NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Friday, July 31, 2009

ARAK,JUDI,RASUAH DAN KARAOKE

Khamis, 30 Julai 2009 Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) seksyen 7 Shah Alam di bawah kendalian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan majlis doa selamat sempena bangunan baru sekolah di atas 15 ekar tanah Jalan Plumbum. Pelajar baru akan mula masuk belajar daripada jam 7.00 pagi hingga 4.00 petang awal Ogos 2009. Ia sebuah sekolah serba lengkap dan moden. Saya doakan SRAI dapat menjadi mercutanda bermulanya era kemuliaan dan budaya hidup Islam di Shah Alam.

Sebelah malamnya saya dan suami menghadiri majlis pernikahan anak seorang Dato' yang amat dermawan kepada pihak surau dan masyarakat Islam di KL dan Selangor. Ramai tetamu VIP termasuk tokoh-tokoh kontroversi dalam percaturan politik negara turut hadir. Saya dan suami lebih suka meminggir mungkin tak layak jadi VIP, nak berbual tentang isu-isu panas pun tak pandai. Mafhum Hadis pun ada menyebut, ''Bercakaplah yang baik atau diam". Mujur juga Dato' tuan rumah bukan penggemar budaya KARAOKE kerana ramai juga anggota masyarakat yang akan berkaraoke hingga larut malam sempena apa-apa majlis. Saya bukan anti karaoke jika sekadar berhibur dalam batas berakhlak bersama keluarga, namun hari ini ramai yang menjadikan budaya karaoke punca maksiat bercumbu-cumbuan. Bersama ahli majlis yang lain kami memang membantah keras (harsh) terhadap berleluasanya maksiat ARAK, JUDI, RASUAH dan KARAOKE dalam persekitaran bandaraya Shah Alam.

Lewat malam itu saya menerima satu sms daripada pegawai MBSA yang menyebutkan antara lain dia di marah teruk oleh seorang YB ADUN gara-gara merampas ARAK daripada outlet 7-eleven, kemudian arak-arak tersebut di paksa di pulangkan. Sedih dan sakit hati saya tak dapat di bendung. Ini kerana keputusan untuk tidak menjual ARAK yang mengandungi alcohol melebehi 5 mil. di kedai runcit dan 7-Eleven terutama di kawasan yang ramai penduduk beragama Islam telah di putuskan dalam mesyuarat penuh MBSA. Baru sahaja skuad anti maksiat di seksyen 7 merampas ARAK daripada remaja di Taman Tasik, kini dasar menjual arak tidak di patuhi malah di cabuli oleh pihak kerajaan negeri. Saya di fahamkan mereka takut kalah dalam plihanraya jika ARAK di jadikan isu. N'auzubillah...kalah teruk lagi ada jika Allah murka dengan dasar yang bertentangan dengan perintahNya. Tugas ADUN beragama Islamlah yang kena yakinkan fakta ini. Ya Allah Kau tolonglah kami barisan pemimpin masyarakat di negeri Selangor ini untuk berhadapan dengan kemelut kemungkaran melanggar perintahMu, kami tak sanggup menerima azabMu yang pedih. Terdetik di hati nak tinggalkan tugas menjadi Ahli Majlis kerana jelas peranan kami kurang berkesan jika keputusan yang di buat tidak di endahkan.

