'SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG SELALU MEMBACA KITAB ALLAH (ALQURAN) DAN MELAKSANAKAN SOLAT DAN MENGINFAQKAN SEBAHAGIAN REZEKI YANG KAMI ANUGERAHKAN KEPADANYA DENGAN DIAM-DIAM DAN TERANG-TERANGAN, MEREKA ITU MENGHARAPKAN PERDAGANGAN YANG TIDAK AKAN RUGI.' (ALFATIR 29)
NIKMAT ALLAH
Saturday, December 4, 2010
PULAU MUTIARA
Gambar di Pulau Mutiara:menunggu bas Rapid
hotel 5 bintang (kiri) Vs 3 bintang (kanan)- tak banyak beza
Salam
Sabtu 4 Disember saya dan suami checkout daripada hotel Naza Talyya Tanjong Tokong Pulau Pinang lebih awal untuk pulang ke Shah Alam melalui firefly Subang. Mr lau, seorang pemandu taksi yang kami baru kenal ingin membawa kami melawat kedai oil painting. Saya berhajat membelinya untuk Galeri Mawaddah.
Sejak Rabu 1 Disember saya dan suami berada di Pulau Mutiara /Pulau Pinang kerana suami saya menghadiri mesyuarat berkaitan pengangkutan awam"Bas Rapid' Pulau Pinang. Setelah menginap satu malam di Hotel 5 bintang iaitu Golden Sand Batu Feringgi kami sambung bercuti dan berpindah ke Hotel 3 bintang Naza Talyya Tanjong Tokong ikut kemampuan bayar sendiri. Tambahan saya dan suami ingin memakmurkan hotel kepunyaan bumiputera, Melayu dan Islam. Keyakinan saya ialah jika inginkan perubahan berlaku dalam masyarakat nilai perlu di terapkan dalam semua lapangan kehidupan agar mendominasi suasana. Dalam bidang perhotelan ketara kurang pengusaha bumiputera Islam.
Di Pulau Pinang saya perhatikan nilai dan budaya materialistik menonjol sekali, daripada barangan yang di jual di lapangan terbang sampai ke pasar, kompleks beli belah nilai dan barangan keduniaan berada dimana-mana. Saya kuatir suasana begini ada kesannya kepada perlakuan masyarakat terutama remaja. Kerap juga saya melihat anak-anak remaja Melayu berpakaian trendy, berseluar pendek. Pergaulan juga kelihatan lebih bebas dan saya terserempak remaja dalam umur sekolah rendah sedang mencuba menghidu gam. Tidak ada pilihan bagi orang yang beriman bahawa masalah sosial yang tak kunjung hapus sejak dahulu perlukan sentuhan dan rawatan 'ubudiyyah', iaitu sentuhan kembali kepada fitrah insan yang suci dan bersih daripada syirik mungkar akbar (paling besar)
Pemergian saya menyertai suami adalah 'menemani' beliau dalam baki-baki hari tua. Kalau orang kata kami bak belangkas pun yalah kerana saya amat sedar suami saya perlukan khidmat saya setiap saat dalam baki hidupnya. Pengalaman menunjukkan bila beliau bermusafir sendirian pulangnya membawa 'selsema,demam dan sinus'. Mungkin itu penyakit asasnya dan 'you are what you think' anyway.
Berbeza dengan musafir biasa, di Pulau Pinang kali ini saya berpeluang menaiki bas rapid No 101 dan 102 ke KOMTAR dan ke Sungai Nibung daripada Tanjong Tokong. Mengambil masa lebih sejam dan berjalan kaki selanjutnya masuk ke hotel merupakan 'exercise' yang amat baik.
Menjadi penumpang 'warga emas' menggunakan public transport ditempat yang padat jem baru kami rasa apa erti 'sabar' menunggu, berdiri dalam bas dan menepati waktu jika tidak ingin 'di tinggal' bas. Memang seronok sekali sekala mengubah selera. Kalau manjadi rutin stress juga di buatnya!
