Antara produk Smart herbs
Hawa dan anak remajanya berbincang
Alam remaja tidak lama
Salam
Selasa 7 Disember 2010 sempena 1 Hijrah 1432 hari 'turning point' atau persimpangan keputusan untuk masa depan dua orang cucu remaja saya. Masing-masing ingin menyambung pelajaran di sekolah berasrama dimana ibunya pernah belajar di Batu Pahat. Saya dan suami pasrah walaupun sebelum ini salah seorang mereka telah mantap belajar di sekolah 'exclusive' Almanar di Kelantan. Amat rasa terkilan, namun saya yakin dengan kaedah sabar dan solat sebagai jawapan 'la tahzan' (jangan bersedih) sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang beriman.
Sepanjang hari saya menghabiskan masa di Anjung 7 mengharapkan tahun baru Hijrah dapat memulakan "Galeri Mawaddah" namun hampa kerana renovation masih belum selesai. Khabarnya kenaikan harga yang terus menerus menyebabkan kos 'overshoot'. Saya pasrah lagi kerana bujet saya cukup-cukup mengikut anggaran.
Kedatangan Hawa dan dua anak lelaki remajanya (Amin dan Amir) bersama anak saudara sepupu saya meriangkan hati kerana beliau dan anak-anak berbakat melakarkan wawasan produk Galeri Mawaddah. Dengan konsep 'taste bud'', "life is sweet' serta logo yang menarik saya kini menunggu saat mereka dapat menyiapkan contoh packaging produk Galeri Mawaddah yang menggunakan Mawaddah Kraf sebagai bekas cenderahati (sovenir).
Puan Hawa memeluk agama Islam sewaktu remaja dikalangan kaum Bidayuh Sarawak yang kuat berpegang kepada agama kristian. Keluarganya daripada golongan padri dan bila beliau bersama seorang bapa saudaranya memeluk agama Islam mereka tidak di terima sebagai ahli keluarga. Jihad yang begitu tinggi demi Islam!
Program makan-makan bersama keluarga Aizzat dan Siti Hilmiyah selepas itu mencetuskan idea khidmat pembersihan kawasan dan kemudahan di Anjung 7. Sahlah Surau di Anjung 7 terbiar dan barbau ketika ada ibu bapa yang meninggalkan pampers merata tempat. Tibalah masanya peniaga diAnjung 7 di ajak berkongsi tanggongjawab menjaga kebersihan sekitar. Idea ini kami serahkan kepada Siti Hilmiyah menguruskannya.
Selepas Isya saya dan suami berkesempatan menyertai majlis 'tahlil' di rumah jiran yang kematian bapanya tiga hari lalu. Saya berpeluang bertemu dengan ramai kenalan yang lama tak bersua. Silaturrahim rupanya satu nikmat kerana ini juga pesanan Rasulullah saw ketika baginda hampir wafat iaitu jaga silaturrahim.
Pulang dari majlis tahlil sedia menunggu agen 'Smart Herbs' yang sedang gigih untuk menjadi usahawan berjaya. Saya doakan semoga hasratnya diperkenan Allah.
Sepanjang hari awal Muharram membawa ke waktu tidur saya hanya mengurut dada dengan 'la tahzan' Nampaknya kena cari satu resipi meredakan kesedihan di hati kesan keputusan cucu remaja tidak mahu meneruskan persekolahan di Mahaad terutama hafazan AlQuran. Semoga Allah menggantikan kesedihan ini dengan yang lebih baik.
Rabu 8 Disember saya teringatkan masakan "Asam Pedas ikan parang' yang saya rasa di Kompleks Oasis seksyen 9. Alhamdulillah rasa yang konsisten dan tidak banyak beza dengan asam pedas masakan arwah ibu saya. Ini meyakinkan saya bahawa restoran Mi Muar yang terletak di Oasis ini boleh 'survive' dalam jangkamasa panjang.
Blog ini saya namakan asam pedas ikan parang semata untuk mengingati pengalaman bersama arwah ibu bapa saya yang amat gemarkan ikan parang. Ramai orang kurang berminat dengan ikan parangkerana tulangnya yang banyak. Silap haribulan ketulang jadinya. Tapi tidak ramai orang tau bahawa ikan parang yang segar manis rasanya dan isinya lemak. Bila menjadi kegemaran ibu bapa sebahagian besar adik beradik meminatinya dan pandai memasaknya terutama ASAM PEDAS. Arwah emak saya memang pandai memasaknya dan nostalgia bersama emak dan lauk ikan parang boleh dijadikan drama TV.
Antara drama yang masih saya ingat dan menjadi iktibar dalam hidup ialah bagaimana seekor ikan parang di bahagi beberapa bahagian untuk diagih secara adil dengan anak-anak yang ramai. Satu ketika adik saya yang agak nakal terus mencapai bahagian saya dalam pinggan. Tak semena saya naik berang dan melemparkan pinggan nasi dan meninggalkan tempat makan. Arwah bapa saya pantangnya ialah anak tidak bersyukur...dahlah tak dapat makan, teruk juga saya di didik dengan rotan supaya faham erti syukur.
Setiap kali teringatkan ikan parang saya ingat sifat SYUKUR...satu pengajaran yang paling berharga di beri oleh seorang bapa yang perihatin dengan akhlak seorang anak. Bila saya renung kisah ini saya terkesan kerana hari ini amat ramai anak-anak yang kurang sifar syukur. Mungkin ibu bapa mewah dan tidak dapat menanamkan hakikat bahawa sifat syukur sebenarnya membentuk syasiah. Ayat alQuran jelas menyebut
"Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku (Allah) akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras (Surah Ibrahim:7)
Antara perkara yang perlu di syukuri ialah nikmat Iman dan Islam. Iman memberi kita keyakinan yang jitu tentang kebesaran dan kekuasaan Allah Maha Pencipta. Sementara Islam merupakan Manhaj atau sistem hidup berperaturan dan bermatlamat dimana manusia diajak tidak melakukan penyimpangan dan sepatutunya sentiasa sibuk mengingati kebesaran Allah dan pertemuan denganNya.
Bagi yang tidak tau mensyukuri kedua nikmat ini kita akan dapati mereka kurang yakin dengan ketentuan Allah dalam semua perkara, sering merungut dan menyalahkan orang lain serta jarang sekali membanyakkan masa mengingati Allah. Yang mereka ingat ialah bila nak bertukar kereta, handphone, membeli vcd, mainan anak dan mampu melanggan ASTRO. Tapi demi pendidikan anak, menghantar anak untuk belajar Quran dan meningkatkan pelbagai kemahiran dan akhlak diri serta anak-anak, mereka paling berkira. Persiapan jiwa anak-anak jauh ketinggalan daripada kehendak nafsu mereka yang melonjak ingin bebas daripada peraturan Islam. Natijahnya pelbagai masalah sosial, anak derhaka dan tidak terdidik berlaku.
Sekali lagi saya amat terhutang budi dengan arwah bapa saya kerana mendidik saya dengan ketat sekali untuk menjadikan saya seorang 'manusia'.
Berbanding dengan kaedah bapa saya, hari ini usahkan dirotan, anak-anak tidak suka walau ditegur, mudah merajuk dan kurang bersyukur. Kebimbangan saya ialah hasilnya mereka jadi kufur nikmat dan janji Allah akan berlaku sebagai sunnatullah. Semoga apa yang saya coretkan akan menjadi panduan kepada anak-anak dan cucu yang dapat membaca tulisan ini sekalipun hari ini mereka sibuk dengan urusan lain.
Asam Pedas Ikan Parang akan terus menjadi kegemaran saya dan 'turning point' kepada sikap saya untuk sentiasa BERSYUKUR. Apa sekalipun yang Allah tentukan kepada saya akan saya redho kerana saya hanya boleh merancang, yang menentukan hanya Allah. Tambahan rezeki itu perlu di 'jemput' dengan usaha,termasuklah rezeki kekayaan, berilmu, silaturrahim, sihat, beramal soleh dan sebagainya. kadang-kadang teringat kata-kata hikmah ' You can bring the horse to the water..but you cannot force the horse to drink.' WaAllahu'alam
My mother liked ikan parang. We all do in all its form. Di batu Pahat sekolah apa?
ReplyDeletesekolah sekular
ReplyDelete