NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Thursday, October 21, 2010

TAWAKKAL







musibah cermin kereta di pecah
kiosk kraf Pasir Salak
Sawah Padi di Sekincan
Urban Team



pemandangan dalam perjalanan


Salam

Minggu yang agak sibuk bermula Isnin 18 Oktober. Di awali dengan kelas "memahami Fiqh semasa' saya bergegas ke Anjung 7. D'Arab Cafe sedang melalui krisis disiplin kakitangan, almaklum sukar mengawal kaktangan yang kian ramai. Saya di minta memberi tazkirah ringkas kepada petugas sebelum mereka mulakan tugas jam 11.00 pagi.

Apalah saya nak tazkirahkan. Saya pun BERTAWAKKAL.. kata ustaz orang bertawakkal kena usaha dan buat persiapan sesempurna mungkin dulu. Usaha saya ialah cara hidup saya, jaga solat, baca AlQuran, hadiri majlis ilmu dan menjalankan kerja kemasyarakatan yang tak menang tangan sekarang. Apalah saya nak kongsikan dengan golongan petugas yang majoriti daripada Indonesia dan Bengladesh.

Saya gunakan angka 3 memulakan tazkirah 10 minit, kalau KULTUM kuliah tujuh minit saya KULPU kuliah 10 minit. 3 Soalan penting yang saya tanya setiap petugas ialah 'dari mana kamu datang? semua menjawab Indonesia, seorang petugas dari Kedah menjawab..Allah. Soalan kedua, untuk apa kamu di datangkan atau di hidupkan di muka bumi Allah? jawapan yang tidak salah, iaitu memberi manfaat, namun perlu di perbetulkan niat untuk beribadah dan mencari redha Allah. Soalan ke tiga ke mana kamu akan pergi...ada yang tak faham, tak pasti namun ada yang menyebut Syurga. Bila di sebut syurga barulah saya dapat ilham memberi tazkirah kenapa kita jauh daripada kehendak dan syarat ahli syurga.

Bila di tanya siapa selalu tertinggal solat, contohnya Subuh pagi ini...ada yang jujur, ramai yang tidak mahu di malukan. Sedarlah saya antara masalah besar manusia ialah kurang berdamping dengan perintah Allah, termasuk menjaga aurat dan pergaulan. Mereka anak-anak muda yang terlepas daripada kawalan ibu bapa dan siapalah yang mahu menjadi ibu bapa mereka kalau bukan majikan. Syabaslah idea tazkirah ini d harap dapat membantu insyaAllah.

Selsai tazkirah saya ke Kiosk Mawaddah Kraf Laman Budaya untuk persiapan program Ahad 24 Oktober. Perancangan mengadakan program bersama ExxonMobil tidak semudah menjadi penganjur tanpa bantuan kakitangan. Bermatlamat membantu kumpulan yang kurang bernasib baik memerlukan hati yang penuh tawakkal. Awalnya saya ingin batalkan sahaja kerana program sukarela tidak ramai yang berkesempatan, saya bertawakkal lagi dan tampil beberapa petugas yang agak komited. Saya bertawakkal agar program menepati kehendak penganjur. Insaf saya bahawa bertawakkal tidak boleh bergantung kepada yang lemah,pekerja,alatan dan wang ringgit. Ia bulat untuk dapat pertolongan Allah semata,. Ini saya amat yakin kerana detik-detik persiapan dengan organisasi koporat bertaraf antarabangsa semuanya ada ISO yang di jangka akan menjadi program beres. Pada saya ISO perlu dalam membuat persiapan tapi ia bukan jaminan berjayanya program. Doa dan pasrah saya kepada Allah adalah senjata utama.

Tawakkal ialah adanya di sudut hati kecil pergantungan kepada yang SEMPURNA, tidak ada lagi yang lebih sempurna selain ALLAH. Sejauh mana hati kita bergantung penuh kepada Allah atau terperangkap dengan penampilan, kemampuan, kehebatan dan pemikiran kita yang amat cetek. Kalau tidak hati-hati ramai yang kecundang dalam isu tawakkal ini.

Demikianlah konsep tawakkal ini saya kongsikan dengan bakal-bakal 'hajjah' yang kami ziarahi sebelah malamnya. Semoga tetamu Allah daripada kariah saya dapat mendoakan kesejahteraan masyarakat di Shah Alam. Perkongsian tawakkal ialah tidak berharap kepada selain Allah sekalipun mungkin ada di kalangan bakal-bakal haji yang mengikuti pakej yang mahal. Sebagai tetamu Allah kita akan di perlakukan oleh tuan rumah sesuai dengan kita kenal tuan rumah, mesra dan rapat denganNya, WaAllau'alam.

