NIKMAT ALLAH

NIKMAT ALLAH
NIKMAT PENCIPTAAN

Thursday, October 14, 2010

KULIAH AKIDAH




Salam

Khamis 14 Oktober 2010 jam 9.00 malam kami ke pejabat IKRAM menyertai kuliah Akidah. Di fahamkan ramai lagi yang berhimpun di Auditorium MBSA kerana ada konsert Maher Zain.. barakaAllahuma...semoga kedua-dua perhimpunan di berkati seperti dalam nasyid Maher Zain mendoakan dua mempelai keberkatan.

Amat menarik kuliah yang di sampaikan Ust Miftah Kamil kerana beliau bijak menyampaikan mesej akidah. Pertama beliau membawa tiga kisah bagaimana dengan beberapa ayat AlQuran sahaja hati tiga orang yang kafir sebelumnya amat tesentuh dan terus memeluk Islam. Saidina Umar Alkhattab tersentuh dengan ayat-ayat dalam Surah TaHa, seorang professor kajisaraf memeluk Islam dengan kebenaran fakta kesakitan pada kulit dalam Surah AnNisa dan bekas seorang Padri tercari-cari Tuhan yang esa dalam Surah AlIkhlas.

Fakta kedua menarik ialah bagaimana barometer keimanan yang terserlah daripada akhlak menjaga persaudaraan (ukhuwwah), akhlak menjauhi maksiat dan akhlak mentauhidkan Allah semata-mata, dalam duduk , berdiri dan berbaring, adakah kita sentiasa mengingati kalimah Allah, atau yang terpacul daripada mulut kita kalimah merungut, mencerca, mencari pasal dan mengumpat.

Fakta ketiga rujukan sebuah hadis soheh bagaimana seseorang yang bermaksiat kehilangan iman ketika melakukan zina dan mencuri, dua contoh maksiat mewakili maksiat-maksiat lain. Maksudnya setiap kali kita bermaksiat kepada Allah walau sekecil mana pun iman terlepas daripada benak kita...nauzbillah.

Fakta keempat contoh generasi AlQuran yang mewarisi sunnah Rasulullah saw melalui tiga kualiti iaitu menghayai AlQuran untuk beramal; Tidak pernah merujuk kepada sumber selain AlQuran dalam mengatur kehidupan dan memutuskan hubungan total dengan cara hidup jahiliyah iaitu kehidupan sebelum di anugerahkan iman dan Islam.

Persoalan pertama bagaimana kita??? Sudahkah kita memutuskan cara hidup non-Islamic setelah kita kenal Islam yang begitu sempurna, antaranya memastikan makanan halal, pakaian soleh, pergaulan halal, percakapan benar, sikap tawaduk (tidak ego), teman-teman terdidik dengan iman dan taqwa, dan banyak lagi. Bagaimana ingin menyeru masyarakat yang celaru (chaotic) kepada Islam??

Cantiknya ustaz menjawab 'kena professional' (itqan dalam bahasa Islam). Pastikan anak-anak kecil tidak menonton filem yang rendah mutu akhlaknya, orang dewasa pula bersungguh-sungguh menghayati nilai yang Allah beri, jangan rasa canggung dan malu menyatakan kebenaran walaupun perlu berhikmah. Kalau perlu pergi menunaikan solat Jumaat di mana-mana syarikat katakan syarat sebelum memulakan tugas, bukan menyalahkan syarikat yang kononnya anti Islam sedangkan kita tak pernah rasa izzah (mulia) mempertahankan solat Jumaat. Malah senario hari ini ramai yang lebih suka kalau tak perlu solat Jumaat.

Kesan awal bila saya sampai ke rumah setelah kuliah ialah barometer iman...sejauh mana saya dan rakan seperjuangan menjaga ukhuwwah (persaudaraan Islam) di kalangan ahli keluarga dan teman. Sekerap mana kita dapat lakukan ziarah terhadap saudara mara, yang hidup dan yang mati... Mengasihi semua sahabat dalam pelbagai wadah dan organisasi bekerja menegakkan Islam lengkap melengkapi bukan memusuhi dan cuba sabotage, menjatuhkan satu dengan lain.

Peristiwa terakhir saya di fahamkan ada sebuah organisasi yang ingin 'di matikan' semata-mata kerana isu 'ingkar' kepada sesuatu peraturan buatan manusia. Kisah seorang pengikut (atau penakut/coward) yang terus ke rumah seorang teman menyatakan jangan sekali-kali bantu organisasi tersebut kerana ia 'tidak wujud'. Sejauh mana kita berlapang dada dengan kerja-kerja soleh yang turut juga di lakukan oleh orang lain, bukankah syurga itu seluas langit dan bumi, mampu menampong semua yang ikhlas? sedangkan organisasi yang jelas mungkar kita berlepas tangan tak pernah ingin mematikannya, saya insaf, dengan adanya sikap negatif ini sukar untuk kita mendapat keberkatan bekerjasama.

Kesan kedua ialah sejauh mana kita bersungguh-sungguh menjaga kemuliaan Islam dalam diri dan di lapangan (medan kerja) Adakah kita mendakwa professional dalam tugasan rasmi yang bergaji sedangkan dalam kerja untuk Islam kita buat sambil lewa, bila ada kelapangan. Professional pada saya ialah kerja yang ada di sana 'merit' untuk berjaya dengan kemampuan yang ada tanpa menjatuhkan orang lain. Dalam bahasa Inggeris ia bukan 'zero-sum game' dimana kita hanya berjaya bila orang lain kalah. Dalam Islam semua di ajak kepada kejayaan (rujuk azan), tak seorang pun perlu kerugian kecuali empat jenis manusia iaitu mereka yang TIDAK beriman, TIDAK beramal soleh, TIDAK ingat mengingati dengan kebenaran dan TIDAK berwasiat dengan kesabaran (maksud surah AlAsr).

Akhirnya sebagai teguran kepada diri sendiri saya insaf selama ini kerana kerap merujuk kepada sumber yang kurang tepat dengan kehendak AlQuran ketika membuat keputusan, antaranya berpandukan nafsu dan ego sendiri, pandangan orang lain, tak kira siapa dan penerimaan orang dan sebagainya. Sumber murni yan di tinggalkan oleh Rasulullah saw Alquran dan sunnah kurang di garap. Di umur tua barulah nak timba ilmu, nak lancarkan bahasa Arab, nak betulkan bacaan AlQuran, nak menjaga kesempurnaan ibadah dan nak menjadi mukminun..bukan orang yang beriman...bak kata Ustaz Miftah mukminun tu macam penyanyi professional, orang yang beriman tu yang boleh menyanyi je, dalam bilik air pun menyanyi, bila di suruh tampil...mengundur. Tepat sekali kalau dah sebati mukminun bila-bila boleh memimpin dengan bekalan ilmu Islam, orang yang beriman pula ikut suasana, sekali sekala nampak keislamannya. WaAllahu'alam

No comments:

Post a Comment