Sepanjang perjalanan dalam bas banyak saya gunakan untuk tafakur,memikirkan banyak perkara dan mencari pelbagai pilihan nama-nama untuk produk Galeri Mawaddah. Terkini saya dah jumpa nama 'Hani', 'lotus' dan belajar bagaimana syarikat meletakkan tagline untuk promosikan barangan mereka. Bercambahnya pelbagai perniagaan di Pulau Pinang kesan kemajuan ekonomi rakyat diPulau ini di gambarkan daripada papan-papan tanda yang meriah,mewah,eksklusif dan kontemporari. Saya yakin Majlis Bandaraya Pulau Pinang pasti mengutip banyak pendapatan hasil pengiklanan.
Yang paling ketara ialah Pulau Pinang dikunjungi ramai pelancung asing terutama yang menginap di Batu Feringgi di mana setiap malam diadakan pasar malam pelbagai barangan yang di sukai pelancung. Pesan semua orang market ini bukan untuk rakyat tempatan kerana harga barangan melonjak tinggi dan kalau larat kena tawar hampir 75%. Tambahan ramai peniaga 'kurang' melayan pelanggan tempatan kerana kuasa beli yang rendah.
Sepanjang kawasan menghadap ke pantai di Tanjung Tokong pembangunan kompleks dan apartment mewah pesat dilakukan. Di sebelah dalam pula adalah kawasan kampong Melayu. Tertera di beberapa muka jalan kain rentang memprotes pengambilan tanah rakyat untuk di bangunkan oleh pihak UDA. Semoga penyelesaian akhir dalam isu ini kelak tidak merugikan mana-mana pihak terutama yang beragama Islam demi mempertahankan nilai murni untuk di hidupkan kembali dalam masyarakat yang amat merasa 'dagang' dengan peranan Islam di Pulau Mutiara ini .
Kebetulan 1 Disember bermulanya Pesta Pulau Pinang, satu acara tahunan yang di jalankan dikawasan pesta Sungai Nibung. Pesta bermula jam 6 petang hingga lewat malam. Saya dan suami sampai 1 jam lebih awal dan alhamdulillah kami tidak perlu membayar tiket masuk RM3. Mundar mandir sepanjang gerai pesta saya perhatikan ia tidak banyak berbeza dengan pasar malam biasa, cuma pengusaha barangan banyak melakukan promosi dan sale. Terdapat peralatan fun fair dan pertunjukan kebudayaan serta penglibatan pameran produk daripada Utara Sumatera. Saya terkejut juga bila di beritau sepasang telekong sulam tangan harganya RM400 keatas. Wow mahal tu!
Rata-rata melalui penilaian pemandu teksi yang bersama kami sepanjang perjalanan ke Lapangan terbang dan sebelum itu pergi ke tapak Pesta, rakyat di Pulau Pinang tidak ada masalah dengan Ketua Menteri baru kerana beliau merupakan pemimpin berwawasan. Satu perkara yang saya tak akan lupakan Ketua Menteri ini ialah hasrat beliau untuk mencontohi pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang adil. Semoga Allah beri kepadanya petunjuk dan mengekalkan keadilan untuk berkhidmat dengan jujur. Antara dasar beliau ialah berkongsi hasil negeri dengan memberi bantuan kepada warga emas, Sekolah Rendah Agama, kakitangan kerajaan, namun kini menjadi kontroversi 'halal haramnya' hasil tersebut. Memang serabut jika semua isu di politikkan. Namun pengalaman menjadi warga emas kini dapat 50% diskaun tambang bas pun dah kira baik tu!
"Mutiara' lambang nilai harga tak terhingga. Pulau Pinang selaku pulau yang memiliki nama mutiara perlu di beri perhatian supaya benar-benar menjadi mutiara negara Malaysia, bukan selainnya. Untuk menarik pelancung Timur Tengah saya lihat bercambah juga restoran Arab di sana sini terutama di Batu Feringgi. Harap-harap semua faham Arab dan Islam adalah dua entiti yang berbeza, satu bangsa satu lagi 'milat' atau worldview cara hidup barakah yang di turunkan Pencipta Maha Agong dan Maha Mengetahui keperluan makhluk yang di ciptaNya. Wallahu'alam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment