NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Sunday, April 15, 2012

MENANAM UNTUK MENUAI

Salam

Ahad 15 April/23 Jamadilawal 1433H

Sepanjang minggu yang berlalu saya menganggap aktiviti saya seperti ingin MENANAM benih tanaman dengan harapan untuk MENUAI hasilnya satu hari nanti insyaAllah.

Isnin 9 April kelas Fiqh Semasa di sambung semula dengan pertambahan seorang peserta baru, alhamdulillah. Teman saya yang akan bermusafir dengan suaminya ke Korea sempat mengingatkan bahawa sekembali mereka daripada Korea akan menanti dua tugasan yang bercorak pendidikan dan peternakan. Kalau menjadi realiti akan di laporkan dalam blog kemudian insyaAllah. Mutakhir ini saya kurang bermusafir, almaklum ongkosnya tak termampu, hikmahnya saya banyak masa muhasabah apa yang sepatutnya di lakukan selama ini.


Menjelang petang saya di kunjungi petugas program HaRUM (Himpunan Kekeluargaan Rumpun Nusantara) iaitu himpunan ulama nusantara di Masjid Negeri Shah Alam 13-15 April, bermatlamat mengeratkan ikatan kekeluargaan (golongan Ulama) rumpun nusantara berteraskan penghayatan sebenar Tauhid-Tasawuf. Kami berbincang tentang sebarang sumbangan yang dapat di berikan untuk menjayakan program. MasyaAllah...siapalah saya berbanding golongan ulama besar nusantara yang berhajat menyelusuri peranan signifikan Wali Songo Indonesia.
PROGRAM HaRUM PERKARANGAN MASJID NEGERI SHAH ALAM 13-15 APRIL 2012

Alhamdulillah juga saya dapat sedikit sebanyak maklumat kerana di fahamkan tahun lalu Bandar Aceh Indonesia menjadi tuan rumah. Saya dan suami hanya mampu membantu sedikit yang ada untuk menyediakan keselesaan tempat tinggal peserta tempatan. Kabarnya kos program mencicah RM300,000 dengan kerjasama pelbagai pihak dan NGO. Wow tinggi sekali, tapi ke arah meluruskan akidah umat lslam ia sangat kecil berbanding ketirisan dan kemewahan yang berlaku dimerata pelusuk Malaysia dan Indonesia sekalipun, waAllahu'alam.

Selasa 10 April saya dan suami membatalkan kelas talaqi alQuran kerana terpaksa berkejar ke pejabat AirAsia Subang menyelesaikan refund pembayaran bertindih tempahan tiket ke Bandung. Biasalah proses refund berganda susahnya dibanding proses menempah tiket, katanya dalam tempuh 1-3 bulan. Inilah karenah sistem birokrasi kapitalis, nak tau mengapa? kalau seorang terpaksa di refund RM3,000, 10 orang 30,000 dalam tiga bulan fixed deposit RM30,000 akan menghasilkan RM3,000 kalau interestnya 10%. Amaran kepada suami saya yang membuat tempahan menggunakan kad kredit... jangan confirm payment sebelum berbincang dengan bank sendiri. Saya pun mula faham sistem penerbangan yang kini memperlihatkan kerakusan...emailnya tercatit error tapi payment terus di terima. Agaknya insiden ini memberi amaran kepada kami sebagai pelanggan, 'no more travelling'.  


Sebelah malamnya kami dikunjungi teman lama yang kini membantu mengendalikan sebuah Mahaad Tahfiz di Sg Buluh. Saya kagum dengan komitmennya kerana rumahnya sendiri di serahkan sebagai wakaf untuk mengoperasikan Mahaad. Isu yang di bincangkan ialah ramai ibu bapa akan mengeluarkan anak-anak daripada Mahaad kerana kurang puashati dengan pengurusan sekolah. Lagi sekali MasyaAllah...saya di minta memberi sedikit nasihat kepada ibu bapa kerana saya di katakan berpengalaman menguruskan Mahaad Tahfiz di Bandung. Bila di tanya bila akan bertemu ibu bapa...esok pagi 11 April, cuti pertabalan DYMMSPB Yang di Pertuan Agong.

MEWAKAFKAN RUMAH BESAR, PEWAKAF SENDIRI TINGGAL DI RUMAH KECIL,MASYAALLAH BESARNYA GANJARAN 

Selain sudah lama meninggalkan bidang berceramah di hadapan orang ramai saya kelu juga kerana baru bertemu dengan pengurus dan mudir, nak cakap apa ya?? Setahu saya berdosa besar menutup sebuah sekolah tahfiz Quran kerana AlQuran punya ruh yang akan membangkitkan umat lslam dan ia ruh perubahan akhlak umat. Hanya Allah yang tahu cuaknya saya menerima tugas ini, doa dalam hati dan setiap saat selepas menerima tugasan itu ialah ya Allah tolong aku...kalau tolak ia satu amanah AlQuran, tak sanggup saya membiarkan teman saya berperang sendirian. Saya seolah akan ke Medan perang keesokannya.

 BERSAMA ISTERI MUDIR MAAHAD TAHFIZ YANG JUGA MENGURUSKAN TADIKA

Alhamdulillah program hari Rabu berjalan lancar, semoga sedikit kebenaran yang meluncur dari mulut saya adalah lontaran kata-kata yang Allah izinkan kerana tidak ada kemampuan apa pun yang saya miliki semuanya hak Allah yang dipinjamkan.
 PETIKAN CERAMAH YANG SEMPAT DI RAKAM OLEH SUAMI SAYA

Kesempatan bersama teman saya di manfaatkan sebaiknya. Beliau terus membawa saya menziarahi satu perkampungan pondok moden warga emas di Kundang dekat pekan Rawang. Sekali lagi MasyaAllah kerana teman saya ini juga mewakafkan sebuah rumah untuk disewakan kepada penghuni warga emas yang ingin bersama dalam perkampongan untuk beribadah dan belajar agama. sewanya di guna untuk membiayai ceramah dan program perkampongan. Alangkah bahagianya teman saya yang dapat beramal soleh yang terus mengalirkan ganjaran selagi perkampongan ini beroperasi. Di fahamkan ada warga emas yang langsung buta dengan amalan lslam dan perlu bermula daripada tahap alif.baa.taa, satu pendedahan betapa jahilnya umat yang mengaku lslam, salah siapa agaknya, perana siapa agaknya?

       DI PERKAMPUNGAN PONDOK MODEN ALMUTTAQIN KUNDANG RAWANG
PENGASAS PONDOK MODEN SEBELAH KANAN SAYA , SEORANG BEKAS GURU/USTAZAH

Petang yang sama saya membuat kejutan melawat sebuah cawangan D'Arab Cafe Rawang. Rupanya pekan Rawang rancak membangun dan berkembang, sibuk dan barisan kedai serta restoran canggih sekali. Syur saya kepada pengusaha Cafe Hj Hairudin, kebetulan adik saya yang ke sembilan ialah sediakan tempat petugas bersolat kerana meninggalkan solat menolak keberkatan. Khabarnya hari yang sama Allah izinkan bahagian atas restoran telah di kosongkan penghuninya dan terus D'Arab Cafe menyewanya untuk di gunakan sebagai ruang solat, alhamdulillah. Saya mendoakan perubahan ini menjanjikan keberkatan kepada rezeki semua pihak di Rawang, ameen.

D'ARAB CAFE SEDERET DENGAN MAKANAN THAI DAN OLD WHITE COFFEE RAWANG
SEBAHAGIAN PETUGAS D 'ARAB CAFE RAWANG BERSAMA TETAMU

Petanda umur meningkat ialah keletihan dan kelelahan yang amat sangat kerana sepanjang hari Khamis saya terpaksa merehatkan diri. Kelas harfiah/bahasa Arab pun saya keciciran. Sepatutnya dalam umur saya ini sudah fasih menguasai bahasa AlQuran ini, namun satu iktibar kepada yang lain agar jangan lalai hingga terlepas peluang menguasai bahasa AlQuran. Belajarlah semasa umur masih muda dan jadikan azam berbahasa lebih sebagai sebahagian kekuatan umat lslam.

Jumaat 13 April saya ada temujanji mempertemukan pengerusi Persatuan Mahabbah Malaysia Cik Azah dengan dua teman ibu tunggal yang saya baru temui untuk menggerakkan keusahawanan yang mereka bercadang ingin ceburi, antaranya pasaran produk melalui internet marketing. Sepakat mereka bersetuju menubuhkan kelab WUT (Women Urban Team) di bawah persatuan. Selain membuang stigma ibu tunggal ia juga menggambarkan lokasi peserta dalam bandar (urban). Saya terus menasihatkan semua yang terlibat memperbetulkan nawaitu mengadakan sebarang program dan usaha kerana persekitaran yang celaru dalam masyarakat hari ini amat mudah seseorang terjebak dalam suasana 'di ambil kesempatan' kerana status 'ibu tunggal' atau siapa sahaja. Semoga Cik Azah yang luas pengalaman dan masih muda dapat menangani urusan WUT dengan jayanya.

BERBINCANG HATI KE HATI DENGAN CIK AZAH PERSATUAN MAHABBAH MALAYSIA

PENGGERAK WUT YANG BERPOTENSI

Sepanjang hari Sabtu 14 April saya di ganggu sakit gusi gigi. Saya yakin ia ada kaitan dengan lemahnya saraf gigi dek umur yang meningkat. Kena redho kerana sejak kecil ibu bapa saya mengajar saya menjaga gigi dengan baik dan di kalangan adik beradik saya ada yang pernah mengondol anugerah 'Gigi Terbersih/Tercantik' di sekolah, alhamdulillah.  Mesej untuk orang muda ialah hargai nikmat pemberian Allah sebelum nikmat tersebut akan di tarik sedikit demi sedikit. Sentiasalah mensyukuri apa sahaja nikmat yang Allah beri sebaiknya terutama nikmat umur muda sebelum tua.

Petang Sabtu saya dan suami bercadang ke Tangkak kerana ada sedikit perbincangan dengan kakak saya. Saya sempat melawat program HaRUM di pekarangan Masjid Negeri dan mendengar dari luar sentuhan selawat oleh kumpulan yang melagukannya dalam masjid. Alhamdulillah dapat sama-sama berselawat kehadrat Rasulullah saw yang mengajar umatnya beriman dan bertaqwa.

  BANNER HaRUM YANG MEMBARISKAN ULAMA TERSOHOR NUSANTARA

Di Tangkak pertemuan adik beradik memang di nanti. Kami berbincang untuk mengujudkan Akademi Pintar/Generasi Pintar/ Generasi falah atau apa sahaja nama yang akan di cadangkan untuk memertabatkan AlQuran di jiwa anak-anak generasi ke3 terutama di kalangan keluarga kami yang kian membesar. Saya hanya sempat memberi pandangan bahawa tugas berat ini memerlukan murobbi yang berbekalkan ilmu lslam yang mantap (yang sentiasa membaca AlQuran,terjemahan dan tafsir pelbagai sudut). Kami bersetuju mendapatkan curahan ilmu mereka yang arif serta bekerjasama dengan pelbagai pihak yang berpengalaman mengendalikan anak-anak. Saya mula terfikir cucu saya yang 10 orang, semoga mereka akan lebih baik daripada generasi ke 2 yang ramai hampir rebah di serang budaya kontemporari hari ini.

PERTEMUAN KELUARGA MEMANG DI NANTI-NANTI DI WARUNG ADIK .SAYA KEEMPAT ABDUL RAZAK

BARISAN GENERASI KE 3 MENUNGGU DI TARBIYYAH

Sekembalinya kami daripada Tangkak sempat sekali lagi bersama HaRUM menyaksikan persembahan silat dan bertemu kenalan.

PERSEMBAHAN SILAT MENGGUNAKAN SENJATA
PERTEMUAN HaRUM - DI SINI CINTA ULAMA BERSEMAI

Sebuah Hadis Rasulullah saw yang antara lain bermaksud..jika tiba hari kiamat dan di tangan kamu ada sebiji benih kurma,maka tanamlah...Saya mentaddaburnya sebagai sekali-kali jangan menyia-iakan kesempatan untuk beramal soleh sekalipun ajal menjemput kita. Yang kita harapkan ialah apa yang diTANAM dapat di TUAI ketika masa menuai tiba insyaAllah. WaAllahu'alam

1 comment:

  1. assalamualaikum.

    saya sedang mencari maklumat tentang perkampungan pondok al mutaqqin ini utk ibu saya.kalau tak keberatan, mohon puan membantu saya memudahkan pencarian saya ini.

    Maisarah
    0176275700

    ReplyDelete