Selasa 19 Oktober 3.00 petang saya terlupa ada temujanji dengan seorang Instructor Cheorographer (sutradara) untuk mengadakan program remaja "The Beauty in You' pakej "Mawaddah Finishing School'. Terlewat 30 minit merunsingkan saya kerana seorang itu di nilai berakhlak dan tidak munafiq jika berjanji di tepati, sekalipun dengan seorang yang bukan Islam, kebetulan instructor seorang berbangsa cina. Apapun diakhir pertemuan kami dapat merumuskan perkara pokok program yang cuba menarik minat remaja dengan tema 'High school musical' ,nasyid latar Maher Zain dan tayangan filem keinsafan betapa bahayanya jika seorang remaja perempuan lalai menangani isu 'Harga Diri'

Seorang peserta kraf yang ingin saya tampilkan dalam program ExxonMobil pada hari Ahad tidak dapat menyertai program kerana kesibukan. Lantas saya membuat keputusan pergi ke bengkelnya di Pasir Salak,Teluk Intan Perak. Perjalanan petang menghala ke Pasir Salak tidak begitu sukar almaklum jalanraya utama telah dibesarkan dan kesibukan trafik biasa sahaja pada hari biasa.

Tanaman padi nampak cantik di remang senja dan mau tak mau saya terpaksa mengakui bahawa kawasan tercantik sawah padi di Malaysia ialah di Sekincan yang di usahakan kaum cina. Kemana perginya usahawan Melayu kampong yang dulunya terkenal dengan tanaman padi? Semasa kecil di kampong saya Johor saya pernah mengikuti nenek saya ke bendang dan terukir dalam minda saya kecantikan alam ketika itu. Bila guru sekolah rendah suruh melukis tidak ada gambar dalam minda saya yang cantik kecuali gambar sawah padi, sebuah pondok di bawah pokok kelapa. Kecantikan alam memang menjadi 'ayat-ayat Allah' dan AlQuran terbuka kepada orang yang beriman.

Pemerhatian sepanjang perjalanan ke Teluk Intan waktu maghrib ialah ramai yang tidak peka dengan azan dan terus menerus berkerja, berniaga, mengurus stesyen minyak dan sebagainya. Tak banyak beza di sini dengan kaum lain yang melihat perubahan siang ke malam sebagai masa makan-makan, karaoke santai, sebaliknya orang-orang beriman siangnya menjadi singa bertempur dan berjihad, malamnya menjadi Abid (orang beribadah). Kalau di ukur dengan barometer ini di mana saya dan anak bangsa saya??

Kisah terakhir tentang tawakkal ialah 'musibah' kecil yang berlaku depan mata saya pada hari Sabtu 23 Oktober jam 11.00 malam. Kereta Mark X memang tidak di pasang alarm kerana kami yakin kawasan seksyen 7 masih selamat dan tenang. Tidak di sangka seorang 'penjenayah' merayau di kawasan kereta saya yang di parking di hadapan rumah dan dia ternampak sebuah beg kecil hitam tertinggal dalam kereta. Saya pasti dia menyangka itu dompet wang tertinggal...di pecahnya cermin tingkap hancur berderai, pecah seribulah kata orang. Anihnya saya dan suami yang ada di dalam rumah ketika itu kerana baru pulang daripada majlis perkahwinan langsung tidak mendengar apa-apa bunyi cermin kereta di pecah. Saya yakin penjenayah ada kaedah senyap memecah tingkap kereta, nauzubillah. Ternyata saya dan suami bertawakkal tanpa usaha yang sempurna kerana gagal mengeluarkan beg yang di sangka dompet dan tidak memasang alarm. Ujian kecil ini saya redho walaupun untuk mengganti cermin tingkap itu mengambil sedikit masa. Saya hanya berdoa Allah gantikan musibah ini dengan yang lebih baik, meningkatnya ilmu ke, perhubungan keluarga yang mantap ke, persaudaran teman dan sahabat handai yang harmoni ke dan program-program perancangan saya berlangsung dengan licin, sempurna dan di berkati Allah, insyaAllah.

"Aku hanya bermaksud mendatangkan perbaikan selama aku masih sanggup. dan petunjuk yang aku ikuti hanya dari Allah.KepadaNya aku berTAWAKKAL dan kepadaNya pula aku kembali. (Surah Hud :88) Ameen

No comments:

Post a Comment