Jumaat, 31 Julai 2009 MBSA menerima pelawat Ahli Majlis dan pegawai Majlis Daerah Macang Kelantan. Sewaktu perbincangan satu isu menarik yang di kemukakan ialah tentang hasil lesen menjual ARAK, aktiviti JUDI dan seumpamanya samada di masukkan ke dalam akaun yang berasingan daripada pendapatan kasar MBSA. Jawapannya tidak, sama seperti di peringkat kerajaan pusat atau negeri semua hasil dimasukkan ke dalam 'consolidated fund'. Inilah agaknya penyebab tidak berkatnya usaha sistem penyampaian (delivery system) dari dahulu sampai sekarang kerana sumber hasil dan rezeki petugas awam bercampur dengan yang haram. Nak dijadikan bukti kegagalan agensi kerajaan memberi khidmat yang memuaskan,petang itu seorang pengusaha klinik di seksyen 7 membuat aduan tentang bau busuk dan keadaan kotor di sekitar kliniknya yang sudah lama di biarkan oleh MBSA walaupun aduan di bawa kepada pegawai berbagai peringkat. Celupar mulutnya mengatakan pegawai MBSA makan gaji buta. Dia juga megancam bahawa dalam pilihanraya akan datang dia tidak akan mengundi Pakatan Rakyat. Saya hanya pasang telinga dan membaca, la hawla wala quwataillah billah, bermaksud tidak ada sebarang kekuatan dan kuasa kecuali kekuatan Allah. Walaupun suara rakyat itu di katakan keramat dalam soal undi mengundi pilihan raya, yang saya yakin hanya satu, iaitu Allah memberi kuasa kepada siapa yang Dia inginkan, juga menarik kuasa daripada siapa yang Dia mahu.

Sabtu, 9.00 pagi 1 Ogos 2009 ada sesi dialog antara Ahli Parlimen Shah Alam, ADUN Kota Anggerik dan Datuk Bandar MBSA dengan penduduk seksyen 7 Fasa lllC mengenai tapak sekolah Tamil yang akan mengambil sebahagian kawasan rekreasi awam. Yang mengejutkan sesi dialog ada seorang pemuda India bangkit berhujjah dan menyatakan dia mewakili ex Pulau Jerjak dan ahli Mafia. Satu ugutan yang jelas mencerminkan tahap masyarakat yang tertekan dengan pelbagai karenah birokrasi. Sesi dialog juga memperlihatkan kurang penyertaan penduduk Melayu yang sepatutnya hadir mempertahankan kawasan rekreasi yang akan mengecil. Isu perkauman seolah-olah masih menebal bilamana seorang penduduk yang di jemput menyatakan mengapa dialog diadakan di tempat yang ramai orang India, itu sebab ramai kaum Melayu yang tidak hadir. Saya kurang arif apa cara lagi yang perlu di buat untuk perpaduan kaum di Shah Alam ini.

Majlis perkahwinan anak kawan saya turut di jalankan pada 1 Ogos. Anaknya seorang Hafiz quran yang masih belajar di Mesir telah bersedia mendirikan rumahtangga dengan teman sepengajian. Satu tindakan berani bagi menghalalkan pertemuan lelaki perempuan terutama di tempat yang jauh daripada keluarga. Lebih-lebih mereka masing-masing para hafiz-hafizah yang di beri nikmat membawa kebenaran alQuran dalam dada. Cemburu juga saya dengan anugerah Allah kepada anak dan menantu kawan saya ini. Tapi saya tahu tahap pengorbanan kawan saya dan suaminya untuk mendidik anak-anak yang hafiz quran amatlah tinggi dan berterusan. Senario majlis amat barakah, ramai kenalan, saudara mara, jiran dan rakan anak-anak hadir merestui perkahwinan ini. Amat jarang saya hadir dalam majlis seperti hari ini kerana di lakukan paling simple, meriah dan penuh barakah. Doa saya kepada pasangan pengantin muda ini agar dapat menggantikan peranan ibu bapa dalam era kesedaran Islam yang lebih mantap disamping melahirkan ramai anak-anak soleh dan solehah yang mendapat pertolongan Allah dalam kehidupan mereka.

Petang 1 Ogos 2009 juga hari keramat perhimpunan GMI (Gerakan Mansuh ISA). Widad, bekas Setiausaha kerja NGO PMM telah di tahan polis. Dia sms minta di doakan selamat dan menyebutkan ramai pelajar sekolah, makcik dan pakcik tua bersama anak-anak kecil di tangkap masuk trak Polis dan di bawa ke merata balai polis sekitar Kuala Lumpur. Satu perbuatan gila kuasa pihak polis. Saya harap kezaliman yang di lakukan kepada rakyat yang menuntut hak dan keadilan tentang ISA tidak berterusan kerana di bimbangi Malaysia akan dapat menandingi negara komunis pula!

Sebelah malam 1 Ogos persembahan Konsert Antara Dunia (KAD 09) anjuran GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam se Malaysia) dengan kerjasama kumpulan Rabbani, Hijaz dan Raihan. Turut di jemput bersama ialah Shoutul Harokah daripada Indonesia dan Nabrus daripada Saudi. Saya di fahamkan satu insiden telah berlaku sewaktu urusetia membuat persiapan di Stadium Malawati iaitu mereka telah di jerkah oleh staf MBSA untuk 'bayaran' kutipan sampah sebanyak RM4,500, sedangkan MBSA tidak mengenakan kos berasingan untuk kutipan sampah daripada sesiapa penyewa. Budaya RASUAH yang sampai tahap tidak segan silu 'menggertak' pelanggan oleh staf MBSA amat memalukan. Semoga semua pelaku kegiatan cemar ini sedar bahawa apa yang di lakukan akan pulang balik kepada pelakunya, seperti pepatah Inggeris 'we reap what we sow...kita menuai apa yang kita tanam.' Jika ada staf MBSA yang di katakan terlibat dengan RASUAH saya pasti jika terbukti dia akan menerima padahnya. Saya harap sangat di kalangan ahli majlis MBSA dapat mencari bukti yang kukuh untuk mendedahkan amalan buruk ini.

Apa pun persembahan konsert amat memuaskan. Tuan Guru Dato' Nik Aziz Bin Nik Mat Menteri Besar Kelantan menjadi tetamu kehormat dan peresmi konsert. Sedar atau tidak dalam senario berkecamuk politik hari ini ketenangan TGN Aziz melayakkan beliau menjadi pemimpin yang di kagumi oleh semua lapisan masyarakat seluruh Malaysia.

Bila melihat peserta remaja yang ramai menghadiri konsert saya teringat rapat umum 'selamatkan Gaza' yang melibatkan semua NGO awal tahun 2009. Semangat orang muda dapat memberi kekuatan kepada dakwah Islam yang memerlukan pelapis tegar. Satu yang menarik ialah kumpulan Shoutul Harokah yang tampil penuh komitmen dan semangat jihad untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Mereka adalah petugas dan ahli Parti keadilan Sejahtera (PKS) dari Indonesia. Semoga lebih kerap persembahan yang berorientasikan perjuangan dapat di adakan di persekitaran Shah Alam sebelum budaya yang merosakkan seperti ARAK, JUDI, RASUAH dan KARAOKE berleluasa.

Menyebut tentang judi ia turut melibatkan kegiatan ALONG yang amat berleluasa sekarang. Di fahamkan ada kakitangan kerajaan sendiri yang sanggup menjadi ALONG. Begitu juga kegiatan judi yang kini dengarnya telah di beri kelulusan lebih kerap oleh pihak kerajaan. Kononnya untuk membenteras JUDI HARAM. Anihnya dua kali haramlah kalau di beri kelulusan sesuatu yang jelas haram. WaAllahu'alam

Begitulah bobroknya masyarakat dalam kancah maksiat dan perlakuan mungkar yang sukar di bendung. Saya berdoa negara ini di selamatkan Allah dengan menampilkan pemimpin yang adil dan pentadbir yang amanah. Merindui tokoh-tokoh sedemikian telah menjadi satu harapan dalam jiwa saya terutama di Shah Alam. Semoga Allah berikan jalan keluar untuk menjadiakn cita-cita ini satu kenyataan. Amiin.

No comments:

Post a Comment