurang menyerlah. Semoga kita di beri kekuatan untuk istiqamah di jalan kebenaran.
Saya terserempak dengan beberapa kisah kehidupan masyarakat hari ini yang agak mencabar, antaranya keadaan kesihatan. Telah di ceritakan kepada saya tentang seorang guru membuat pemerhatian pelajar lelaki di sekolahnya. Antara perkembangan seorang pelajar yang di lihatnya ialah kerap pelajar tersebut menahan 'buang air kecil' disekolah. Apabila ibu bapanya bertanya tentang hal tersebut ringkas jawabnya 'bilk air sekolah kotor.' Kesan menahan kencing menurut kajian kesihatan ialah pelajar tersebut mungkin mengalami kerosakan buah pinggang dan kerosakan saluran kencing di umur tua. Guru tadi juga membuat pemerhatian kepada remaja lelaki yang telah baligh, antaranya mereka mudah tersentuh dengan ransangan seks walaupun melalui sedikit geraklaku wanita yang di sekitarnya. Suara, bau, lenggok wanita berjalan semua di perhatikan pelajar tersebut dengan satu perasaan yang membuak-buak ke tahap satu hari dia 'melepaskan tension' dengan menjadi histeria. Bila ibunya dapat bercakap dengannya terus pelajar tersebut minta di pindahkan ke sekolah lain kerana merasa tertekan dengan persekitarannya. Masya Allah... begitu besar kesan persekitaran kepada perkembangan seorang remaja. Hari ini saya makin bingung..remaja lelaki berhadapan bukan sekadar lenggok dan bau harum perfume wanita, segala-galanya terdedah untuk memberi tekanan nafsu serakah dan tidak hairanlah jika perlakuan sumbang melepaskan tekanan berlaku dengan berleluasa.
Saya teringat bahan usrah yang menekankan tiga perkara penting membuat perubahan dan pemulihan kerohanian iaitu mesti ada MANHAJ (sistem dan peraturan hidup), QUDWAH HASANAH (contoh tauladan peribadi mulia) dan BI'AH SOLEHAH ( persekitaran yang baik yang meransang kebaikan). Jika di teliti tiga syarat ini dalam sistem pendidikan anak-anak remaja ketiga-tiganya hampir tidak wujud. Sistem hidup yang di amalkan masyarakat lebih kepada mengikut apa yang dunia barat iklankan di dada media. Contoh peribadi yang di tampilkan lebih kepada kecantikan dan budaya popular wang, harta dan pangkat seseorang. Persekitaran langsung tidak dapat di harap menjaga kesejahteraan hidup kita anggota masyarakat dengan insiden demi insiden tentang kurang selamatnya nyawa seorang insan, kes ragut, rompak dan rogol dan tidak pekanya anggota masyarakat terhadap sebarang pencemaran sikap, peribadi dan hartabenda yang berlaku didepan mata...satu perkembangan yang amat mengerikan dan mencabar tumbesaran seorang remaja bakal pemimpin masa depan!.
Saya berdoa semoga akan tampil lebih ramai anggota masyarakat yang peka dengan keperluan semasa baik dari segi pendidikan akhlak, maupun penampilan peribadi mulia. Saya juga berharap semoga perniagaan NA terus berkembang menjadi pilihan utama makanan kegemaran masyarakat di Malaysia. Syabas kepada semua pembeli kupon yang sekaligus menyumbang kepada projek iftar Ramadhan rakyat Gaza melalui projek Nasi Arab Amal 2. Bagi yang berminat menyokong projek amal ini silalah hubungi En Hairudin 019 337 5959. Wassalam
No comments:
Post a Comment